Parti demokratik Islam baru akan merosakkan sistem dua-parti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Parti demokratik Islam baru akan merosakkan sistem dua-parti

Sebarang cadangan untuk menubuhkan parti politik baru di Malaysia tidak akan dapat dipertahankan di bawah sistem pilihan raya sekarang kerana ia akan menguatkan parti pemerintah Barisan Nasional dan melemahkan kuasa periksa dan imbang Pembangkang.

Timbalan presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Zaid Kamaruddin berkata mana-mana parti baru yang ditubuhkan mestilah sebahagian daripada Pakatan Rakyat kerana ianya penting untuk mengekalkan sistem dua parti yang berdaya maju untuk mempunyai pembangkang yang kuat.
Zaid memberi respon kepada ahli akademik Dr Maszlee Malik dalam forum pada 11 Jun mencadangkan keperluan untuk menubuhkan parti baru berlandaskan Demokratik Islam di Malaysia, bertentangan dengan PAS yang sekarang dilihat lebih fokus kepada hak dan isu-isu Melayu-Muslim.

"Ikram telah mengikuti perkembangan (dalam PAS) selepas muktamar dan pilihan raya mereka baru-baru ini.

"Terhadap seruan kepada puak progresif (yang kalah) untuk menubuhkan parti baru, ia akan berjalan baik di bawah sistem pilihan raya berkadar, kerana amalan kita sekarang hanya memberi kelebihan kepada satu parti dominan sahaja," kata Zaid.

Maszlee, salah seorang panel di forum yang membincangkan masa depan PAS, menyedari bahawa lebih ramai pengundi sekarang melihat melangkaui sentimen bangsa-agama dalam politik.

"Masa hadapan parti Demokratik Islam mestilah melangkaui isu-isu sebegitu untuk menangani masalah lebih besar yang memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya," kata Maszlee, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pada teorinya sebuah parti Demokratik Islam adalah mengaplikasi prinsip-prinsip Islam kepada dasar awam dalam lingkungan rangka kerja demokratik.

Berikutan terbasminya golongan mereka dalam kepimpinan terkini PAS, terdapat seruan dibuat supaya para pemimpin dalam kelompok progresif untuk keluar dan menubuhkan parti politik baru.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang mempunyai kaitan dengan PAS Phahrolrazi Zawawi baru-baru ini berkata bahawa cadangan untuk menjadikan organisasi tanpa keuntungan itu kepada parti politik akan dibincangkan pada mesyuarat mereka akan datang pada 13 Jun.

Dalam forum yang sama, The Malaysian Insider memetik Maszlee sebagai berhujah bahawa kelompok progresif dalam PAS seharusnya menubuhkan parti baru daripada menyertai PasMa, jika tidak mereka berisiko akan dlihat sebagai sekumpulan pengalah atau sekadar "serpihan" parti Islam itu.

"Mereka (kelompok progresif) mestilah menubuhkan parti baru yang segar dan muda, NGO Islam dan Muslim yang lebih Islamik dan demokratik, supaya lebih maju di masa depan.

"Pada pilihan raya umum akan datang, tidak mengapa jika parti baru ini tidak menang sebarang kerusi," kata beliau.

Dalam PAS, para pemimpin dan penyokong PasMa telah dicop sebagai pemberontak dan "duri dalam daging" parti itu, didakwa dipengaruhi oleh DAP. Terdapat pertarungan panjang antara golongan konservatif ditunjangi ulama dan kelompok progresif yang berkesudahan dengan kemenangan total ulama dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Kerana itu, Zaid berhujah bahawa tidak dapat dipertahankan untuk parti baru itu menyertai Pakatan dan mengekalkan sistem dua parti, selagi PAS masih kekal dalam pakatan itu.

"Mungkin PAS meminta untuk disingkirkan. Tetapi hingga sekarang dalam Pakatan, kita dapat melihat tindakan pentingkan diri sendiri antara parti," beliau berkata, merujuk kepada kengganan ketiga-tiga parti untuk menerima Parti Sosialis Malaysia sebagai salah satu ahli komponen mereka.

Kepimpinan PAS baru yang ditunjangi ulama telah mengambil langkah untuk memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi para pemerhati melihat bahawa kerosakan telah pun dilakukan.

Ini walaupun pemimpin tertinggi mereka telah menggesa pengkritik menghentikan dakwaan bahawa terdapat rancangan PAS untuk memasuki kerjasama politik baru dengan Umno dan mengabaikan Pakatan Rakyat.

Dalam parti, beberapa pemimpin daripada kelompok progresif yang telah kehilangan jawatan mereka ketika pemilihan telah berterusan menolak tawaran untuk memenuhi jawatan yang dilantik.

Para pemimpin itu termasuklah bekas ketua penerangan Mahfuz Omar dan bekas setiausaha agung Mustafa Ali; sekarang digantikan dengan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dan Ahli Parlimen Kota Baru Takiyuddin Hassan.

DAP, dalam masa sama, sedang merangka jalan mereka sendiri untuk menembusi Kelantan dengan melancarkan makan malam kutipan dana Gabungan Impian Kelantan untuk membantu membaiki rumah-rumah penduduk yang rosak teruk akibat daripada banjir besar tahun lalu.

0 Komentar untuk "Parti demokratik Islam baru akan merosakkan sistem dua-parti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI