Melanggar persepsi selepas muktamar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Melanggar persepsi selepas muktamar

Melihat persepsi yang cuba dibentuk di minda rakyat selepas Muktamar PAS ke-61, di sini saya ingin memberikan beberapa hujah balas terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.

Pakatan Rakyat (PR) retak kerana barisan kepimpinan PAS yang baru?
Tidak. Hakikatnya, PR sudah retak berkecai di bawah kepimpinan PAS yang lalu yang kononnya mempunyai majoriti AJK yang pro-PR.

Kepimpinan PAS yang lama juga tidak berjaya menghalang DAP daripada membuat atau menarik satu keputusan janggal untuk memutuskan hubungan dengan presiden PAS, tetapi masih mengekalkan hubungan dengan PAS.

Berdasarkan keputusan DAP, sepatutnya mereka yang dikatakan bermaruah dan berprinsip di dalam PAS (meminjam kata terhangat minggu lalu) sudah pun meletakkan jawatan dari kerajaan Pulau Pinang atau PAS. Mereka perlu memilih antara satu.

Bagaimana seseorang boleh duduk di dalam kerajaan Pulau Pinang tatkala mereka mengaku Presiden PAS masih ketua mereka sedangkan DAP sudah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS? Jika mereka bersetuju dengan DAP pula, bagaimana mereka masih boleh terus bersama PAS sedangkan PAS masih diterajui presiden PAS?

Namun ketika itu, tiada siapa yang meletak jawatan di kerajaan Pulau Pinang mahu pun di dalam PAS - dan tiada siapa yang menuduh mereka yang terus kekal dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai manusia tidak berprinsip mahupun bermaruah. Malah tiada siapa yang terus keluar kenyataan bertubi-tubi meminta mana-mana ahli PAS untuk berundur dari kerajaan Pulau Pinang jika masih mahu bekerjasama dengan presiden PAS.

Kepada mereka yang tidak berasa janggal dengan keputusan DAP pada bulan Mac yang lalu, mereka juga tidak perlulah berasa janggal dengan usul Dewan Ulama PAS yang menggesa Majlis Syura untuk membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP tapi terus kekal dalam PR dengan PKR.

Lagipun, PAS belum dapat membuat keputusan muktamad kerana Majlis Syura hari ini tidak dapat lagi bersidang kerana sudah tamat tempoh.

Bagi yang merasakan DAP boleh bekerjasama dengan sebilangan pemimpin PAS tapi tidak sebilangan pemimpin PAS yang lain, tidak perlulah berasa janggal kalau PAS boleh terus bekerjasama dengan PKR tetapi tidak bukan dengan DAP di dalam kerangka PR. Betul tidak?

Kerajaan Pulau Pinang ialah kerajaan DAP?

Tidak. Di Pulau Pinang terdapat 40 kerusi DUN. DAP hanya mempunyai 19 kerusi. PKR mempunyai 10. PAS mempunyai 1. DAP hanya boleh membentuk kerajaan Pulau Pinang dengan persetujuan PKR. Ini berbeza dengan kerajaan Kelantan di mana PAS boleh membentuk kerajaan sendiri tanpa DAP dan PKR. Oleh itu, kerajaan Kelantan boleh disebut sebagai kerajaan PAS.

Oleh itu, kerajaan Pulau Pinang bukan kerajaan DAP, tetapi ia sebuah kerajaan PR yang majoriti kerusinya dimiliki DAP. DAP jangan lupa PKR juga duduk dalam kerajaan Pulau Pinang. Sepatutnya apa jua kerajaan Pulau Pinang, DAP perlu mendapatkan persetujuan PKR, kerana tanpa PKR, tiadalah kerajaan Pulau Pinang yang dimenangi bersama oleh PR. Tetapi kadang-kadang kuasa itu boleh menyebabkan seseorang itu lupa diri.

Jika Majlis Syura bersetuju dengan Dewan Ulama, maka PAS hanya berpisah dengan DAP, tetapi PAS tetap meneruskan kerjasama dengan PKR. DAP tidak boleh memaksa PAS mahupun PKR untuk memutuskan hubungan sesama sendiri. Apakah kerana DAP dan PAS putus cinta, maka DAP hendakkan PKR juga memutuskan hubungan dengan PAS? Takkanlah sebuah parti demokrasi bersifat diktator sampai tahap sebegitu?

Professional tewas, ulama menang?

Tidak. Professional tidak tewas. Yang tewas ialah majoriti kepimpinan yang lama.

Jadi, mengapa kepimpinan lama tewas?

Perbezaan utama pemilihan PAS kali ini berbanding pemilihan yang lain ialah wujudnya dua gelombang yang terhasil daripada laporan-laporan mengenai pencalonan kawasan-kawasan.

Sebelum ini, media, orang awam dan juga perwakilan tidak akan tahu dan diberikan maklumat mengenai jumlah pencalonan mana-mana calon yang bertanding. Ini memberikan keadilan kepada perwakilan untuk menilai calon-calon yang layak secara objektif tanpa dipengaruhi jumlah pencalonan yang diterima mana-mana calon.

Namun, tradisi ini dipecahkan oleh PAS Kota Baru pada 9 Mac - di mana ia sengaja mengadakan sidang media untuk mengumumkan ia mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding presiden PAS.

Tindakan PAS Kota Baru kemudian diikuti beberapa kawasan lain yang mengadakan mesyuarat agong lebih awal dan mengumumkan kepada media mereka turut mencalonkan calon lain untuk bertanding presiden PAS mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dengan bantuan media, keputusan mengumumkan pencalonan beberapa kawasan awal mewujudkan satu persepsi wujudnya gelombang besar di dalam PAS yang menginginkan perubahan pada tampuk kepimpinan PAS.

Persepsi ini diperkuatkan lagi oleh kenyataan-kenyataan yang dilakukan PasMa sebelumnya dan mencapai kemuncaknya apabila DAP, pada 24 Mac, mengumumkan keputusan janggalnya untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, tetapi tidak dengan PAS.

Mereka yang mempercayai persepsi yang dibina ini terus menekan kerana merasakan peluang mereka untuk berjaya adalah besar. Politik ialah mainan persepsi, dan suka mahupun tidak, tindakan DAP yang tepat pada waktunya menimbulkan persepsi DAP cuba mempengaruhi pemilihan PAS kali ini.

Bagaikan spring yang ditekan, maka kawasan-kawasan yang ingin mengekalkan kepimpinan Hadi pula mula mengumumkan keputusan pencalonan mereka. Tindakan mereka adalah untuk melawan persepsi yang cuba dibentuk.

Perbezaan besar jumlah pencalonan yang diterima antara pencabar Hadi dan dirinya akhirnya mewujudkan satu gelombang mempertahankan kepimpinan Hadi. Gelombang ini jauh lebih besar daripada gelombang untuk menukarnya. Ini yang menjadi faktor penentu di Muktamar PAS pada Jun 4 yang lalu dan menyumbang kepada lahirnya tsunami untuk menukarkan kepimpinan baru di semua peringkat PAS.

Renungkan apakah semua ini akan terjadi kalau tiada stunt daripada PAS Kota Baru?

Siapa yang patut bertindak dulu, PAS atau DAP?

Kejayaan Hadi mengekalkan kerusi Presiden PAS bererti keputusan janggal DAP bulan Mac yang lalu untuk memutuskan hubungan dengan beliau di samping mengekalkan hubungan dengan PAS terus kekal.

Sepatutnya mereka yang menyindir PAS tatkala DAP terus mendesak PAS untuk mengeluarkan diri daripada kerajaan Pulau Pinang sebelum Majlis Shura bersidang juga perlu menyindir DAP kerana masih belum mengambil apa-apa tindakan daripada keputusan mereka di bulan Mac yang lalu. Betul tak?

Begitulah hujah melanggar persepsi umum daripada saya. Para pembaca tidak perlu bersetuju dengan saya, kerana saya mengerti apa yang dimaksudkan dengan dasar setuju untuk tidak bersetuju.

0 Komentar untuk "Melanggar persepsi selepas muktamar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI