Asakan Uji Kepemimpinan PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Asakan Uji Kepemimpinan PAS

REALITI politiknya, Pas kini berhadapan dua asakan. Dari luar mereka diasak oleh DAP manakala dari dalam pula, pemimpin-pemimpin yang tewas dalam pemilihan 4 Jun lalu, menyatakan tidak akan memegang sebarang jawatan dalam parti dan pada masa sama mahu Pas melaksanakan usul Dewan Ulama yang menggesa parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Dua "asakan" tersebut merupakan ujian pertama kepada barisan kepemimpinan ulama Pas. Kedua-dua asakan itu jika tidak ditangani dengan betul boleh menjejaskan imej golongan berkenaan dan membuka ruang kepada pihak tertentu memburuk-burukkan mereka.
Asakan DAP

DAP ibarat tidur tak lena, apabila Pas enggan tunduk dengan desakan mereka supaya melaksanakan usul Dewan Ulama pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-61 yang mahu Pas pusat dan Majlis Syura Ulama memutuskan hubungan dengan DAP. Pelbagai kenyataan mereka keluarkan sehingga ada antaranya sudah sampai tahap memperlekehkan kepemimpinan Pas.

Sebenarnya DAP kecewa kerana usul itu diluluskan dan pada masa yang sama amat kecewa apabila pemimpin-pemimpin yang mereka harapkan akan mengambil alih kepemimpinan Pas "tumbang secara total" dalam pemilihan parti itu. Kebiadaban mereka memutuskan hubungan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi masih mahu bekerjasama dengan Pas membuktikan ada agenda di sebalik "tindakan songsang" tersebut.

Agendanya ialah DAP memerlukan Pas untuk bertarung dalam pilihan raya bagi meraih sokongan undi orang Melayu. Sebab itulah mereka memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi bukannya Pas. Begitu juga apabila usul Dewan Ulama diluluskan oleh muktamar, DAP mahu Pas melaksanakan usul itu dan bukannya DAP dengan hati terbuka meninggalkan Pas.

Sudah pasti DAP tidak akan meninggalkan Pas kerana dalam keadaan apa sekalipun walaupun tidak suka kepada kepemimpinan Pas namun DAP memerlukan Pas bagi mencapai agenda politiknya.

Oleh itu asakan yang dilakukan oleh DAP ke atas Pas hanyalah sandiwara supaya apabila ia benar-benar dilaksanakan, DAP boleh menyalahkan Pas kalau apa-apa berlaku kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya.

Sebagai sebuah parti yang berasa mahu menjadi "taiko" dalam pakatan pembangkang dan sentiasa dilihat angkuh kerana merasakan mereka sebuah parti yang kuat, DAP sepatutnya memutuskan hubungan dengan Pas "bagi menghormati usul Dewan Ulama". Tetapi DAP tidak mungkin dan tidak akan berbuat demikian kerana mereka memahami kekuatan yang ada pada Pas.

Atas sebab itulah, Pas tidak perlu melayan karenah "kebudak-budakan" DAP. Sebaliknya dalam membuat keputusan berhubung usul Dewan Ulama tersebut, maruah dan dasar perjuangan parti perlu diutamakan.

Kalau mahu kekal dalam pakatan pembangkang, apakah PKR dan DAP akan menghormati maruah Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam? Dan adakah kedua-dua parti itu akan menghormati dasar perjuangan Pas?

Sebelum ini apa yang kita saksikan, kedua-dua parti itu sentiasa bergabung tenaga bagi menolak dasar perjuangan Pas. Pelbagai alasan mereka berikan.

Oleh itu Pas perlu bertegas dalam soal ini. Kalau mahu kekal dalam pakatan pembangkang, Pas perlu mengenakan syarat yang ketat kepada PKR dan DAP supaya tidak menunjukkan "lagak politik" mereka seolah-olah Pas sekutu yang tidak berharga.

Namun begitu dengan apa yang terjadi banyak pihak tertanya-tanya bentuk kerjasama seperti manakah yang akan diteruskan antara ketiga-tiga parti tersebut. Ini memandangkan tindak tanduk DAP membuktikan mereka seolah-olah mahu "berpatah arang dan berkerat rotan" dengan Pas.

Malah perlu diingat sebelum ini DAP menyatakan akan membuat pendirian dalam soal hubungan dengan Pas selepas pemilihan selesai. Ini menunjukkan DAP seolah-olah sudah membuat perancangan mengenai hubungan dengan Pas.

Justeru Pas tidak boleh dilihat terhengeh-hengeh hendak terus bekerjasama dengan DAP. Kalaupun Pas mempertahankan kerjasama dengan DAP, percayalah DAP tidak akan menghormati Pas apatah lagi melayan Pas sebagai sekutu yang perlu dihargai. Ini memandangkan mereka akan menganggap Pas sebuah parti yang tiada keberanian.

Sebab itulah asakan daripada DAP itu perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya oleh kepemimpinan Pas. Janganlah membuat keputusan seolah-olah begitu sayang sangat kepada DAP sedangkan DAP sendiri dilihat tidak pernah memberi ruang "kasih sayang" kepada Pas, apatah lagi mengiktiraf pentingnya Pas dalam pakatan pembangkang.

Apa yang sering kita saksikan ialah DAP "menyakiti hati" Pas dengan menolak pelaksanaan hukum hudud dan membuat kenyataan yang memperlekehkan kepemimpinan Pas. Kalaulah dasar perjuangan tidak diterima, kepemimpinan pula dihina, apa gunanya Pas mahu menjalinkan kerjasama dengan DAP? Tiada maruahkah Pas? Tidak malukah Pas?

Asakan dalaman

Selain asakan daripada DAP, Pas juga berhadapan dengan asakan dalaman khususnya daripada pemimpin-pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti. Pemimpin-pemimpin tersebut bukan sahaja dilihat merajuk apabila tidak mahu memegang sebarang jawatan dalam parti tetapi juga mendesak Pas melaksanakan usul Dewan Ulama bagi memutuskan hubungan dengan DAP.

Kepemimpinan Pas "sudah ada mandat penuh" apabila segelintir pemimpin parti itu yang sebelum ini begitu bertungkus lumus mempertahankan tahaluf siyasi 'menyokong jika usul Dewan Ulama dilaksanakan. Lagipun Pas induk tidak perlu risau kerana tempat mereka boleh digantikan Pasma yang sememangnya diketahui mempunyai rapat dengan DAP. Apatah lagi Pasma pun sedang mempertimbangkan sama ada kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau menjadi sebuah parti politik.

Tidak kira apapun keputusan mereka, ia sama sekali tidak akan menjejaskan kekuatan Pas. Sejarah Pas sendiri sudah membuktikan, tiada mana-mana individu yang berjaya apabila mereka meninggalkan Pas. Oleh itu biarlah Pasma dengan "mimpi indahnya".

Apa yang penting bagi kepemimpinan Pas di bawah teraju Abdul Hadi dan dibantu oleh Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ialah memimpin parti itu mencari keredaan Allah dan memburu kemenangan di dunia serta akhirat. Biarlah DAP terus "terpekik terlolong" sendirian kerana selama inipun apapun Pas buat, apapun Pas kata, DAP tidak menghiraukannya.

Oleh itu kenapa perlu Pas melayan "jeritan" DAP dan "sahabat baik"mereka dalam Pas? Sebaliknya, Pas buatlah keputusan dalam keadaan tenang dengan meletakkan maruah dan dasar perjuangan Islam itu mengatasi segala-galanya.

0 Komentar untuk "Asakan Uji Kepemimpinan PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI