Tunggu apa lagi Lim Guan Eng, bersaralah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tunggu apa lagi Lim Guan Eng, bersaralah

Oleh Edwin Michael

Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah, Teh Yee Cheu supaya sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dengan mengehadkan jawatan itu kepada dua penggal sahaja bagi membolehkan pemimpin lain yang berkredibiliti dan berkebolehan menerajui Pulau Pinang adalah amalan demokrasi yang telus dan kompeten. Namun mampukah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dimonopoli oleh Lim Guan Eng selama dua penggal ini akur dengan cadangan ahli partinya sendiri?

CAT Versi PR

Jika Cekap, Akauntabiti dan Telus menjadi tonggak pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, maka isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid mengenai jumlah stok tanah simpanan negeri yang didakwa menurun dengan drastik kepada enam peratus berbanding 18 peratus sebelum DAP mengambil alih pemerintahan Pulau Pinang harus dijawab oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

Laporan Bernama bertarikh 9 November 2014 yang memetik kenyataan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman bahawa sehingga penghujung tahun ini sahaja kerajaan negeri telah menjual seluas 314 hektar tanah di Batu Kawan kepada beberapa pemaju swasta dengan harga jualan terkumpul bernilai RM1.636 bilion menunjukkan dengan jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keuntungan besar melalui penjualan tanah kepada syarikat-syarikat pemaju swasta tetapi kemana keuntungan ini disalurkan?

Dakwaan Aktivis Ong Eu Soon berhubung skandal pembinaan laluan berbasikal sepanjang 12.5 kilometer yang menelan RM30 juta dengan kos RM2.4 juta per km juga sepatutnya dijelaskan atas dasar CAT. Malah, rintihan penduduk-penduduk Kampung Sungai Nyior di Butterworth yang rumah mereka bakal dirobohkan oleh pemaju dan hanya ditawarkan pampasan bernilai RM2,000 juga tidak mendapat simpati daripada kerajaan negeri berprinsipkan CAT sendiri sedangkan Ahli Parlimen kawasan berkenaan ialah Ketua Menteri itu sendiri.

Malah, Ketua Menteri yang dikatakan mesra kapitalis ini juga dilihat tidak mempedulikan nasib 25 buah kampung lagi yang berisiko untuk dirobohkan termasuklah Perkampungan warisan Siam yang dikatakan berusia lebih daripada 100 tahun, Ladang Pepper di Tanjung Bungah, Kampung Perda, Kampung Mutiara, Kampung Chetty, Kampung Tanjung Bungah, Kampung Pokok Asam, Kampung Batu Uban, Kampung Binjai dan Kampung Tok Subuh yang terletak di Seberang Perai.
Keadaan bertambah kusut apabila sewa gerai makanan dibawah kendalian MPSP dinaikkan antara 20%-100% pada September lalu dan sewa gerai ini tidak pernah dinaikkan sejak 16 tahun lalu atas dasar kebajikan peniaga kecil-kecilan dinegeri berkenaan.

Laporan The Edge Malaysia bertarikh 07 Februari 2014 pula mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah membayar RM 305 juta untuk membuat kajian ‘feasibility studies and detailed design’ (FSDD) melibatkan projek bermasalah iaitu pembinaan terowong dasar laut yang dikatakan bernilai RM6.3 bilion.

Malah dakwaan Datuk Jahara Hamid yang juga merupakan ADUN Teluk Air Tawar yang dipetik daripada The Malaymail Online bertarikh 13 November 2014 juga tidak boleh dipandang sepi iaitu tindakan Penang Development Corporation (PDC) yang membeli tanah pada harga yang rendah dan kemudiannya membina rumah dan menjualnya pada harga yang tinggi. Contohnya, projek perumahan di Bandar Cassia di Batu Kawan dibawah projek Intan Delima yang dikatakan mencecah harga RM306,000 seunit dan ini melebihi standard harga rumah mampu milik di Seberang Perai Utara iaitu RM250,000. Beliau juga mendakwa bahawa kerajaan negeri telah melaporkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa harga seunit rumah melibatkan projek berkenaan maksimum adalah RM220,000 tetapi tidak dijual pada harga berkenaan.

Fakta-fakta yang dibentangkan disini adalah sedikit pun tidak mencerminkan prinsip CAT yang dijadikan sebagai propaganda politik oleh kerajaan negeri untuk mengaburi mata rakyat.

Masa Untuk Mencari Pengganti?

Walaupun kesemua isu yang dibangkitkan disini tidak akan dan tidak pernah mendapat apa-apa reaksi daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang namun tindakan Adun Tanjung Bungah yang berani melontarkan cadangan untuk penggiliran jawatan Ketua Menteri dan dihadkan kepada dua penggal sahaja adalah satu amaran bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan Lim Guan Eng makin terpesong daripada arah tuju pemerintahan berprinsipkan rakyat dan bukannya mengutamakan kapitalis.

Laporan Sinar Harian bertarikh 12 November 2014 yang memetik reaksi ringkas Lim Guan Eng bahawa siapa pun boleh cadangkan sebegitu (merujuk kepada cadangan Adun Tanjung Bungah) tidak harus dilihat daripada sudut pandangan jumud semata-mata. Cadangan itu datangnya daripada ahli partinya sendiri. Kewujudan rasa ketidakpuasan hati terhadap cara kediktatoran Lim Guan Eng dalam memerintah negeri Pulau Pinang namun siapa yang berani menegur beliau?

Hakikatnya, pentadbiran Pulau Pinang semakin cacamerba dan tiada arah tujuan. Rakyat sudah disajikan dengan satu sandiwara bodoh yang diilhamkan oleh bekas Pengarah Strategik Parti Keadian Rakyat (PKR) yang kini merupakan Setiausaha Agung PKR iaitu Langkah Kajang.
Jangan biarkan episod ini bersambung di Pulau Pinang pula.

Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman

0 Komentar untuk "Tunggu apa lagi Lim Guan Eng, bersaralah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI