SEJAK tersenarai dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Ketua Pemuda Pas, sehinggalah kemenangannya dalam pemilihan tahun lalu itu, nama MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI menarik perhatian ramai.

Banyak pihak mengaitkan penyertaan Muhammad Khalil Abdul Hadi, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Khalil dalam merebut kerusi Timbalan Ketua Pemuda Pas itu dengan pengaruh bapanya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang merupakan Presiden Pas.

Sinar Harian berpeluang menemubual pemimpin berusia 37 tahun ini yang kelihatan begitu ‘low profile’ pada Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor.

Ikuti temu bual Sinar Harian bagi mendapatkan sedikit pandangan beliau tentang perkembangan semasa Pas yang semakin mendapat tumpuan sejak isu pelantikan Menteri Besar Selangor kian memuncak.

Perjalanan Muktamar Pas dengan kempen di PRK Pengkalan Kubor berjalan serentak. Bagaimana Pemuda Pas khususnya menumpukan kedua-dua agenda besar ini?

Assalamualaikum...Saya terus kepada jawapan. Muktamar Pas dengan PRK Pengkalan Kubor yang sekarang ini dalam tempoh berkempen, kami menganggap apa yang berlaku adalah satu perkara yang bukan perkara biasa tapi kami sudah mempunyai pengalaman sebelum itu.

Saya tak ingat bila tapi pada ketika itu PRK Kuala Berang dan pada masa sama kami sedang bermuktamar di Kota Bahru.

Kami menganggap perjalanan muktamar dan petugas-petugas kami yang sedang bertugas di Pengkalan Kubor menjalankan tugas masing-masing dan ia tidak menjejaskan antara satu sama lain.

Secara asasnya, selepas daripada kematian bekas Adun Pengkalan Kubor, Pemuda Pas terus turun ke Dun tersebut untuk memantau keadaan dan kemudian membuka bilik gerakan Pemuda serta berkampung di sana sehingga hari ini.

Dari segi pengagihan tugas memang itu tradisi yang kami lakukan sejak dulu. Yang ini begitu juga. Dengan tarikh yang sama, ia satu peluang kami di Pemuda untuk membangkitkan semangat petugas-petugas Pemuda supaya turun membantu jentera pilihan raya Pemuda Pas Kelantan yang sedang melaksanakan tugas mereka di Pengkalan Kubor.


Apa resolusi yang boleh dan perlu dicapai Muktamar Pemuda Pas kali ke-55 ini?

Pertama, dari sudut dalaman. Saya mengharapkan bahawa muktamar pada kali ini akan lebih merapatkan saf dalam kalangan seluruh jentera parti dari semua peringkat.

Kedua, muktamar ini merupakan satu platform kepada kami Pas untuk bertegas dari segi strategi politik yang diambil khususnya hubungan antara Pas dan PR itu sendiri. Sebagaimana yang ditegaskan Majlis Syura Ulama, bahawa Pas akan terus bersama-sama PR dalam mendepani arus politik negara pada hari ini sehinggalah pada masa akan datang.

Cuma, sebagaimana yang sedia maklum bahawa, walaupun kami bertahaluf siyasi dengan rakan-rakan dalam PR, tetapi kami mempunyai sikap, pendirian dan prinsip kami sendiri yang perlu dihormati rakan-rakan dalam PR.

Ketiga, muktamar ini juga akan jadi satu pemangkin kepada gerak kerja berterusan Pas khususnya pemuda untuk gerakkan jentera di semua peringkat sama ada bergiat di dalam kalangan masyarakat dari segi dakwahnya dan lebih dari itu lagi dari sudut gerak kerja pilihan raya itu sendiri.

Kerana kami tidak perlu menunggu setahun lagi pilihan raya umum untuk diadakan, baru kami meningkatkan gerak kerja pilihan raya. Tapi gerak kerja ini mestilah dilakukan berterusan.

Dari daftar pemilihnya, program-program untuk mendekati anak muda yang pelbagai ragam pada hari ini akan menjadi agenda yang diutamakan daripada muktamar ini.


Tindakan beberapa pihak dilihat memperlekeh Majlis Syura Ulama dipercayai gara-gara krisis di Selangor. Apa pandangan Ustaz Khalil?

Bagi saya apa yang berlaku di dalam Pas adalah merupakan terjemahan kepada amalan demokrasi yang kami amalkan kerana dalam Pas kami terbuka untuk sesiapa saja memberikan pandangan dan teguran.

Jadi apa yang berlaku merupakan sesuatu yang lumrah. Teguran dan kritikan yang kami anggap insya-ALLAH akan memperteguh Pas dengan asas-asas yang telah diletakkan iaitu dengan meletakkan kedudukan Majlis Syura Ulama itu sendiri.

Majlis Ulama Syura juga sebagai institusi paling tinggi dalam parti untuk menjaga politik yang diamalkan Pas itu adalah satu politik yang tidak bercanggah dengan nas-nas Islam.


Pergeseran antara Pas dengan PKR dan DAP dilihat timbul selepas krisis di Selangor muncul. Presiden Pas pula dihentam secara terbuka dan rasa tidak puas hati pula dizahirkan melalui penubuhan Pasma. Apa pandangan Ustaz?

Berkaitan isu Menteri Besar Selangor itu saya tak nak komen. Kita serah kepada Pas Pusat untuk beri kenyataan. Berkait dengan permasalahan dalaman yang timbul pada hari ini.

Saya kira ia adalah merupakan satu perkara yang akan mematangkan Pas pada masa-masa akan datang. Kerana apa yang berlaku hari ini dari segi sejarahnya Pas pernah melalui ujian masalah dalaman ini lebih teruk daripada apa yang berlaku hari ini.

Saya optimis dengan apa yang berlaku pada hari ini insya-ALLAH akan memberi satu natijah yang lebih baik dan mantap kepada Pas untuk menjalani arus politik pada masa akan datang.

Bagi Pas yang berpegang dengan Islam, di antara ayat Al-Quran yang disebut oleh ALLAH, barangkali apa yang kami tak suka itu adalah baik untuk kamu. Jadi, apa yang berlaku hari ini semua orang tak mahu. Pergeseran, perselisihan pandangan dan seumpamanya tapi kita melihat dari sudut positif insya-ALLAH dia akan memberi natijah yang lebih baik pada masa akan datang.


Apa pandangan Ustaz tentang (Pasma)?

Pasma? Saya tak ada komen lagilah setakat ini.


Adakah masalah dalaman Pas ini lebih utama untuk diselesaikan ataupun masalah Pas dengan PKR dan DAP?

Semuanya penting yang perlu diselesaikan secara sekali gus cuma dalam medium yang berbeza. Jadi, untuk masalah dalaman kita selesaikan dengan cara dalaman. Melalui mesyuarat, pertemuan menerusi program parti dan muktamar merupakan medan tinggi dalam parti.

Bagi hubungan politik Pas dengan rakan-rakan dalam PR, ada medium untuk diselesaikan. Dan kami memberikan kepercayaan penuh kepada pimpinan untuk menyelesaikan permasalahan ini.


Apabila berlaku pelbagai pertikaian dan pergeseran antara Pas dengan PKR dan DAP, adakah Ustaz melihat wajar bagi Pas untuk terus bersama-sama dalam PR? Banyak pandangan yang mahukan Pas menyemak kembali kerjasama ini.

Majlis Syura Ulama telah menetapkan bahawa Pas akan terus bersama-sama PR. Itu adalah perkara yang lumrah sebenarnya seperti kalau contoh, sebuah syarikat membuat persefahaman dalam satu-satu perniagaan, maknanya persefahaman akan diperbaharui dari segi syarat-syarat, pendekatan untuk melihat perniagaan itu lebih maju.

Jadi, dalam politik pun begitu. Bagi Pas yang bersama-sama dengan rakan-rakan dalam PR, kita tidak jumud. Maknanya terus sebagaimananya yang berlaku sebelum ini., kita mempunyai hak untuk memperteguh lagi kesepakatan ini supaya Pas terus berjalan mengikut landasan ajaran Islam yang ditetapkan dalam Perlembagaan.