MENJADI kelaziman dalam mana-mana organisasi untuk berlaku percanggahan pandangan. Percanggahan ini kadangkala berbentuk usul atau teras, kadangkala berbentuk furu’ atau perkara cabang.

Organisasi yang baik adalah organisasi yang mampu mengurus perbezaan pandangan dengan baik dengan mengambil kira pandangan semua pihak dan menimbangkan segenap risiko dan mudarat setiap cadangan yang dibuat.

Apabila usaha untuk mengurus perbezaan gagal, kebiasaannya akan ada individu atau pemimpin organisasi yang akan meletak jawatan, dipecat atau berundur dalam saf kepimpinan.

Tambahan pula jika keputusan yang dibuat oleh pemimpin utama tersebut tidak dipersetujui oleh majoriti pimpinan organisasi, pasti akan berlaku usaha untuk menurunkan pemimpin utama tersebut melalui undi tidak percaya (jika berkemampuan) atau peletakan jawatan sebagai respon protes terhadap kepimpinan utama.

Dalam konteks Pas, umum mengetahui bahawa Datuk Husam Musa selaku Naib Presiden dan sebahagian besar rakan-rakannya dalam Ahli Jawatankuasa Pusat (AJK Pusat) tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu meletakkan lebih daripada satu nama sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Husam dan rakan-rakannya berpandangan bahawa Pas perlu letakkan satu nama sahaja iaitu nama yang telah dipersetujui oleh PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Apabila Husam dan rakan-rakan yang sealiran dengannya berpandangan sedemikian dan masih kekal dengan pandangan tersebut tanpa tunduk sedikit pun dengan pendirian Presiden parti selaku pihak berautoriti besar - sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama - Husam perlu menyatakan protes terhadap keputusan tersebut secara terbuka.

Ahli-ahli sudah sedia maklum pendirian Presiden, dan tidak kurang yang menyokong. Hanya Husam dan rakan-rakannya sahaja masih berlapik-lapik kononnya ingin menjaga survival politik.

Situasi ini tidak sihat untuk organisasi. Jika Husam merasakan Presiden sudah tidak layak memimpin parti, beliau seharusnya mengusulkan undi tidak percaya kepada Presiden parti.

Jika merasakan sokongannya tidak cukup, beliau dan rakan-rakannya perlu meletakkan jawatan sebagai signal menegakkan pendirian mereka yang dirasakan betul. Mungkin ramai juga ahli-ahli Pas yang akan mengalu-alukan jika Husam meletakkan jawatan.

Tuntasnya, Pas perlu suasana organisasi yang baru. Jika Husam dan rakan-rakannya percaya mereka jauh lebih baik daripada Presiden ketika ini, mereka perlu buktikan apa yang mereka percaya.

Apatah lagi jika beliau dan rakan-rakan ada mencuba-cuba untuk mempengaruhi ahli-ahli lain secara senyap-senyap untuk menolak Presiden, lagi-lagilah tidak bermaruah.

Ketika ini, Presiden sedang melakukan jelajah terbuka mengelilingi kawasan-kawasan untuk menjelaskan pendirian beliau. Jika Husam masih tetap tidak bersetuju, beliau hanya ada dua pilihan secara jantan; melakukan usul undi tidak percaya atau meletakkan jawatan.

Jika kedua-dua ini pun Husam dan rakan-rakan tidak lakukan, sebaliknya terus bersikap seperti anai-anai yang ‘makan senyap-senyap’, lebih baik beliau bersetuju sahaja dengan Presiden parti kerana Pas ialah parti untuk anggota pemberani.

Shazni Munir Mohd. Ithnin

Ketua Pemuda Pas Kawasan Sekijang

Bekas Timbalan Presiden GAMIS Sesi 2009/2010