SESEORANG yang meninjau perkembangan politik moden Tanah Melayu, dan kemudian Malaysia, pasti telah menemukan tiga jenis pemikiran. Semua pemikiran muncul dengan ketara, tetapi sebahagian pelaksanaannya terhalang oleh keadaan semasa.

Pemikiran pertama ialah pemikiran nasionalisme. Ia berasaskan semangat patriotik. Pemikiran nasionalisme yang benar-benar bersifat Malaysia sukar untuk disuburkan, kerana manusia tidak dapat lari daripada melihat diri masing-masing sebagai satu bangsa atau kaum.

Mujurlah orang terdahulu telah memikirkan gabungan parti politik yang berpeluang memperjuangkan kaum masing-masing.

Tokoh politik dan negarawan awal melihat perlunya gabungan parti yang berasaskan kaum, iaitu Umno, MCA dan MIC. Melalui parti-parti tersebut ada ruang untuk kaum berlainan mencari arah, dan berusaha melaksanakan hasrat masing-masing.

Kemasukan parti-parti yang tidak berasaskan kaum ke dalam BN adalah peristiwa kemudian. Hal itu berlaku atas kebijaksanaan pemimpin BN yang memikirkan kestabilan politik.

Peluang untuk ekspresikan kecintaan pada kaum masing-masing merupakan kelebihan bagi BN. Kecintaan pada kaum diarahkan untuk membina cinta kepada bangsa Malaysia. Nasionalisme kaum, atau dapat kita sebutkan komunalisme, masih mempunyai tempat di Malaysia. Ini bererti pemimpin Malaysia perlu sentiasa  berwaspada dalam hal layanan terhadap kaum-kaum.

Pemikiran kedua ialah pemikiran religious. Pas ditubuhkan untuk memaparkan jalan yang berbeza dari jalan Umno. Ahli-ahli Pas didorong untuk memikirkan agama jauh lebih penting daripada bangsa. Bagaimanapun, untuk sekian lama Pas berada dalam lingkungan orang Melayu.

Di Semenanjung, Melayu dilihat bersekali Islam. Revolusi di Iran pada akhir dekad 1970an telah menimbulkan idea baharu dalam kalangan pemimpin Pas. Corak perjuangan mereka kian distingtif. Bagi mereka, kualiti parti yang distingtif akan lebih berpotensi mencemerlangkan perjuangan.

Apabila timbul hasrat Pas menubuhkan negara Islam di Malaysia, Umno di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir mengemukakan slogan "Penerapan Nilai-nilai Islam". Mahathir kemudiannya memperoleh kekuatan tambahan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Umno.

Ketika itu keupayaan Anwar untuk memimpin Umno terserlah, hinggalah berlaku peristiwa yang menyebabkan beliau dipecat. Pemimpin DAP pula berasakan perlunya persediaan untuk menghalang penubuhan negara impian Pas.

Seterusnya ialah pemikiran sosialisme. Sama seperti pemikiran nasionalisme, pemikiran ini muncul sebelum kemerdekaan. Orang sosialis berjuang untuk mendapatkan hak sama rata dalam bidang ekonomi. Selain menentang penjajah, orang sosialis juga menentang sistem ekonomi yang terlalu menguntungkan pemodal.

Prinsip perniagaan amalan  kapitalis ialah mendapatkan untung maksimum. Ini bertentangan dengan pejuang orang sosialis yang membela rakyat jelata (petani, buruh dan nelayan).

Demikianlah tiga jenis pemikiran yang ketara dalam jangka masa 60 tahun. Sampai sekarang pun, masih terdapat pemikiran yang mirip tahap awal, atau tahap pertumbuhan. Terdapat rakyat Malaysia yang komunal, iaitu berjuang untuk kaumnya saja.

Mereka yang berada dalam parti nasionalis memang wajar berjuang untuk kaum masing-masing, dengan syarat jangan sampai menimbulkan prasangka perkauman. Hal sedemikian, kerana orang dalam kumpulan tertentu saja yang memahami kehendak kumpulannya.

Di samping itu, terdapat fenomena mengelirukan. Parti berasaskan agama mempunyai masalah, kerana bertentangan dengan parti yang berasaskan kaum. Akibatnya berlaku konflik Umno-Pas, dua parti dianggotai kaum dan agama sama. Hal ini berlaku kerana ada usaha distingtif untuk mengatakan anggota parti yang satu itu kurang semangat Islam. Anehnya, parti yang berasaskan Islam boleh berbaik-baik dengan parti yang berasaskan sosialisme, dan berbeza kaum.

Kekeliruan juga berlaku dalam hal sosialisme. Majoriti ahli parti secara prinsipnya mengamalkan fahaman sosialisme satu kaum. Akibatnya, golongan pemimpin parti tersebut terdiri daripada tokoh-tokoh satu kaum, kecuali beberapa orang yang berbeza.

Dalam keadaan begini, hasrat untuk berikan khidmat kepada keseluruhan rakyat Malaysia tidak tercapai. Demikianlah rangka awal bicara tentang pemikiran politik di Malaysia.