BANDAR SERI BEGAWAN - BRUNEI. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengarahkan pihak berkuasa bertindak segera menangani kekeliruan dalam  Kod Panel Syariah 2013.

Gesaan itu disuarakan ketika baginda mempengerusikan mesyuarat dengan Majlis Agama Islam Brunei, semalam.

Dalam titah ucapan, baginda turut melahirkan kebimbangan mengenai kekeliruan orang ramai dan sebaran maklumat yang salah mengenai perkara berkaitan dengan penguatkuasaan kod baharu tersebut.

“Kita perlu bertindak cepat. Segala yang salah perlu diperbetulkan. Terdapat banyak cara untuk memberi penjelasan, memperbetulkan persepsi dan maklumat mengenai undang-undang ini,” katanya.

Menurut baginda, media cetak dan elektronik juga perlu memberi pencerahan dengan menjadi saluran utama dalam penyebaran maklumat tepat mengenai Kod Panel Syariah.

“Jika orang keliru, ia boleh menyebabkan pelbagai tindak balas seperti marah, rasa tidak puas hati  atau takut serta benci,” titahnya lagi.
Brunei muncul sebagai negara Asia pertama memperkenalkan Kod Panel Syariah, sekali gus melaksanakan hudud.

Kelmarin, Kementerian Hal Ehwal Agama memberitahu, sebuah jawatankuasa penguatkuasaan terdiri daripada 32 pegawai dibentuk untuk memberi lebih banyak taklimat secara konsisten mengenai undang-undang itu.

Penerangan mengenai hukuman itu turut disampaikan kepada ketua agama lain bagi memberi pemahaman yang betul.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah menangkis kritikan antarabangsa berhubung pelaksanaan hukum hudud di negaranya dan menafikan tindakan itu satu langkah ke belakang.

Mac lalu, laman web Mail Online melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, semua bangsa perlu bersatu di bawah undang-undang syariah dan baginda menyifatkan kod panel baharu itu merupakan kejayaan besar Brunei.

Hukum hudud yang memperuntukkan hukuman sebat dan rejam sehingga mati bagi kesalahan tertentu, mula dilaksanakan sejak 1 Mei.

“Pihak luar perlu menghormati sebarang keputusan Brunei sama seperti negara ini menghormati keputusan pihak lain,” titahnya.

Sementara itu,menurut laporan Brunei Times, Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rupert Colville mengkritik pelaksanaan hukum hudud di negara terbabit yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.

Colville dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius pelaksanaan undang-undang Islam tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati bagi kesalahan seperti merogol, berzina dan meliwat.

http://www.sinarharian.com.my/global/tangani-segera-kekeliruan-hudud-1.277417