RAMAI sudah mengetahui tentang perancangan Pas Kelantan untuk merealisasikan pelaksanaan hukum hudud di negeri tersebut.

Pihak menyokong kesemuanya merupakan pihak yang mengerti tujuan sebenar pelaksanaan hudud di negeri Kelantan.

Manakala, pihak yang menentang berkemungkinan membantah kerana tiada penerangan jelas daripada mereka yang arif mengenai hudud ataupun berkemungkinan disebabkan persepsi negatif  sejak dahulu mengenai hudud.

Malah ada khuatir jika hudud dilaksanakan berkemungkinan akan beri kesan kepada kerjasama politik antara parti seperti dalam PR.

Ada jalan hudud direalisasi

Jika dilihat dari usaha sedang dilaksanakan kerajaan  Kelantan, terdapat jalan yang jelas bagi merealisasikan hukum hudud di Kelantan.

Ini berdasarkan sokongan positif daripada ahli Parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat.

Walaupun ahli-ahli Parlimen dari PR seperti PKR dan DAP masih menentang, namun disebabkan Pas hanya perlu undi majoriti mudah tiada masalah bagi hudud diluluskan di Parlimen.

Perkara ini disokong oleh penganalisis yang menegaskan sekiranya Pas membentangkan rang undang-undang persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan, ia hanya perlukan majoriti mudah untuk diluluskan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, undian dua pertiga ahli Parlimen hanya diperlukan apabila usul yang dibawa melibatkan pindaan Perlembagaan Negara.

“Kita pun tidak pasti yang mana satu akan dibawa Pas, tapi jika rang undang-undang yang melibatkan perkara penting seperti berkenaan raja-raja dan sultan, perlukan majoriti dua pertiga,” katanya kepada Sinar Harian.

Masalah sekarang adalah jika Parlimen berjaya meluluskan hudud di Kelantan, adakah penerangan berhubung hukum tersebut mampu diberikan secara jelas bagi  semua rakyat di negara ini faham.

Apa dikhuatiri adalah masih ramai orang tidak faham tentang pengertian sebenar hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan termasuk orang Islam sendiri.

Ramai anggap hudud hanya potong tangan

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Musa Awang berkata, masih ramai memberi tanggapan salah berkenaan hudud

Ramai menganggap hudud sebagai hukuman ‘potong tangan’ dan ini menjadi faktor utama mengapa undang-undang Islam itu mendapat tentangan, terutamanya daripada orang bukan Islam.

Sedangkan katanya, hukuman potong tangan terhadap orang yang mencuri hanya akan dijalankan setelah melalui proses pembuktian yang amat teliti.

“Kebanyakan orang menganggap hudud ialah hukuman potong tangan dan itulah yang selalu digembar-gemburkan. Namun, tidak semua yang mencuri akan dipotong tangan kerana dalam hudud ada prosesnya seperti kita perlu lihat dulu berat mana kesalahan dan kadar yang dicuri.

“Malah, dalam hudud ada konsep memaafkan pencuri dengan syarat dipulangkan balik barang yang dicuri. Sekiranya dijatuhkan hukuman potong tangan, masih ada proses rayuan dan konsep itu yang sebenarnya ramai tidak faham,” katanya.

Ramai masih lagi tidak jelas mekanisme sebenar pelaksanaan hukum hudud ini di Kelantan.

Ini kerana, realitinya bukan mudah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah menggunakan sistem hudud kerana ia memerlukan pelbagai proses bagi memastikan hukuman diberi benar-benar adil.

Musa berkata, hudud merangkumi enam atau tujuh kesalahan termasuk zina, murtad, minum arak dan merompak.

Setiap satu kesalahan itu mempunyai proses pembuktian sangat ketat sebelum seseorang itu dijatuhkan hukuman.

"Misalnya, kesalahan untuk zina hanya diterima dengan pengakuan penzina dan empat saksi cukup syarat.

"Jika tiada, kita  akan pergi hukuman seperti ta’zir dan bukannya rejam untuk penzina sudah berkahwin," katanya.

Oleh itu, wajar sekiranya hudud hanya diperkatakan oleh pakar yang memahaminya dengan jelas agar tidak timbul kekeliruan dan bagi mereka yang tidak bersetuju, sepatutnya memilih saluran yang betul seperti forum  untuk menyuarakan pandangan.

Wacana kunci penerangan hudud

Sehubungan itu, orang ramai yang masih tidak faham mengenai perlaksanaan hudud ini, berpeluang untuk mendengar dan menilai sendiri apa yang cuba diperkatakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam Wacana Sinar Siri27 esok di Kumpulan Media

Karangkraf, di Seksyen 15, Shah Alam. Kelantan diwakili oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ahli panel lain adalah bekas Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Pengarah, Institut Wasatiyyah Malaysia, Dr Mushaddad Hasbullah; dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong. Moderatornya ialah Dr Maszlee Malik.

Walaupun dilihat wacana ini berpotensi menjadi medan perdebatan, namun semua pihak perlu kekal positif bahawa segala perselisihan boleh diselesaikan dengan cara berhujah fakta yang betul dan bukannya melalui kritikan semata-mata.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ramai-kurang-jelas-bentuk-hukuman-hudud-1.277298