Setelah 19 hari pencarian pesawat yang disertai oleh 26 negara dengan pelbagai aset tercanggih dunia, akhirnya kesimpulan yang dibuat, MH370 hilang di Lautan Hindi.

Walaupun sehingga hari ini rangka pesawat masih belum ditemui, namun kesimpulan berasaskan analisis pakar hakikatnya benar-benar meruntun setiap hati yang mendengar perkhabaran mutakhir ini lantaran melibatkan kehilangan jiwa terbesar dalam sejarah aviasi.

Walaupun pelbagai spekulasi dan teori konspirasi terus dicanangkan oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab, hakikat tidak dapat dinafikan lagi bahawa musibah ini adalah semuanya mengikut ketentuan mutlak ALLAH.
ALLAH menegaskan dalam firman-Nya: “Tidak ada sesuatu  bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum kami menciptakannya…” (Al-Hadid: 22)

Sebab itulah sebagai umat Islam, kita seharusnya tidak terlalu terikut-ikut dengan pelbagai teori konspirasi yang bukan-bukan hingga sering kali menjerumus ke kancah fitnah yang memudaratkan.

Lebih membimbangkan lagi jika kepercayaan kepada teori konspirasi ini menghakis keyakinan kepada kuasa mutlak ALLAH yang berkuasa ke atas segala-galanya. Sebab itulah Rasulullah SAW turut bersabda dalam sebuah hadis Riwayat Ahmad dan lainnya: “Setiap sesuatu itu ada hakikatnya. Seorang itu tidak mampu mencapai hakikat iman sehinggalah dia meyakini apa telah ditetapkan akan menimpa dirinya, dia sesekali tidak akan terlepas daripadanya. Dan apa yang tidak ditetapkan ke atasnya, ia tidak sesekali akan menimpanya”.

Memang benar setiap sesuatu yang berlaku itu ada sebab musababnya. Namun untuk berterusan mencanangkan pelbagai spekulasi dan teori konspirasi sehinggakan ada tergamak menuduh dan mentohmah pihak tidak berdosa tentulah membawa dosa yang lebih besar.

Lebih parah lagi apabila ada yang tergamak mempolitikkan isu kehilangan pesawat dengan mengaitkannya sebagai agenda jahat kerajaan untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada kes liwat yang dijatuhkan hukum oleh Mahkamah Rayuan ke atas Anwar Ibrahim.

Ramai juga dalam kalangan pimpinan pembangkang termasuk ketuanya yang seolah-olah memperlekeh usaha kerajaan mencari MH370 yang disifatkan sebagai tidak cekap dan tidak telus.

Mujurlah masih ada ahli politik seperti Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Haron Din yang menjelmakan sikap negarawannya dengan membuang perbezaan ideologi parti politik sambil memuji dan mendukung segala usaha keras kerajaan untuk mencari pesawat yang hilang.

Sikap seperti inilah yang perlu ada pada setiap anggota parti daripada peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah kepada yang terbawah. Mesti ada sempadannya dalam berpolitik dan berparti. Amat malang jika dalam keadaan negara ditimpa musibah yang menjadi perhatian dunia keseluruhannya, kita masih sibuk berpolemik sesama sendiri.

Buat mereka yang masih terhimbau apatah lagi taksub dengan pelbagai teori konspirasi, janganlah berlebih-lebihan hingga berbuat dosa pula pada mereka yang telah meninggalkan kita. Lebih menggerunkan jika tohmah dan fitnah konspirasi ini menggelincirkan kita daripada aqidah yang benar dan sahih seolah-olah mempertikaikan qada’ dan qadar ALLAH.
Kita seharusnya meyakini bahawa manusia boleh merancang dan berkonspirasi, namun hakikatnya hanya ALLAH sahaja Yang Maha Berkuasa menentukan sama ada usaha mereka itu berjaya atau sebaliknya.

Apa yang lebih utama pada saat negara dan rakyat dirundung kesedihan, alangkah baiknya setiap kita menzahirkan solidariti untuk sama-sama berganding bahu memberi sokongan moral kepada semua pihak, khususnya ahli keluarga yang terlibat dalam tragedi kehilangan MH370 ini.

Kita tentunya malu dengan pelbagai coretan rencana sinis di media-media antarabangsa yang menonjolkan sikap masyarakat Malaysia seolah-olah terlalu menggilai politik hingga  dalam isu yang besar seperti ini pun tidak boleh menzahirkan kesatuan dan solidariti.

Lebih buruk lagi apabila Malaysia digambarkan sebagai negara yang mempunyai prasarana dan bangunan kelas pertama, tetapi rakyatnya masih berpemikiran dan bermentaliti kelas ketiga.

Mudah-mudahan ALLAH mencucuri rahmat atas roh mereka yang terkorban. Sedekahlah al-Fatihah buat mangsa yang beragama Islam. Al-Fatihah.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/usah-dibuai-pelbagai-teori-konspirasi-1.263927