Sabasun perlu selesai isu tanah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sabasun perlu selesai isu tanah


DATUK Bandar masih tunggu respons pemilik untuk selesai masalah berbangkit.

Bagi mendapatkan maklum balas MBKT mengenai isu Sabasun Hyper Runcit, Norhaspida Yatim mendapatkan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd Dagang. Ikuti temubual wartawan Sinar Harian bersama beliau.

Isu mengenai Syarikat Sabasun Hyper Runcit Sdn Bhd hangat diperkatakan masa kini terutama di laman blog dan seumpamanya dan ada juga pihak yang menyalahkan MBKT atas apa yang berlaku, apa reaksi pihak Datuk mengenai perkara ini?

Adzlan: Untuk makluman, kita mempunyai lebih 8,000 pemilik lesen di daerah ini untuk diuruskan dan sepanjang tempoh 8 tahun berada di MBKT, inilah pertama kali kita dapati usaha untuk gunakan media lain bagi menyelesaikan masalah sebegini.

Sebenarnya, kita masih tunggu respons daripada pemilik syarikat Sabasun Hyper Runcit Sdn Bhd untuk selesaikan masalah ini, masalah berbangkit sehingga menimbulkan pelbagai isu dan polemik.

Untuk makluman, isu berkaitan Sabasun ini dah lama berbangkit sejak arwah ayah pemilik syarikat yang sekarang, semasa di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPT) dulu,  kita berusaha untuk bantu Sabasun untuk pastikan peniagaan mereka terus maju memandangkan mereka adalah syarikat bumiputera.

Sabasun yang kita perhatikan hari ini digambarkan sebagai hypermarket seperti Mydin dan sebagainya,  sebenarnya hypermarket adalah sebagai mana Mydin dan Giant di mana perlukan kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum diangkat diberi kelulusan untuk jadi hypermarket.

Jadi, Sabasun ini bagi kita bukan hypermarket sebab tiada kelulusan KPDNKK, sebab itu kita anggap ia hanyalah mini super market, jadi sebab itu ia tidak tertakluk kepada KPDNKK dan hanya kelulusan daripada pihak MBKT sahaja.

Sebagai warga bandar, kemudahan yang ada seperti di hypermarket di mana sediakan parkir yg sesuai dengan bilangan, dengan keluasan lantai tetapi di Sabasun kita lihat, tidak ada parkir pun disediakan tetapi kita masih bertolak ansur.

Malahan, pada 2000, kita juga ada menawarkan di lot kita untuk Sabasun jadikan kawasan parkir di mana kita bantu beliau dengan tawar guna tanah di belakang Sabasun dengan sewa RM5,500 setahun, kemudiannya, mereka berunding dan kita kurangkan pula kepada RM4,000, itu bantuan yang kita beri dengan syarat-syarat yang kita beri di mana tanah itu hanya digunakan untuk parkir tanpa melakukan sebarang binaan kekal atau sementara di situ.

Kalau dia masih ingat, mula-mula saya di majlis ini, kita dapat arahan daripada kerajaan negeri untuk hapuskan parkir di pinggir jalan termasuk di Sabasun dan saya telah jumpa dengan mereka dan beri mereka guna parkir di tanah kita walaupun kita buang parkir di pinggir jalan.

Kita di pihak majlis berharap agar dapat membantu usahawan bumiputera seperti mereka supaya dapat terus berniaga dan pada masa yang sama, acap kali kita minta mereka untuk kemukakan permohonan untuk mendapat kebenaran bagi membina bangunan-bangunan tambahan sebagaimana yang di telah buat.

Dulu, ketika Sabasun mula dibina keluasan seperti pada gambarajah yang kita sediakan, bangunan yang dibina sementara (warna biru) itu merupakan bangunan kekal yang ada tetapi pada masa yang sama kita minta mereka penuhi beberapa syarat dan kemukakan CF untuk bangunan itu tetapi sampai sekarang mereka tidak kemukakan.

Malah selepas itu mereka tambah pula bangunan, besarkan dan menyambung struktur yang lain pada satu bentuk bangunan dan lot parkir belakang yang kita tawarkan dulu iaitu lot PT 1472 juga telah dibina struktur bangunan.

Memandangkan kedudukan bangunan ini belum selesai dari kelulusan bangunan, kita minta beliau kemukakan permit sementara pada tahun 2010 dan kita dapati pada 27 Februari mereka  telah hantar permit permohonan untuk bangunan yang sedia ada.

Untuk makluman, kita memang ada dasar untuk bantu peniaga Melayu yang kita tahu masih guna bangunan lama, jadi kita telah buat dasar iaitu dasar pemutihan di mana bangunan lama yang bermasalah kita beri kebenaran utk dapatkan permit sementara termasuk Sabasun tapi, malangnya beliau hanya kemukakan permohonan permit sementara pada 22 Oktober 2011.

Tetapi, apabila pertimbangkan permohonan ini banyak dokumen yang gagal dikemukakan Sabasun termasuk gagal serahkan geran asal tanah dan difahamkan tanah ini masih belum selesai ‘tarekah’ jadi dengan itu kita tak boleh pertimbangkan kerana ini masih ada dua, tiga orang penama dan penyelesaian belum selesai, jadi, kita tak boleh bantu sebab tanah milikan ramai.

Jadi, dengan itu, kita rasakan beliau perlu selesaikan dahulu isu tanah itu dan pada masa yang sama kita minta beliau merobohkan bangunan yang dibina tanpa permit iaitu di tanah milik kita di mana kalau tidak juga selesai kita tak nak keluarkan lesen kerana banyak yang bercanggah dengan undang-undang.
Ada dakwaan daripada pihak Sabasun bahawa mereka pernah menghantar beberapa surat berkaitan isu CF di bangunan itu tetapi tidak mendapat maklum balas dari pihak MBKT?
Adzlan: Sehingga hari ini kita masih tunggu beliau untuk datang ke sini jumpa saya dan bincang sebab mereka telah buat pembinaan salah di tanah kita dan milik kerajaan dan harapan kita beliau akan datang.

MBKT dah maklumkan tentang pertemuan ini dah hampir setahun, dan surat terakhir kita beri pada 10 Jun 2013 kita minta dia selesai hal tarekah tanah dulu malah pada 30 Dis 2012 pun kita ada hantar untuk minta beliau selesai kan dulu masalah tarekah tetapi dia tak datang jumpa kita sampai sekarang.

Masalah yang ditimbulkan ialah masalah perniagaan iaitu kita ada beberapa akta yang perlu kita lihat dalam kita selesaikan masalah pembangunan untuk selesaikan, masalah lesen ini iaitu Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang mengatakan tiada seorang pun yang boleh bina bangunan tanpa kebenaran bertulis daripada PBT.

Keduanya, Undang-undang Kecil Status Kedai Makanan 1991 yang menyatakan tiada sesiapapun boleh jual sebarang bentuk aset makanan tanpa kebenaran PBT.

Jadi, kalau mereka dakwa bahawa kita tak kuarkan lesen kita masih mengambil perundangan secara dengan betul bagi menyelesaikan masalah ini terutama binaan yang tidak dapat kebenaran termasuk milik kita dan kerajaan.

Sebenarnya, mereka perlu selesaikan dulu isu tarekah itu sebab kita tak tahu status milikan tanah itu untuk kita pertimbangkan permit sementara dan perlu diingat super mini market ini
melibatkan orang awam yang tertakluk kepada keperluan teknikal termasuk bomba.

Sekiranya berlaku sebarang kita yakin kita akan bertanggungjawab, jadi, kita harap pihak Sabasun perlu mencari kita sebagai agensi bertanggung bukan cari saluran lain untuk tidak membantu malah mengeruhkan lagi suasana.

Adakah punca bangunan Sabasun tidak boleh disambung kerana tidak memiliki CF?

Adzlan: Bukan sebab kerana tiada CF, kerana sebelum ini pun Sabasun tiada CF, mereka tidak boleh sambung bangunan itu kerana belum menyelesaikan lagi isu berkaitan terekah tanah itu.
>> Bagaimana pula dengan dakwaan mereka mahu beli beli tanah di tapak parkir kereta itu pada asalnya, tetapi MBKT tidak benarkan?

Adzlan: Isu jualan tanah untuk orang itu sebenarnya majlis sendiri tak boleh putuskan sebarang harga atau kelulusan walaupun tanah milik majlis sebab setiap tanah yang nak dijual kita mesti dapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Kita bukan boleh jual macam itu sahaja, saya tak yakin akan jual aset kita begitu sahaja dengan begitu mudah, dia kena faham.

Bagaimana pula dengan kisah tanah di Sabasun 2, Wakaf Tembesu?

Adzlan: Di Gong Badak tu kita tiada masalah apa-apa pun, sekarang soalnya di Bukit Kecil ini sahaja. Kalau dia kata MBKT anak tirikan Sabasun, itu tidak benar sebab keperluan di sana
kita tiada masalah sebab kita beri lesen dan permit.
Berkenaan nak jual tanah di Sabasun Wakaf Tembesu dan dijual kepada pihak asing itu saya tidak tahu. Jadi, saya harap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan selepas pelbagai tuduhan yang dibuat kepada pihak MBKT.

Mengikut perundangan asal, Sabasun ada lesen, pada masa itu adakah sekiranya mereka tidak mempunyai CF, mereka masih boleh mendapatkan lesen atau permit perniagaan?

Adzlan: Sabasun memang tiada CF tetapi kita masih boleh beri mereka lesen, cuma, kita beri permit untuk guna bangunan itu sementara.

Kalau soal tarekah tanah itu telah selesai, adakah permohonan permit untuk meneruskan perniagaan daripada pihak Sabasun itu akan dipertimbangkan MBKT?

Adzlan: Apabila selesai isu itu, kita akan pertimbangkan dengan syarat tertentu dan kita akan bantu mereka, tetapi untuk dapatkan lesen, Sabasun kena patuhi syarat itu. Pada peringkat awal, kita keluarkan lesen kepada mereka atas dasar super market.

Mengikut sejarah, Sabasun ini kita lesenkan pada awal 1990-an, untuk lesen bangunan asal sahaja. Kalau kita teruskan beliau dengan lesen asal, kita tak dapat selesaikan masalah berkaitan Sabasun. Sebagai kedai runcit sahaja. Kita tak hantar notis cuma kita ada panggil secara bersurat untuk datang berjumpa dengan kita tetapi tiada respons daripada pihak Sabasun.

Bermula sebagai sebuah kedai runcit dan mulai 2003, kita lesenkan di bawah pasar raya persendirian lepas tu sehinggalah pada 2005, masa tu dia bayar lesen RM2,000, kemudian dari tahun 2006 hingga 2012 bayar RM2,080.

Sebab kita ambil iklan sikit dan itulah lesen yang dibayar dan mulai 2013 kita gantung sebab kita nak bangunan itu di disahkan dulu kerana sekiranya berlaku apa-apa, kita yang dipertanggungjawabkan.
Maknanya, kita tetap kekalkan lesen untuk bangunan asal masa itu tetapi pada 2005 berdasarkan pembesaran bangunan kekal yang dibuat pada masa itu, sebab itu kita gantung lesen dia mulai 2013.

>> Pihak Sabasun memaklumkan tiada menerima sebarang notis, surat untuk memanggil mereka berbincang mengenai isu berkaitan CF dan seumpamanya, adakah benar?

Adzlan: Kita telah memanggil mereka untuk berbincang perkara ini sejak akhir 2012, tetapi mereka hanya hantar kerani sahaja, saya dah beri penjelasan untuk mereka selesaikan status bangunan mereka itu.
Kalau dilihat apa yang berlaku hari ini, kalau dia tidak datang bertemu saya atau datang ke majlis , saya yakin dan saya tahu bahawa dia mungkin tak ambil berat mengenai perkara ini.

Sebelum ini, Sabasun ada mengatakan tidak pernah mendapat respons daripada pihak MBKT mengenai surat yang mereka hantar berhubung isu permohonan CF, bagaimana pula dengan dakwaan ini?

Adzlan: Dia memang tak dapat respons secara 'personally', tetapi, sebagai 'owner', dia sendiri perlu datang bertemu saya, untuk selesaikan masalah ini. Bagaimana pula dia boleh dakwa tak dapat surat atau sebarang maklum balas sedangkan dia sendiri, pemilik sendiri tidak datang bertemu saya dan hanya hantar wakil.

Bagaimana pula dengan dakwaan mereka terpaksa bayar hampir setengah juta untuk sewa tapak parkir di Sabasun Bukit Kecil sedangkan harga kawasan itu ketika mereka mohon mahu beli ketika itu hanya RM360,000? Bagaimana dengan isu ini?

Adzlan: Ini bukan isu, mereka bayar harga berapa sebuah bangunan, berapa lama dan berapa banyak mereka sewa, tanah itu tidak akan dapat kepada mereka. Kita tidak pernah membuat perjanjian sewa beli. Saya rasa saya tidak perlu jelaskan perkara ini.

Adakah MBKT akan beri tempoh tertentu untuk penggantungan lesen mereka?

Adzlan: Saya tidak mahu beri satu tempoh tertentu sebab kita masih berunding lagi dengan Sabasun. Ini masih tahun 2013, belum 2014 lagi.

MBKT tak lakukan sebarang tindakan kerana kita masih berunding.

Kita ada keputusan untuk ambil tindakan perundangan, tetapi kita bagi tahu minta mereka selesaikan dan beri peluang untuk selesaikan isu pembinaan di atas tanah kerajaan.

Mengenai masalah pembinaan bangunan tambahan, mereka tidak memaklumkan sebarang permohonan kepada kita untuk membina bahagian tambahan itu. Kita masih beri peluang kepada mereka.

Saya berharap pemilik bangunan dapat memahami aspirasi kita, kita banyak bertolak ansur dan memberi bantuan kepada mereka.

Kita harap mereka dapat selesaikan masalah pembinaan bangunan di atas tanah kerajaan ini terlebih dahulu. Kita minta mereka robohkan bahagian penambahan di tanah ini.

Kita juga minta mereka selesaikan dulu masalah tarekah tanah milik bangunan asal mereka dahulu.

Sebab difahamkan tanah itu milik Allahyarham ayah mereka. Sebab itu mereka perlu selesaikan dahulu masalah tanah mereka.

Kita juga minta sebelum mereka ambil keputusan lain, tolong bantu perundangan yang ada yang diguna pakai 8,000 lebih peniaga lain yang ada di sini.

Bagi mengelak spekulasi yang dilakukan oleh setiap pihak, adakah pihak Datuk akan adakan satu tarikh untuk bertemu bagi menyelesaikan perkara ini daripada berpanjangan?

Adzlan: Saya tidak akan panggil mereka, dia yang perlu bertemu pihak majlis.

Dia yang perlu datang untuk berbincang mengenai perkara ini.

Kita tidak kenakan tindakan undang-undang ke atas mereka pun sudah kira bagus.

Jumpa dengan warga kota untuk sebarang masalah ialah kerja saya. Saya tiada sebarang masalah dengan dia.

Saya dibayar gaji untuk jumpa warga kota, untuk selesaikan sebarang masalah. saya tidak boleh kata tidak sudi, saya dibayar gaji untuk bantu warga kota untuk selesaikan sebarang
masalah.
Tiada sebarang pilih kasih, kalau mereka minta mahu kita adakan mesyuarat khas untuk mereka pun, insya-Allah, kita boleh usaha untuk adakan.

0 Komentar untuk "Sabasun perlu selesai isu tanah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI