MEMBAWAKAN genre psiko-thriller, Tembus yang menggandingkan Aaron Aziz, Nur Fazura dan Luna Maya sebagai bintang utama, mengisahkan konflik dalam sebuah keluarga yang mana si isteri mempunyai hasil pendapatan yang lebih tinggi berbanding si suami.

Kejayaan yang hadir membuatkan tanggungjawab utama kedua-dua pihak berubah sama sekali, namun semuanya berubah apabila anak tunggal kesayangan mereka hilang.

Sepanjang mencari jawapan mengenai kehilangan anak mereka, kebenaran semakin terbongkar.

Turut menampilkan Khir Rahman, Eizlan Yusof serta si cilik, Mia Sara, filem ke-14 terbitan Excellent Pictures ini telah memulakan penggambarannya di sekitar Kuala Lumpur sejak 24 Ogos lalu dan dijangka menemui penonton pada pertengahan tahun hadapan.

Pengarahnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, meskipun filem terbaru taruhannya itu mengangkat kisah kekeluargaan, namun ia membawa mesej yang sangat mendalam untuk dihayati penonton, terutamanya mereka yang sudah berkeluarga.

Selain kekuatan skrip dan jalan cerita, kelebihan Tembus juga terletak pada pelakonnya yang digandingkan menerusi tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Saya sanggup membuat pelaburan yang tinggi untuk filem ini dengan harapan ia dapat menembusi pasaran di ketiga-tiga buah negara.

"Dari segi pemilihan  pelakon, saya dah lama nampak keserasian di antara Aaron dan Fazura yang saya rasakan sesuai untuk membawakan watak suami dan isteri.

"Sementara penampilan Luna Maya pula melengkapkan lagi gabungan mereka, sementelah dia juga berminat untuk bekerjasama dengan Aaron Aziz,” katanya yang melabur hampir RM1.8 juta untuk filem itu.

Dalam pada itu, pengarah Gangster Celop dan Lari ini turut merancang untuk menghasilkan filem bergenre kanak-kanak, sosial media, aksi dan komedi dalam tahun depan.
Aaron cari kepuasan

Teraju utama filem Tembus, Aaron Aziz, membawakan watak Hari Syah, iaitu seorang suami kepada kepada Nurizza (Fazura) dan bapa Nurzara (Mia Sara) serta mengambil alih tanggungjawab isterinya dalam rumah tangga selain punya rahsia tersendiri.

Katanya, filem ini bertemakan drama keluarga dan diharapkan ia dapat meninggalkan kesan kepada penonton selain cukup rencahnya dalam menyokong penceritaan.

“Jika ia adalah drama bersiri di TV,  pelakon dan pengarah mempunyai cukup masa untuk membina sesebuah watak dalam menonjolkan elemen sedih, konflik dan sebagainya dalam setiap episod,” katanya.

Berkongsi mengenai dua jelitawan yang berganding dengannya, Aaron memberitahu, bukan masalah besar untuknya mendapatkan keserasian bersama Fazura dan juga Luna Maya menerusi filem itu.

“Saya dan Fazura pernah bekerjasama dalam filem ‘Pisau Cukur’, jadi saya tiada masalah untuk mencari keserasian dengannya.

“Namun masa agak singkat untuk saya mengenali Luna. Kami hanya sempat berjumpa dan berborak di set penggambaran. Dengan cara itu, keserasian datang dengan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, dia kini mengambil pendekatan yang lebih selektif dalam menerima tawaran berlakon untuk sesebuah produksi.

Ini kerana, katanya, dia mahu melakonkan watak-watak yang mampu memberinya kepuasan pada dirinya dan juga penonton.

“Saya bukanlah seorang yang cerewet, tetapi apa yang saya mahukan ialah kepuasan. Tambahan pula, setiap lakonan saya kini bukan lagi untuk mencari populariti, tetapi lebih kepada mencari kepuasan,” tegasnya.

Ditanya mengenai filem lakonannya, KL Gangster 2 yang kini bocor di internet, Aaron berkata, dia yakin ada hikmah di sebaliknya.

“Lihat sahaja pada filem-filem Hollywood, ada yang masih belum keluar di sini, tapi cakera padat video (VCD) cetak rompaknya dah keluar. Tetapi, apabila filem itu ditayangkan tetap ada yang menontonnya,” katanya.

Jelasnya, situasi itu menjadi satu daya tarikan untuk penonton ke pawagam kerana seperti yang diketahui VCD cetak rompak itu tetap tidak mendatangkan sebarang kepuasan.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu. Benda ini lama kelamaan akan mendatangkan satu kerugian agak besar pada negara. Ia ibaratkan macam orang datang ambil hasil orang lain dan jualnya di tempat lain,” katanya.


Bila Fazura jadi ibu...

Pertama kali memegang watak sebagai seorang ibu adalah satu cabaran besar buat aktres jelita, Fazura.

Heroin drama bersiri Kisah Cinta ini memberitahu, dia banyak membuat kajian demi menghidupkan watak itu itu.

“Saya memegang watak sebagai Nurizza, seorang isteri dan juga ibu muda. Dek kerana sibuk dengan kerjaya, Nurizza membiarkan tanggungjawab menjaga anaknya, Nurzara (Mia Sara) digalas oleh suaminya, Hari Syah (Aaron Aziz).

“Karakter Nurizza juga digambarkan sebagai isteri yang lebih berjaya dari suaminya,” katanya.

Meskipun pernah bergandingan bersama Aaron menerusi filem Pisau Cukur, namun bagi Fazura, watak pasangan suami isteri menerusi Tembus tetap memberikan cabaran buat mereka.

“Kadang-kadang, kami kurang berkesempatan untuk berlatih setiap babak sebelum ke set, tapi Aaron merupakan seorang pelakon yang sangat profesional, jadi tiada masalah untuk saya bekerja dengannya,” katanya.


Bercinta dengan Shahizey Sam?

Sementara itu, mengulas mengenai gosip yang mengaitkan dirinya dengan aktor kacak Shaheizy Sam, dia bagaimanapun pantas menafikan gosip itu.

“Saya tak bercinta dengan dia. Orang cuma kaitkan saya dengan dia semenjak kami berlakon bersama. Apabila saya berlakon dengan Sam dalam Kisah Cinta dan seterusnya saya juga bergandingan dengannya dalam filem Manisnya Cinta, orang terus kaitkan saya dengan dia.

“Saya anggap ini sebagai asam garam anak seni sahaja. Tapi saya senang bekerja dengan Sam, dia seorang pelakon profesional dan sangat menitik beratkan soal kerja,” katanya.


Luna puji Aaron

Pelakon dari Indonesia, Luna Maya mengakui pengalaman bekerja di Malaysia agak santai berbanding di Indonesia.

“Jika di Indonesia, waktu penggambaran bermula seawal jam 8 pagi dan jadual perjalanan masanya sedikit ketat,” katanya yang tertarik untuk membintangi filem itu selepas membaca skripnya.

Membawa watak sebagai Marylia, iaitu seorang usahawan dari Jakarta yang sering datang ke Malaysia dan akhirnya jatuh cinta dengan Hari Syah (Aaron Aziz), Luna berkata, dia sangat teruja dapat membintangi filem itu di samping Aaron.

“Ini adalah pertama kali saya berlakon dengan dia. Dia seorang yang sangat berkarakter dan sangat sweet," ujar Luna yang turut mengagumi Ahmad Idham.