Johor Bahru: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan Jawatankuasa Panel Inkuiri secepat mungkin bagi mengumpul semua maklumat berhubung kemalangan maut di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa, minggu lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata jawatankuasa itu akan ditubuhkan selepas pihaknya menerima semua laporan dan hasil siasatan daripada pelbagai agensi seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terbabit dalam proses itu.
Panel berkenaan akan melaporkan hasil siasatan kepada SPAD sebelum kita kemukakan kepada Perdana Menteri. Jika ada kes, kita akan serahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan, katanya selepas majlis taklimat Program Teksi 1Malaysia (TEKS1M) di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini semalam.


Hadir sama, Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Hisham Othman.

Katanya, hasil inkuiri itu juga akan dijadikan rujukan oleh SPAD bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap kali kemalangan sedemikian berlaku.

22,000 mohon TEKS1M

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 22,000 pemandu teksi memohon kepada SPAD untuk mendapatkan permit teksi individu di bawah TEKS1M, namun hanya 1,000 pemandu di Lembah Klang, Johor Baharu dan Pulau Pinang terpilih menyertai program itu yang dilancarkan Perdana Menteri, Mac lalu.
Mulai September ini, 200 penerima awal di bawah TEKS1M akan mula bertugas, selebihnya dijangka berada di jalan raya di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang mulai Disember ini, katanya sambil menambah, SPAD bersedia mengkaji menambah penyertaan ke dalam TEKS1M berdasarkan pertambahan penduduk di satu-satu kawasan.

Katanya, mereka yang terpilih menyertai TEKS1M diberi beberapa kemudahan termasuk memperoleh lesen teksi individu dan geran RM5,000 bagi membeli PROTON Exora untuk dijadikan teksi dan mampu memperoleh pendapatan bersih RM2,100 sebulan selepas ditolak bayaran bulanan pinjaman pembelian kenderaan dan penyelenggaraan RM900.