Kemenangan Lisa Surihani dipertikai? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kemenangan Lisa Surihani dipertikai?

http://www.sinarharian.com.my/kemenangan-lisa-surihani-dipertikai-1.194683

PELAKON popular, Lisa Surihani bukanlah nama picisan dalam industri seni tempatan.

Bukan sahaja memiliki personaliti menarik, malah isteri kepada pengarah dan penerbit terkenal, Yusry Abd Halim ini juga hebat di skrin.

Kemenangannya di Festival Filem Malaysia 21 (FFM21) pada 2008 menerusi anugerah Pelakon Harapan Wanita membuktikan kredibiliti aktres, I'm Not Single ini bukanlah omongan kosong.

Malah pada 2010, Lisa atau nama sebenarnya, Lisa Surihani Mohamed, 27, mengulangi kemenangan di FFM23, menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP).

Turut merangkul kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin pada tahun lalu, Lisa kini berjaya menambah koleksi trofinya di Anugerah Lawak Warna (ALW) menerusi kategori Pelakon Komedi Wanita Terbaik.

Berjaya mengetepikan nama-nama besar seperti Yana Shamsudin, Intan Ladyana, Sharifah Amani dan Sharifah Shahira, akui Lisa, dia sendiri tidak menjangkakan kemenangan itu.

Pun begitu, sebagai selebriti, Lisa tidak terlepas daripada suara-suara liar  mempertikaikan kemenangannya itu.

Malah, kemenangannya itu turut mendapat reaksi di kalangan peminat yang merasakan kemampuan Lisa dalam arena komedi tidak setanding calon lain.

Enggan mengambil pusing mengenai kritikan mengenai kemenangannya itu, Lisa lebih selesa berfikiran positif.

Katanya, dia juga turut berharap agar tiada pihak yang cuba mempertikaikan kemenangan ini.

"Saya tak mahu didik diri saya untuk fikir perkara yang negatif walaupun saya tidak boleh nafikan, mungkin ada segelintir pihak kurang berpuas hati.

"Namun, saya harap, tak adalah yang berfikiran sebegitu kerana bagi saya, kategori itu bukan sahaja menekankan pelawak, ia lebih kepada pelakon.

"Malah, dalam kategori itu, bukan saya seorang sahaja pelakon yang dicalonkan. Kalau nak fikirkan layak, memang saya tak layak kerana mereka lebih bagus.

"Sebelum ini, dalam mana-mana kategori dipertandingkan sekali pun, saya tidak pernah membawa seribu harapan untuk menang. Jadi, pertikaian mengenai kemenangan tidak perlu dijadikan isu besar," katanya.

Lebih kepada penghargaan

Bersyukur di atas kemenangannya di anugerah  julung kali diadakan itu, Lisa berkata, ianya lebih kepada penghargaan kepada krew dan produksi yang menjayakan filem tersebut.

"Alhamdulillah, syukur di atas kemenangan ini. Sejujurnya saya tak tahu yang nama saya turut dicalonkan. Saya diberitahu sehari sebelum majlis dan saya sendiri hairan kenapa nama saya dicalonkan dalam kategori itu.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang kerana saya tahu, bidang lawak dan komedi bukanlah bidang saya.

"Lagipun, pencabar saya bukan calang-calang orang. Namun, bila diumum sebagai pemenang, tentunya saya gembira dan ia penghargaan kepada saya dan 'team' produksi.

"Kemenangan ini adalah titik peluh pengarah filem, Istanbul Aku Datang, Bernard Chauly, yang banyak membimbing saya untuk menjiwai watak Dian. Begitu juga dengan krew produksi yang bertungkus-lumus menjayakan filem
itu," katanya yang turut menghadiri bengkel lakonan untuk menjayakan watak Dian.

Selain kemenangan Lisa, filem itu juga turut merangkul tiga kategori lain termasuk Filem Terbaik, Lakon Layar Komedi Filem Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik.

Tetap sahut cabaran

Menurut pelakon filem Ombak Rindu ini, walaupun belum bersedia bergelar pelawak, namun dia tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk menjayakan karya bercorak komedi.
"Sebenarnya, watak Dian dalam Istanbul Aku Datang, bukanlah watak komedi. Namun, setelah digarap, ia menghasilkan watak yang sebegitu.

"Walaupun saya belum layak digelar pelawak atau pelakon komedi, namun saya tetap menyahut cabaran sekiranya ada tawaran. Mungkin, kalau ada tawaran, saya akan cuba menjayakannya. Namun, bergantung kepada skrip juga," katanya yang bakal terlibat dalam filem  Cicakman 3.
0 Komentar untuk "Kemenangan Lisa Surihani dipertikai?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI