SHAH ALAM - Ahli Parlimen Islam daripada BN dan PR harus bersatu menyokong Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 sekali gus mengenepikan perbezaan pegangan politik bagi memastikan kedaulatan Islam di negara ini dapat terus dijamin di sisi undang-undang.

Tanpa penyatuan sokongan Ahli Parlimen Islam di pihak kerajaan dan pembangkang, tidak mudah untuk rang undang-undang itu diluluskan memandangkan sudah ada bantahan wakil rakyat bukan Islam daripada BN dan juga PR.

Bilangan wakil rakyat yang beragama Islam di Dewan Rakyat adalah seramai 149 daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen dengan 112 daripada BN dan 37 mewakili PR (21 Pas, 14 PKR, 2 DAP). Jika kesemua Ahli Parlimen Islam sebulat suara menyokong rang undang-undang ini, ia sudah melebihi syarat kelulusan dua pertiga yang memerlukan 148 undi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, bantahan terhadap rang undang-undang yang menetapkan persetujuan sepihak memadai bagi ibu atau bapa menukar agama anak-anak bawah umur kepada Islam daripada kalangan bukan Islam sememangnya boleh dijangka.

"Memang tak mudah untuk diterima atau dilulus di Parlimen. Kalau mahu lulus, perlu sokongan dua pertiga," katanya.

Ahmad Atory berkata, jika tidak diluluskan, mungkin ada kaedah lain yang boleh diguna pakai untuk melaksanakan maksud undang-undang itu.

"Ini melibatkan hak beragama di negara kita," katanya.

Ditanya kemungkinan Ahli Parlimen Umno dan Pas bersama menyokong rang undang-undang itu, bagi Ahmad Atory, itu bukan isu utama sebaliknya perlu melihat sokongan semua pihak.

"Soal bersatu tidak timbul. Kalau mahu lulus, hanya perlu sokongan besar. Kalau begitu, mereka harus bersatu tak kira parti," katanya.

Sementara itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, pertukaran agama termasuk isu sensitif walaupun ada disebut dalam Perlembagaan.

“Walaupun ada peruntukan beri peluang pertukaran agama dilakukan ibu bapa mereka, tapi ia mesti dapat kelulusan terlebih dahulu daripada jabatan agama Islam.

“Tapi jika pilih untuk agama Islam, tidak jadi masalah kerana teras kita Islam sebagai agama Islam walaupun isu itu sensitif. Kalau ibu atau bapa mualaf memang jadi pertikaian kalau tukar agama ke Islam,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang minta Kabinet menarik balik Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntukkan bahawa persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam.