SHAH ALAM - Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013  yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat Rabu lalu iaitu persetujuan salah seorang daripada ibu atau bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam, dianggap sebagai cadangan yang baik, namun ia perlu diperhalusi supaya tidak timbul isu murtad pada masa akan datang.

Pengerusi Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, pindaan seksyen itu bagaimanapun perlu diperhalusi.

"Pindaan ini beri kemudahan kepada ibu atau bapa menukar agama anak mereka kepada Islam selain ia membawa kebaikan kanak-kanak itu sendiri. Namun, ibu atau bapa perlu bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka diberi didikan agama sepenuhnya.

“Jika hanya ditukar kepada agama Islam dan tidak diberikan pendidikan agama, saya takut suatu hari nanti mereka mahu menukar agama lain dan murtad dengan alasan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak kecil,” katanya.

Zaharuddin  berkata, perkara sebegini bagaimanapun tidak perlu terlalu ditonjolkan kepada masyarakat demi menjaga sensitiviti masyarakat bukan Islam.

“Kerajaan perlu perhalusi pindaan supaya tidak menyinggung perasaan orang bukan Islam," katanya.