Akaun Facebook milik Ana Hawana.
SEHARI selepas aktor Ashraf Muslim, 32, bikin gempar dengan pengakuan berpoligami di Thailand tanpa pengetahuan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman, 26, sebuah puisi lapan rangkap yang tiba-tiba muncul di internet menghangatkan lagi kontroversi rumah tangga tiga segi itu.

Ini berikutan puisi tersebut yang dianggap suara hati Noor Dayana setelah dia disahkan bermadu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, 17 Julai lalu.

Tambahan pula sejak hari itu, Noor Dayana belum lagi tampil bersuara dengan media melainkan bapanya, Lokman Abdul Hamid, 52, yang mengatakan anaknya tidak pernah setuju untuk dimadukan malah berasa terkilan dan amat kecewa dengan tindakan Ashraf.

Sejak itu, kalangan peminat dan pemerhati tertunggu-tunggu reaksi Noor Dayana dan ketika itulah, muncul puisi berkenaan yang langsung dianggap nukilannya. Dalam masa beberapa jam sahaja, puisi tersebut disebarkan dan dikongsi oleh ramai pengguna Facebook.

Rata-rata mereka melahirkan rasa empati dan simpati atas takdir yang menimpa wanita itu malah tidak kurang juga yang seakan-akan menyalahkan Ashraf seolah-olah apa yang dilakukannya itu suatu dosa.

Pada masa sama, ada pula yang menitipkan rasa musykil bahawa puisi itu ditulis sendiri oleh Noor Dayana. Ketika itulah muncul nama Ana Hawana yang dikatakan penulis sebenar puisi berkenaan.

Susulan itu, Sinar Harian cuba menjejak pemuisi yang menggunakan nama wanita itu dan mujur usaha itu tidak lama. Dalam masa tidak lebih dua jam semalam, kami berjaya menghubungi orangnya.

Tetapi malang, Ana Hawana menolak ketika kami meminta untuk menemuinya. Katanya, dia tidak sedia untuk mendedahkan diri, apa lagi untuk gambar dan nama sebenarnya disiarkan. Apa yang paling jauh boleh dilakukan hanya memberi kenyataan menerusi kotak pesanan, tidak lebih daripada itu.

Siapa Ana Hawana? Dan bagaimana dia boleh menulis puisi yang cukup sarat dengan empati seperti itu seolah-olah dia sendiri Noor Dayana?

Dayana masih sugul?

"Jangan ganggu dia. Berilah dia masa untuk bertenang!'

Demikian kenyataan dari seorang doktor pelatih yang sedang menjalani latihan bersama Dayana di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Enggan nama dan gambarnya didedahkan, beliau memberitahu, Dayana kelihatan agak sugul sejak kebelakangan ini.

"Kita semua tahu dia sedang berdepan masalah rumah tangga. Jadi berilah dia masa," katanya yang enggan mengulas lanjut. Hasil tinjauan Sinar Harian di kediaman keluarga Dayana yang terletak di Sg Pusu, Gombak, turut menemui jalan buntu apabila tiada respons dari penghuninya meskipun loceng dibunyikan beberapa kali. Dari pemerhatian, terdapat dua kereta di pekarangan rumah dan wartawan bertugas yakin ada penghuni di dalamnya.

Bagaimanapun, Sinar Harian berjaya mendapatkan kenyataan dari jiran terdekat.

"Sebelum kes mahkamah kelmarin, kami masih nampak Haji Lokman di masjid. Tapi sejak itu, kami dah tak nampak dia dan keluarga yang lain.

"Ashraf dan Dayana pula memang dah lama tak nampak. Mungkin mereka dah jarang balik," kata individu itu yang enggan identitinya didedahkan.

Sementara itu, Pusat Perubatan Al-Hidayah, milik bapa Dayana, masih beroperasi seperti biasa meskipun Ashraf sudah meletakan jawatannya sebagai pengamal perubatan di situ. Bagaimanapun, kelibat orang tuanya tidak kelihatan melainkan beberapa staf yang bertugas.

Hasil pertemuan, rata-ratanya staf di situ enggan mengulas lanjut dan memohon agar memberi ruang terhadap keluarga Dayana.

'Jangan caci Sakinah!'

Isu poligami Ashraf Muslim turut mendapat respons dari sahabat baik Wan Sakinah. Menerusi laman sosial Facebook, Rahman (bukan nama sebenar), memohon agar masyarakat jangan terus menghukum serta mencaci Sakinah hanya kerana dia menjadi isteri kedua Ashraf.

"Saya tidak berniat untuk membela, namun hakikatnya, Keena (Sakinah) seorang wanita yang baik, pandai bawa diri dan bijak bergaul dengan batasan.

"Malah dia juga tidak mempunyai sebarang masalah sikap yang melayakkannya menerima segala cacian.

"Tidak adil bagi Keena yang terpaksa menerima cacian dari mereka yang tidak mengenalinya," kata Rahman.

Menurut Rahman dia sudah mengenali Sakinah sejak sembilan tahun lalu dan sikapnya amat disenangi rakan-rakan.

"Saya kenal dia sejak dari kolej lagi. Hubungan kami memang baik sehinggalah kami bekerja di syarikat penerbitan TV yang sama.

"Setahu saya, dia dah lama berkawan dengan Ashraf. Mereka boleh rapat sejak bekerjasama dalam program Nasi Lemak Kopi O," jelas Rahman yang tidak menolak Sakinah turut berdepan masalah keluarga sehingga memaksanya bernikah dengan Ashraf di Thailand.

Rahman berkata, nombor telefon dan akaun Facebook milik Sakinah sudah tidak aktif.