PETALING JAYA: Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata kedudukan semasa Umno di Johor lebih goyah daripada tahun-tahun sebelum ini, dan ia ada kaitan dengan kemunculan PPBM sebagai parti pembangkang.
Di sebalik asal usul PPBM daripada Umno dan salah seorang pengasasnya pula Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berasal dari Johor dan pernah memimpin kerajaan negeri, Kamarul berkata apa yang akan berlaku di Kelantan kira-kira 3 dekad lalu boleh berulang di Johor.
Beliau merujuk veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang membentuk Semangat 46, selepas perpecahan dengan pimpinan Umno di bawah presiden ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, walaupun Semangat 46 tidak begitu berjaya pada pilihan raya umum 1990, kerjasamanya dengan PAS secara umum dipetik sebagai penyebab kekalahan Umno di Kelantan.
“Umno mungkin berdepan nasib sama di Johor dengan bekas timbalan presidennya kini menjadi presiden PPBM,” kata Kamarul merujuk Muhyiddin.
Muhyiddin yang dilucutkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 2015, pernah menjadi menteri besar Johor selama 9 tahun sehingga 1995.
Ini merupakan faktor ramai rakyat Johor mungkin berasa terhutang budi kepadanya atas pelbagai sebab, kata Kamarul.
“Tambahan, ada semangat rakyat Johor yang terhina oleh layanan tidak adil yang diberikan kepadanya oleh pimpinan parti itu. Itu mungkin akan membuatkan rakyat Johor menunjukkan rasa tidak senang hati mereka di pusat mengundi.”
Selepas dilucutkan daripada Kabinet kerana lantang menyuarakan isu 1MDB, Muhyiddin dipecat daripada Umno. Beberapa bulan kemudian, beliau berganding tangan dengan beberapa bekas pemimpin Umno lain membentuk PPBM.
Apa yang mungkin akan menyelamatkan Umno Johor daripada menerima nasib Umno Kelantan pada 1990 ialah masih ada pemimpin Umno berpengaruh di negeri itu seperti Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga cucu pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.
Bagaimanapun, kata Kamarul, Pakatan Harapan (PH) sudah mensasarkan Johor sebelum PPBM ditubuhkan.
“Pakatan pembangkang itu sudah agak lama melakukan perkara asas (untuk memenangi Johor),” katanya.
“Dengan dakwaan rasuah terbaru ke atas Menteri Besar Datuk Khaled Nordin yang menambah kepada masalah Umno yang banyak, seperti kos hidup tinggi, parti itu akan menghadapi kesukaran meyakinkan sesetengah rakyat Johor untuk terus menyokong Umno.”
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub yang berasal dari Johor, bersetuju PPBM telah memperkukuh kedudukan Pakatan di negeri itu.
“Mempunyai bekas pemimpin Umno seperti Muhyiddin di pihak kita adalah sangat penting, terutamanya di mata rakyat Melayu di Johor,” katanya kepada FMT.
“Saya benar-benar percaya dengan pepatah ‘hanya jauhari mengenal manikam’. PPBM boleh memecahkan monopoli Umno di negeri itu. Ia boleh mengambil sebahagian besar daripada penyokong tegar Umno.
“Selagi kita boleh mengekalkan sokongan Cina dan India yang mengundi kita pada pilihan raya umum lepas, kita sepatutnya boleh memenangi Johor.”
Salahuddin yang mengetuai operasi pilihan raya PH di Johor, berkata, beliau telah bekerja pada peringkat akar umbi selama lebih setahun dan yakin Melayu tidak menerima Umno.
Keyakinan itu kini lebih kuat berbanding sebelum ini sejak aktif dalam politik 35 tahun lalu, tambahnya.
“Kami sangat optimistik dengan peluang kita memandangkan kami menawarkan calon yang mempunyai rekod baik,” katanya.
“Kita mempunyai golongan veteran, pemuda dan profesional.”
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/01/02/umno-johor-berdepan-nasib-umno-kelantan-1990-kata-penganalisis-uum/
0 Komentar untuk "Umno Johor berdepan nasib Umno Kelantan 1990, kata penganalisis UUM"