Peluang Dr Mahathir paling cerah di Langkawi? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Peluang Dr Mahathir paling cerah di Langkawi?



PETALING JAYA: Penganalisa berkata Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bertanding di Langkawi sekiranya dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

Mereka berkata peluang pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan (PH) itu di pulau peranginan yang begitu dekat dengannya lebih cerah berbanding Kubang Pasu, kerusi Parlimen yang diwakilinya selama beberapa dekad, atau Putrajaya, bandar yang dibinanya ketika mengetuai kerajaan.

Penganalisa berkata rakyat di Langkawi mengenang jasa Dr Mahathir membangunkan pulau itu menjadi pusat pelancongan bertaraf dunia, termasuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa dan menjadikannya tumpuan beberapa acara besar termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Begitulah pandangan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Mohd Sani.
“Golongan tua dan muda, dan komuniti peniaga berterima kasih kepadanya,” kata Azizuddin kepada FMT.

“Mereka mempunyai keterikatan yang kuat kepadanya. Sekiranya beliau mahu bertanding, ia merupakan kerusi paling baik untuk mencapai kemanangan.”

Dr Mahathir baru-baru ini mengumumkan akan bertanding salah satu daripada 3 kerusi Parlimen – Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya – pada pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

“Mereka memberitahu saya bahawa saya berpeluang untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya. Jadi, bersedialah,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri mesyuarat agung PPBM Sabtu lalu.

Azizuddin bagaimanapun berkata adalah tidak bijak untuk bertanding di Putrajaya, memandangkan pusat pentadbiran itu dipenuhi penjawat awam yang akan terpanggil untuk menyokong parti pemerintah.

“Walaupun beliau yang membina Putrajaya, terdapat kecenderungan di kalangan penjawat awam untuk mengundi Barisan Nasional. Ia kerusi yangkecil dan Tengku Adnan kenal semua orang di situ,” katanya merujuk penyandang Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Pada pilihan raya lalu, Putrajaya mempunyai 15,791 pengundi berdaftar.
Tengku Adnan menerima 9,943 undi menewaskan Datuk Husam Musa, yang ketika itu bersama PAS dan menerima 4,402 undi.

Azizuddin berkata bilangan pengundi kali ini mungkin mencecah 20,000 dan pengundi kemungkinan kekal memilih BN.

Seorang lagi penganalisis, Dr Kamarul Zaman Yusoff yang juga dari UUM, berkata walaupun Kubang Pasu merupakan kubu Dr Mahathir selama beberapa dekad, ia bukan lagi kerusi selamat baginya.

Menurutnya, Datuk Seri Johari Baharum yang juga timbalan menteri pertahanan mempunyai sokongan kuat di kalangan penduduk di kawasan itu.

“Kerusi itu diwakili seorang yang pintar dan menjaga kebajikan pengundi. Walaupun Dr Mahathir mewakilinya untuk beberapa dekad, kini Johari mempunyai sokongan akar umbi,” kata Kamarul.
Johari pertama kali dicalonkan di Kubang Pasu pada 2004, setahun selepas persaraan Dr Mahathir daripada politik.

Kubang Pasu menjadi sebuah kerusi Parlimen pada 1974. Sebelum itu, kawasan itu sebahagian daripada Kota Star yang diwakili Dr Mahathir dari 1964 hingga 1969.
Pada 2004, Johari menang dengan majoriti besar 13,712 mengalahkan calon PAS Mohd Jamal Nasir. Majoritinya mengecil kepada 7,060 pada 2008.
Johari bagaimanapun menang besar sekali lagi pada 2013 dengan majoriti 10,444 mengalahkan Dr Isa Ismail dari PAS.

Kamarul bersetuju kerusi terbaik buat Dr Mahathir ialah Langkawi kerana sentimen penduduk di situ.
“Tambahan lagi, wakil rakyat BN di Langkawi tidak mempunya kredibility. Penduduk menyindir ahli Parlimen itu susulan kenyataannya mengenai MO1,” katanya.

Beliau merujuk Datuk Nawawi Ahmad yang pernah mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan “Malaysian Official Number 1 (MO1)”, singkatan digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam saman berkait 1MDB.

Nawawi kemudia memohon maaf dan berkata beliau tidak berniat mengaitkan Agong dengan isu itu.
Kamarul turut bersetuju Putrajaya bukan kerusi selamat untuk Dr Mahathir.

“Perlu faham, Putrajaya didominasi penjawat awam yang akan mengundi untuk kerajaan. Mentaliti penjawat awam ini lain. Mereka terasa terhutang budi kepada kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir sering menjadikan Langkawi tumpuannya ketika menjadi perdana menteri.
Antaranya, beliau mengisytiharkan Langkawi pulau bebas cukai pada 1987, dan menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi untuk memacu pertumbuhannya. Dr Mahathir juga kerap berkunjung ke Langkawi dan secara peribadi mengikuti perkembangannya.
0 Komentar untuk "Peluang Dr Mahathir paling cerah di Langkawi?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI