Zaid selar keangkuhan sepanduk ‘Anwar PM ke-7' PKR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Zaid selar keangkuhan sepanduk ‘Anwar PM ke-7' PKR



Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membidas tindakan pemimpin pembangkang yang membawa sepanduk "Anwar PM ke-7" pada akhir Kongres PKR semalam, sebagai pengisytiharaan bahawa ketua umum parti itu yang kini meringkuk di penjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai perdana menteri akan datang.

Dalam blognya, Zaid yang sekarang bersama DAP berkata, beliau tidak lagi faham politik pembangkang.

"Mereka sentiasa terlalu yakin dengan kemampuan sendiri," katanya.

Zaid, mengingatkan bagaimana selepas keputusan pilihan raya 2008 umum diumumkan, pembangkang mendakwa mereka akan membentuk kerajaan baru dengan sokongan ahli parlimen Sarawak dan Sabah.

"Siapa boleh lupa tarikh ajaib 16 Sept? Terlalu banyak jangkaan ketika itu dan pada tahun 2013, meskipun memenangi undi popular, mereka masih kekurangan lebih 30 kerusi," katanya.

Sekarang, katanya, PKR dengan angkuh mengisytiharkan Anwar sebagai perdana menteri ketujuh.

"Jika itu pun tidak mencukupi, mereka turut mengumumkan (Presiden PKR dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sebagai ‘pemanas kerusi’ sementara menunggu 'yang terpilih’ (Anwar) untuk bersedia mengambil ‘takhtanya’.

"Adalah mudah untuk memahami bahawa PKR mahu Anwar sebagai PM, meskipun menaikkan sepanduk ‘Anwar PM ke-7' pada Kongres PKR itu menunjukkan kekurangan kemahiran.

Malah, kata Zaid yang juga pernah bertanding di atas tiket PKR, tindakan itu tidak menghormati kedua-dua sekutu terbaru Pakatan Harapan, iatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir.

"Sudah tentu, PKR adalah parti Anwar, tetapi perlukah mereka mengangkat sepanduk itu?

“Apa yang membingungkan ialah keangkuhan untuk memilih perdana menteri dari parti sendiri, sedangkan mereka belum memenangi apa-apa lagi.

“Dalam sistem kerajaan, perdana menteri dipilih dari parti yang mempunyai sokongan sebahagian besar ahli parlimen, dan setakat yang saya tahu adalah terlalu awal untuk berkata jika ahli parlimen gabungan dari PKR, DAP dan AMANAH boleh menjamin angka ajaib 112,” katanya.

Zaid juga berkata pembangkang juga harus mengambil kira pendapat rakyat di Sabah dan Sarawak mengenai siapa yang mereka mahu sebagai perdana menteri.

“Bukankah kita sepatutnya membincangkan perkara ini dengan mereka?

“Kita tidak boleh menganggap BERSATU tidak mempunyai hasrat untuk menamakan calon perdana menteri ataupun bahawa mereka tidak mempunyai sekutu langsung,” katanya.

Menurut Zaid, sekiranya BN ditumbangkan dan Najib menyerah kalah, tidak mustahil untuk menyaksikan wakil rakyat mereka berpaling tadah dan bersama-sama menyokong pemimpin BERSATU atau pemimpin Sabah atau Sarawak.

Katanya, bukan semua penyokong pembangkang mahukan Anwar sebagai calon perdana menteri dan adalah lebih baik jika BERSATU juga mencalonkan pemimpin mereka.

“BERSATU, sebagai contoh boleh mencalonkan Tan Sri Muhyiddin, atau Tun Dr Mahathir.

“Tetapi bagi saya dan ramai kawan-kawan saya, baik yang sudah berusia, mahupun yang muda, kami akan mencalonkan Tun Dr Mahathir.

“Kami akan menyokong Tun sebagai Perdana Menteri, semata-mata kerana beliau adalah calon terbaik untuk jawatan itu,” katanya.

0 Komentar untuk "Zaid selar keangkuhan sepanduk ‘Anwar PM ke-7' PKR"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI