Malaysia dan nuklear? Ini syaratnya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Malaysia dan nuklear? Ini syaratnya



Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) Mohd Zamzam Jaafar, berkata sewaktu konferens TN50 di Sarawak bahawa Malaysia perlu memiliki tenaga nuklear menjelang 2030.
Malah kenyataan ini konsisten dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyatakan Malaysia sudah bersedia untuk penjanaan tenaga nuklear.
Pada pandangan saya kenyataan ini tidak berpijak kepada realiti negara.

Sebagai seorang Muslim dan saintis, saya tidak anti atau pro nuklear. Saya akan cuba untuk menilai setiap isu, secara Islami, objektif, saintifik dan menyeluruh, iaitu sehampir mungkin, semampu insan, dengan kebenaran, kemaslahatan insan dan kepentingan sebenar negara.

Sebagai seorang ahli politik demokratik, saya sedar bahawa kehidupan sebenar penuh dengan kompromi yang perlu dilakukan untuk membolehkan kita mendapat yang terbaik dari keadaan yang biasanya tidak ideal.

Kita boleh berkompromi, tetapi tidak pada perkara prinsip, keadilan, kepentingan awam dan kebenaran.

Sudahkah prasyarat dipenuhi?

Teknologi nuklear di Malaysia bukanlah perkara baharu, kita menggunakan teknologi ini dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, kejuruteraan, industri, keselamatan dan penyelidikan. Malaysia mempunyai ramai pakar yang berpengalaman dalam bidang ini.

Penggunaan teknologi nuklear untuk menjana tenaga memerlukan pertimbangan yang menyeluruh, meluas dan mendalam. Semua pilihan tenaga perlu dinilai secara objektif, menyeluruh dan dibandingkan secara kualitatif dan kuantitatif, termasuk dari segi risiko keselamatan, analisis kos manfaat, dan impaknya terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Penilaian yang saintifik, objektif dan adil tidak dapat dilakukan tanpa kematangan, ketelusan dan keterbukaan umumnya pada masyarakat dan lebih utamanya pada pemerintah. Pada pandangan saya prasyarat ini belum dipenuhi. Warga belum diajak berunding mengenai isu ini.

Apapun sekiranya prasyarat di atas dapat dipenuhi, dan kita bersetuju tenaga nuklear menjadi sebahagian dari sumber tenaga kita, oleh kerana ia mempunyai potensi bahaya yang tinggi dan melibatkan komitmen kewangan yang luar biasa, (ia memerlukan perakaunan kreatif pada jangka masa panjang) maka ia memerlukan terlebih dahulu wujud beberapa prasarana genting.
Paling genting, ialah sebuah kerajaan dan masyarakat yang berpaksikan ilmu, matang, bertanggungjawab, berintegriti, telus dan bebas rasuah. Iaitu sebuah kerajaan yang terbuka dan masyarakat madani yang berkesan.

Sebuah kerajaan yang kleptokratik, tidak telus dan penuh rasuah serta masyarakat yang dikembirikan adalah resipi untuk kebencanaan bagi mana-mana negara yang memilih pilihan nuklear.
Kita jawablah sendiri sama ada kita telah bersedia atau tidak untuk pilihan nuklear bagi menjana tenaga.

Kepentingan China

Persoalan yang perlu saya lontarkan disini ialah siapakah yang bakal menjalankan projek menelan puluhan billion ringgit ini? Dengan penjualan syarikat yang terlibat kepada kepada kepentingan negara China, adakah syarikat dari China?

Jika ya, kekhuatiran saya semakin tinggi, kerana berdasarkan pengalaman negara-negara luar dan pengamatan saya sendiri terhadap implikasi penglibatan syarikat China, ianya adalah amat berbahaya. Silap-silap ia boleh melibat isu kebebasan dan kedaulatan negara.

Adakah projek ini wajar dilakukan ketika rakyat sedang menghadapi krisis ekonomi isi rumah? Penting untuk isu ini dibentangkan kepada ahli parlimen dan didebatkan secara matang dan terbuka.
Analisis kos-manfaat yang terlibat akhirnya tentulah memerlukan tekunan dan perdebatan oleh pelbagai pihak pemegang taruh.

Siapa pun yang akan melaksanakan projek ini, Kos awalan yang sangat tinggi akan menjebak negara lebih jauh lagi ke dalam kancah hutang. Apalah ertinya nanti kita mewah tenaga di atas bumi yang tergadai dek hutang, dan rakyatnya sengsara menanggung beban hutang yang tak tertanggung.
Sebagai saintis, saya tidak menafikan manfaat yang mungkin boleh diperolehi oleh Malaysia sekiranya menggunakan teknologi nuklear untuk menjana tenaga.

Perdebatan mengenai penjanaan tenaga nuklear di Malaysia bukan lagi hanya dalam kerangka sama ada ia bermanfaat atau tidak, tetapi yang lebih penting adakah kerajaan kini yang jelas tidak telus akan menyebabkan projek ini membawa bencana kepada rakyat dan negara.

Dr Ahmad Termizi Ramli ialah AJK Biro Antarabangsa Amanah, dan pakar nuklear di Fakulti Fizik Nuklear, Universiti Teknologi Malaysia.

0 Komentar untuk "Malaysia dan nuklear? Ini syaratnya"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI