Farouk A. Peru: Apabila PAS perbodohkan Melayu mengenai sekularisme - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Farouk A. Peru: Apabila PAS perbodohkan Melayu mengenai sekularisme



Bicara politik sesebuah negara mempamerkan tahap pemikiran yang mampu dijana rakyatnya.
Melalui mekanisme demokrasi, sesebuah negara boleh membincangkan tentang sistem sosio-politik yang terbaik yang boleh diamalkan oleh kerajaannya, sama ada ia bersesuaian dengan tatacara hidup rakyatnya atau tidak.

Inilah yang membawa kepada penimbaan pengalaman politik dan rakyat yang matang politik. Rakyat sedemikan amatlah cerdik dan tangkas dari segi pemikiran mereka. Mereka tidak akan terjual dengan sorakan lantang atau pertunjukan silat yang kononnya membela nasib bangsa. Sebaliknya, mereka akan mempunyai jangkaan yang tinggi daripada pemimpin mereka.

Dari dahulu sehingga sekarang, PAS berteriak tentang perjuangan “Islam” mereka. Perjuangan “Islam” ini berpaksikan hukum hudud. Mereka berteriak yang undang-undang Malaysia adalah daripada sistem kafir atau taghut (otoriti yang tidak selari dengan hukum Allah) dan Malaysia mesti dikembalikan kepada sistem Islam yang sejati.

Orang Islam yang tidak menyoal mereka secara mendalam tentu terbeli dengan retorik ini, kerana menggunakan bahasa yang sama dengan bahasa teks Islam. Kita hanya perlu melayari laman web mereka untuk menatapi bahasa “syurga” ini dengan kata-kata seperti “lajnah”, “natijah” dan sebagainya.

Dengan topeng ini, mereka dapat menyakinkan umat Islam Melayu yang merekalah waris Nabi Muhammad yang sebenar.
Jika mereka mempunyai perjuangan, maka secara logiknya mereka juga akan mempunyai ideologi lawan. Ini adalah hukum dialektik daripada Georg Hegel, seorang ahli falsafah Jerman daripada kurun ke-19.

Apakah ideologi lawan kepada PAS? Menurut mereka sendiri, ia adalah sekularisme.

Sekularisme merupakan ideologi yang mula mendapat nama apabila agama Kristian dicabar corak pemikiran lain di Eropah setelah zaman pencerahan (Enlightenment) bermula. Ini tidak bermaksud agama Kristian itu secara keseluruhan melawan sekularisme. Hanya aliran agama Kristian yang bersifat fundamentalis sahaja.

Fundamentalisme itu sifat yang menyatakan bahawa sesuatu entiti itu (baik orang, kumpulan atau ideologi) tidak dapat menerima perbezaan pendapat. Jika mereka mempunyai kepercayaan, itu dianggap mutlak dan tidak ada jurang penafsiran. Agama Kristian juga mempunyai pengikut yang menolak fundamentalisme.

Namun begitu, dunia Islam masih lagi di tahap di mana sekularisme dianggap sebagai musuh sejati.
Mengapakah situasi ini wujud? Mungkin kerana umat Islam masih lagi muda, muda 600 tahun daripada umat Kristian yang mengalami reformasi 500 tahun yang lampau. Setiap tradisi pemikiran atau ideologi akan memakan masa dalam evolusi pemikiran mereka. Hakikat ini bukan sahaja untuk agama, malah turut boleh diguna pakai kepada ideologi bukan agama seperti Marxisme.

Ubah haluan

Demikianlah sebab mengapa PAS dapat memposisikan parti mereka seolah-oleh sebagai waris Nabi, wakil Tuhan – iaitu dengan memposisikan sekularisme sebagai musuh agama. Inilah sebabnya mereka boleh mengkafirkan orang yang tidak selari dengan posisi mereka.

Sifat yang takbur dan bongkak sebegini adalah berlawanan dengan sifat Nabi Muhammad sendiri.
Sejak pemergian Datuk Nik Aziz Nik Mat, angin politik PAS sudah berubah haluan. PAS sudah tidak ada rintangan di peringkat atasan dalam hajat mereka berganding dengan Umno.

Golongan yang bersifat lembut dengan DAP sudah diusir keluar dan sekarang menubuhkan Amanah.
Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memberikan sokongan kepada Umno dalam beberapa isu, khususnya dalam isu 1MDB di mana pelbagai kenyataan cermat dikeluarkan.
PAS sekarang sudah berubah. Nasionalisme atau semangat bangsa adalah perkara yang ditolak Nabi Muhammad, tetapi didakap cium oleh PAS dalam jalan mereka ke Putrajaya.

Dengan angin politik ini, maka kita tidak boleh mengharapkan PAS berdiri demi kebenaran dan menyanggah kezaliman. Keadilan dan kezaliman bukan faktor penentu untuk mereka. Apa yang jadi penentu ialah sama ada mereka boleh menjalin persahabatan dengan parti pemerintah atau tidak.
Dengan berita tergempar dari Amerika Syarikah beberapa bulan yang lalu tentang skandal 1MDB, rakyat Malaysia bangkit meminta kerajaan memberi penjelasan. Mereka mahukan pilihan raya dijalankan secara bersih dan telus. Inilah tututan perhimpunan Bersih 5 yang bakal diadakan pada November depan.

Dalam perhimpunan ini, sepatutnya semua parti pembangkang hadir sama kerana perjuangan ini boleh mendatangkan hasil positif yang dapat dinikmati bersama. Malangnya, PAS menolak untuk turun padang bersama. Ini memang tindakan mereka sejak dari Bersih 4 lagi, tetapi sebab yang diberi mereka kali ini amatlah mengejutkan.

Alasan tidak sertai Bersih

Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS tidak akan membiarkan parti mereka diperalatkan oleh golongan sekular untuk tujuan sekular mereka. Menurutnya lagi, apabila pihak sekular berbuat demikian, mereka akan berlarutan dalam penindasan Islam dan PAS akan berterusan menjadi mangsa helah-helah politik mereka!

Di sinilah sepatunya rakyat yang tajam pemikiran mengesan penipuan PAS atau sekurang-kurangnya, kedangkalan politik mereka. Bagaimana pula Tuan Ibrahim boleh mengatakan yang tujuan Bersih 5 adalah sekular?

Kita tidak perlu susah payah mencari dalil mengenai keadilan. Dalam Al-Quran sendiri, keadilan disebutkan dengan bahasa yang amat tajam.

Umat Islam disaran mendirikan keadilan walaupun ia boleh menyusahkan diri mereka sendiri (4:135 dan 5:8). Setiap masjid sepatutnya menjadi pusat di mana keadilan ditegakkan (7:29). Keadilan itu untuk segenap lapis manusia, bukan sahaja untuk umat Islam (4:58).
Sesungguhnya keadilan adalah unsur yang amat tegar dalam Al-Quran.
Jadi keadilan yang dituntut oleh Bersih itu sememangnya bukanlah “sekular”. Ia adalah tuntutan agama Islam sendiri. Setiap umat Islam yang mampu patut berusaha untuk mendapatkan keadilan ini untuk semua rakyat Malaysia.

PAS adalah parti yang tidak relevan untuk rakyat Malaysia. Kalau dulu, sekurang-kurangnya mereka ada integriti untuk melawan parti pemerintah, sekarang PAS menjual integriti itu untuk bersekongkol dengan mereka.

Inilah sebabnya mereka terpaksa memberi alasan rapuh seperti mana di atas. Rakyat Malaysia diharap menyedari hakikat ini.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/10/05/apabila-pas-perbodohkan-melayu-mengenai-sekularisme/

0 Komentar untuk "Farouk A. Peru: Apabila PAS perbodohkan Melayu mengenai sekularisme"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI