Semalam diumumkan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) berjaya mencapai persetujuan bagi penyelesaian yang melibatkan prosiding timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.
Walaupun itu dinamakan "penyelesaian", tapi nampaknya penyelesaian itu langsung tidak menguntungkan 1MDB mahupun Malaysia. IPIC mendapat hampir segala yang dituntutnya pada 2016.
Kementerian Kewangan Malaysia kini terdedah dengan pembayaran hutang beserta faedah sehingga mencecah AS$4.7 bilion termasuk AS$1.2 bilion yang dipinjam kepada 1MDB pada 2015 dan semua tanggungjawab semua faedah masa depan dan pembayaran wang pokok dua bon berjumlah AS$3.5 bilion yang akan matang pada 2022.
1MDB menyebut bahawa pengewangan unit dana pelaburan menjadi satu cabaran besar dalam mematuhi penyelesaian tinbang tara antara 1MDB dan IPIC. Sekiranya 1MDB gagal me-tunaikan unit dana pelaburannya, siapa yang bakal membayarnya? Apakah duit akan disedut dari rakyat lagi?
Memandangkan 1MDB menyebut bahawa penyelesaian timbang tara ini merupakan sebahagian besar daripada pelan rasionalisasi 1MDB, sudah tiba masanya laporan audit 1MDB didedahkan kepada umum bagi rakyat memahami bagaimana pelan rasionalisasi ini akan dijayakan. Sepatutnya tiada apa lagi yang perlu dirahsiakan daripada laporan 1MDB itu.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
25 April 2017
0 Komentar untuk "Waktu terbaik dedah laporan audit 1MDB"