HAYATI nilai kehidupan dengan memahami setiap kisah yang disampaikan menerusi al-Quran. Kisah nabi yang Allah SWT ceritakan dalam al-Quran bukan sekadar untuk tatapan, tetapi perlu kita gunakan sebagai panduan dan inspirasi kehidupan. Menerusi segmen Ibrah di IKIMfm untuk episod terakhir 2016, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman, berkongsi mengenai rangkuman ibrah dan pengajaran menerusi kisah dalam al-Quran. Mengapa Allah SWT menjadikan satu perempat daripada al-Quran adalah kisah yang berlaku pada masa lampau?
Orang yang membaca dan berinteraksi dengan al-Quran serta bertadabbur isi kandungannya tidak berasakan ia adalah kisah mengenai seseorang atau kejadian lampau. Contohnya, kisah pemuda Ashabul Kahfi tidak dilihat sekadar kisah pemuda yang tidurnya 300 tahun semata-mata, sebaliknya ia adalah kisah pemuda bukan Nabi yang dimakbulkan doanya oleh Allah SWT. Membaca kisah itu sewajarnya menjadi inspirasi kepada kita. Apabila bercerita mengenai kisah dalam al-Quran, ia datang daripada Allah SWT, bukan rekaan Nabi Muhammad SAW. Ceritanya bukan hanya benar, tetapi menjadi penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi. Mungkin ramai bertanya bahan bacaan apakah yang perlu dibaca supaya dapat kita menghayati kisah dalam al-Quran. Ustaz Muhammad Syaari menjelaskan, terdapat lapan kategori bahan bacaan kisah dalam al-Quran.
Disusun ikut kronologi
Pertama, kisah 'al-Sardi' iaitu kisah yang disampaikan secara kronologi. Kisah seperti itu menggabungkan ayat al-Quran dan hadis yang menceritakan kisah seseorang Nabi lalu dirangkumkan serta disusun mengikut kronologi bermula daripada kelahiran sehingga kewafatan.
Kedua, kategori 'tafsiri' iaitu kisah Nabi yang mengambil kira surah mana dalam al-Quran yang menyebut mengenai kisah nabi itu. Contohnya, kisah Nabi Ibrahim memecahkan berhala disebut dalam surah as-Saffaat dan surah al-Anbiyaa', tidak pada surah Ibrahim. Kebiasaannya ahli tafsir akan merungkai persoalan mengapa kisah itu dipaparkan dalam surah lain dan bukan menerusi surah Ibrahim. Namun, kategori yang kedua ini agak sukar untuk kita dapatkan bahan bacaannya.
Kategori ketiga yang kebiasaannya banyak terdapat dalam bahasa Arab mengambil pendekatan 'tahlili' yang bermaksud setiap perkataan mengenai kisah Nabi dikaji secara mendalam dan dianalisis serta disemak apakah maksudnya dalam bahasa Arab. Kemudian dibongkarkan apakah yang tersurat serta tersirat daripada beberapa patah perkataan dan beberapa ayat sahaja sehingga seseorang itu apabila membaca buku berkenaan seolah-olah seperti menonton sebuah filem di depan matanya.
Keempat, kategori 'al-Adabi' menggunakan kaedah mengambil kisah Nabi dalam al-Quran lalu dinovelkan. Seterusnya disebut 'al-Muqaran', iaitu perbandingan di mana mereka membandingkan kisah Nabi dengan yang disebut dalam kitab lain.
Penulisan bersifat ilmiah, akademik
Contohnya, kisah Nabi Sulaiman dan Nabi Daud yang disebut dalam al-Quran dibandingkan dengan apa yang disebut dalam kitab lain seperti Injil serta Taurat. Penulisan itu bersifat ilmiah dan akademik. Kategori keenam ialah kisah nabi yang dipaparkan dalam al-Quran dan ditulis dalam kaedah 'Maudu'ii' yang bermaksud mereka menulis kisah Nabi dengan mengambil berat perspektif manakah yang akan diambil dalam penulisan itu.
Kini, purata perceraian semakin meningkat lalu mereka mengambil kisah Nabi dalam al-Quran bagi menyarankan penyelesaian masalah perceraian itu. Terdapat satu kajian akademik membongkarkan kisah Nabi Yaakub dalam surah Yusuf mengenai 10 tip keibubapaan. Kategori ketujuh ialah pendekatan 'al-Wa'zul Irsyadii' menggunakan cara motivasi untuk menyampaikan kisah nabi supaya menjadi inspirasi.
Kaedah ini mengambil kisah disyarahkan panjang lebar sehingga orang yang mendengar berasakan inilah apa yang dicari selama ini. Kategori terakhir ialah 'al-Taklifil Atfal' iaitu buku menyentuh mengenai anak. Inilah antara kaedah penceritaan al-Quran bukan sekadar untuk pembacaan bahkan untuk diambil pengajaran dan inspirasi.
Oleh Faiz Othman
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/230039
0 Komentar untuk "Kisah dalam al-Quran inspirasi hidup"