Perda Beri Penjelasan Isu Jual Tanah Kepada Guan Eng - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Perda Beri Penjelasan Isu Jual Tanah Kepada Guan Eng

BUTTERWORTH: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) menjual tanah di Tok Keramat pada harga murah untuk golongan miskin, kata pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bertanya mengapa tanah seluas 3.461 hektar (ha) di Seberang Prai Selatan (SPS) dijual pada harga RM1.427 juta, sedangkan nilai pasarannya adalah RM16.636 juta berdasarkan penilaian duti setem itu.

Bercakap dalam sidang media pada Jumaat, Shabudin menjelaskan bahawa Perda menjual tanah kepada pemaju pada harga yang lebih rendah untuk memastikan rumah yang dibina mampu milik.

"Tanah itu dijual dengan syarat pemaju hanya perlu membina rumah kos rendah dan beberapa rumah mampu milik berharga RM200,000 untuk 250 pembeli rumah.

"Jika tanah itu dijual mengikut nilai pasaran bersama-sama dengan harga rumah, berapa pula harga akhir rumah tersebut nanti? " soal Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Dalam reaksi balas, Lim berkata Perda sepatutnya mengambil inisiatif sendiri untuk membina rumah kos rendah di tanah tersebut dan bukannya menjualnya kepada pemaju swasta.

"Mereka mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan untuk membina perumahan awam, mengapa mereka menjual tanah tersebut?

"Apa guna wujudnya Perda jika itu masalahnya... mungkin juga perlu bubarkan Perda.

"Fungsi mereka adalah untuk membangunkan kemudahan kediaman untuk golongan miskin dan memerlukan di daerah ini," katanya selepas melancarkan laman web Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang di Komtar pada Jumaat.

Sebelum itu, Lim berkata rekod Jabatan Tanah menunjukkan perjanjian tanah itu yang dibahagikan kepada 18 lot dilakukan pada 28 Julai 2015 dan tanah itu telah dijual kepada pemaju swasta.

Lim kemudian menjemput Shabudin untuk menikmati secawan kopi untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

0 Komentar untuk "Perda Beri Penjelasan Isu Jual Tanah Kepada Guan Eng"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI