Deklarasi Rakyat: Satu Cabaran Politik Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Deklarasi Rakyat: Satu Cabaran Politik Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

KUALA TERENGGANU: Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuaikumpulan lebih 50 orang memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri merupakan satu cabaran politik yang perlu dihadapi dalam pilihan raya umum akan datang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata walaupun Dr Mahathir menjelaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti pembangkang, namun beliau telah pergi ke pejabat PKR dan duduk sebaris bersama pemimpin pembangkang daripada PKR dan DAP.

"Tindakannya itu adalah berlawanan dengan sifat kesetiaan, hormat menghormati dan kesepaduan yang wujud dalam Umno sejak dulu lagi.

"Daripada Perdana Menteri pertama hingga PM Najib sekarang, setiap proses pertukaran itu ada tertibnya, namun tindakan Tun Mahathir yang mengajak pembangkang (menjatuhkan Najib) sedangkan selama ini mereka dianggap musuh politik Umno adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima.

"Jika inilah gerakannya, maka kita akan berdepan dengan kumpulan yang sama dalam pilihan raya nanti namun saya yakin dengan kekuatan jentera parti Umno serta Barisan Nasional yang ada kita mampu menghadapinya," katanya mengulas tindakan Dr Mahathir bekerjasama dengan pembangkang dalam kempen Anti-Najib.

Terdahulu, Menteri Pendidikan itu merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata proses pelantikan Perdana Menteri adalah melalui sistem demokrasi berparlimen dan ia telah dilakukan menerusi pilihan raya umum yang sah dan ia perlu dihormati semua pihak.

"Usaha Tun Mahathir itu adalah di luar kebiasaan...pemimpin Umno yang didapati turut menandatangani deklarasi itu boleh diambil tindakan mengikut perlembagaan parti.

"Saya sebagai pemimpin Umno dari Kedah, tetap teguh menyokong Perdana Menteri untuk terus mentadbir negara dan bersama-sama membantu Perdana Menteri untuk meneruskan agenda pembangunan negara," katanya.-- Bernama

0 Komentar untuk "Deklarasi Rakyat: Satu Cabaran Politik Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI