'Deklarasi Rakyat' Bukan 'Suara' 30 Juta Rakyat Malaysia - Salleh - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

'Deklarasi Rakyat' Bukan 'Suara' 30 Juta Rakyat Malaysia - Salleh

KUALA LUMPUR: 'Deklarasi Rakyat' yang ditandatangani oleh 58 individu sama sekali tidak mewakili 30 juta rakyat Malaysia atau 15 juta pengundi tetapi ia hanya sebuah pergerakan bagi menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata perisytiharan itu adalah 'alasan untuk berselindung' untuk mewajarkan apa yang mereka lakukan.

"Mereka seolah-olah lupa bahawa ada mekanisme untuk melakukan sesuatu seperti itu dan mekanisme itu dipanggil pilihan raya umum," katanya dalam entri terbaru dalam blognya, sskeruak.blogspot.com.

Katanya antara 58 menandatangani deklarasi bersama itu adalah terdiri daripada beberapa pesara politik, pegawai polis dan pegawai kerajaan serta beberapa lagi yang menggelar diri mereka sebagai pemimpin masyarakat sivil.

"Pada hakikatnya, ia tidak lebih daripada sebuah acara yang digembar-gemburkan," katanya.

Salleh berkata 'Deklarasi Rakyat' itu hanya sebuah dokumen dikitar semula dari yang dilakukan pada 1998 dan 2008.

"Tidak syak lagi mereka mengatakan ini satu pelan tindakan untuk reformasi tetapi ia tidak benar-benar merupakan pelan tindakan atau pelan induk kerana ia adalah senarai aspirasi dan keinginan," katanya.

Menurutnya 'Deklarasi Rakyat' adalah apa yang mereka ingin melihat daripada pelan bagaimana untuk mencapai aspirasi ini.

"Dalam erti kata lain, mereka tidak menawarkan penyelesaian kepada kita,"katanya.

"Tambahan pula, aspirasi ini berbeza...bergantung kepada siapa anda bercakap...dengan seorang mengatakan satu perkara dan seorang lagi berkata sebaliknya," katanya.

Beliau berkata walaupun mereka menjadikan acara semalam kelihatan sebagai sebuah platform untuk menuntut pembaharuan dan perubahan namun dalam realitinya ia adalah satu gabungan yang terdiri daripada orang-orang yang menentang Najib.

"Apa yang mereka sebenarnya mahu adalah untuk memberi tanggapan bahawa langkah menyingkirkan perdana menteri disokong oleh majoriti rakyat.

"Sudah tentu, ini tidak benar...58 individu tidak mewakili 30 juta rakyat Malaysia mahupun tidak sama sekali 15 juta pengundi," katanya.

"Kita ada hampir 800 Anggota Parliamen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)dan mereka adalah wakil sah yang dipilih oleh pengundi semasa pilihan raya umum dan pilihan raya negeri," katanya.-Bernama

0 Komentar untuk "'Deklarasi Rakyat' Bukan 'Suara' 30 Juta Rakyat Malaysia - Salleh"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI