Lantik Exco kombinasi Umno, Pas - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Lantik Exco kombinasi Umno, Pas

ALOR SETAR - Kedah mungkin boleh memulakan langkah mewujudkan kerjasama antara Umno dan Pas untuk sama-sama mentadbir negeri demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Jika tidak dimulakan langkah pertama, sudah pasti kita tidak tahu hasilnya.

Diharap Kedah boleh menjadi contoh dan ikutan untuk negeri lain dalam menjayakan hasrat murni kepimpinan atasan kedua-dua parti sebelum ini untuk mengadakan kerjasama politik Umno dan Pas.

Mungkin inilah masa yang sesuai untuk melakukan ujian yang belum tahu apa hasilnya kelak. Mungkin mereka boleh berjaya dan mungkin tidak.

Tetapi sekurang-kurang mereka sudah berusaha ke arah itu - perkongsian kuasa sesama parti yang dterajui orang Islam.

Seorang veteran Umno Kedah berkata, tidak salah untuk mencuba pendekatan yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di negara ini iaitu parti pemerintah dan pembangkang berada dalam sebuah kerajaan untuk mentadbir sebuah negeri.

“Apa salahnya kita mencuba sesuatu yang baharu. Ini bukan zaman 1950-an atau 1960-an. Kita berada di milenia baharu. Segalanya mungkin kerana sikap rakyat yang lebih terbuka dan mempunyai tahap pemikiran yang lebih luas merentasi sempadan parti,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar yang baharu mungkin boleh memikirkan perkara ini secara serius kerana ia mampu membawa kebaikan kepada pemerintah dan rakyat.

“Ini boleh dilakukan kerana Kedah akan membentuk barisan exco yang baharu.

“Saya nampak ada beberapa wakil rakyat Pas yang mempunyai kebolehan, kelayakan dan berkaliber untuk membantu memantapkan jentera pentadbiran kerajaan negeri.

“Cubalah dulu baru tau hasilnya,” katanya dengan penuh semangat dan menaruh harapan tinggi ke arah penyatuan dan kerjsama kedua-dua parti itu.

Beliau berkata, dalam keadaan politik Umno yang tidak menentu dan berpecah kepada beberapa kumpulan, kaedah perkongsian kuasa mungkin pendekatan terbaik untuk menguatkan kembali sokongan rakyat.

“Umno berpecah dan Pas pun berpecah. Masing-masing ada masalah dalaman dan kurang bermaya untuk bergerak sendirian. Jadi apa salahnya mereka bergabung tenaga, kekuatan dan jentera untuk melonjak kembali dalam PRU14.

“Siapa tahu, hasil kerjasama ini yang dianggap begitu kecil mampu memberi impak besar dan sekali gus menukar senario politik tanah air dalam dekad akan datang,” katanya.

Seorang lagi veteran dan bekas wakil rakyat Umno berkata, melihat kepada senarai Adun Umno masa kini, ramai tidak mampu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan jika diberi peluang sebagai exco.

Ini kerana ada sesetengah tidak mempunyai jawatan di peringkat bahagian kerana kalah dalam pemilihan parti tidak lama dahulu dan ada juga yang tidak mampu menonjolkan diri walaupun kini bergelar ketua, timbalan atau naib ketua bahagian.

“Agak malang kalau kita mempunyai ahli exco yang hanya lena dibuai mimpi indah tanpa ada perancangan pembangunan yang jitu untuk menempuhi banyak cabaran yang mendatang.

“Ini bukan pentadbiran zaman dahulu. Kita berhadapan dengan pelbagai ancaman dari segi politik, ekonomi dan keselamatan yang begitu rumit dan tidak pernah terbayang pada 30 atau 40 tahun yang lalu,” katanya.

Tambahan pula masih ramai Adun yang senior dan kurang energetik untuk memikir, merancang dan melaksanakan sesuatu dengan usaha 100 peratus.

Beliau berkata, barisan exco yang dilantik adalah untuk membantu Menteri Besar melaksanakan semua projek dan pembangunan yang dirancang untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan menjanin kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Jika mereka gagal berfungsi, maka pentadbiran akan menjadi tempang kerana Menteri Besar tidak mampu melakukannya seorang diri.

“Sebab itu, kita lantik exco untuk membantu Menteri Besar. Mereka mesti tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Kalau nak harap Menteri Besar buat semua kerja, boleh rebah dia kerana tekanan dan beban tugas,” katanya.

Beliau berkata, rakyat akan gembira jika kedua-dua parti boleh menunjukkan contoh dan ikutan baik kepada masyarakat dengan bekerjasama untuk rakyat dengan mengenepikan kepentingan peribadi atau perjuangan parti yang sempit.

“Sebelum ini riuh mengenai kerajaan perpaduan, kerjasama Umno-Pas dan penyatuan umat Islam. Tetapi tidak ada tindakan susulan dan ia terkubur di garisan permulaan kerana tidak ada atau ternampak ada usaha bersungguh-sungguh dari kedua-dua pihak.

“Jadi saya akan berbangga jika Kedah mampu merealisasikan hasrat murni yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini,” katanya.

Menurutya, semua orang akan menghormati dan mengagumi bakal Menteri Besar Kedah yang berjiwa besar untuk berkongsi kuasa dengan seteru politik demi kesejahteraan rakyat Kedah.

“Apa salahnya pemimpin nombor satu di negeri ini yang diterajui Umno berjiwa besar, tidak pentingkan diri sendiri sebaliknya mengutamakan rakyat dan negeri.

“Tak salah kita berjiwa besar walaupun negeri ini tidak besar berbanding dengan negeri lain. tetapi sekurang-kurangnya kita mengorak satu langkah yang akan disanjung dan dikenang oleh cucu cicit kita suatu hari nanti,” katanya.

Seorang pemimpin Pas peringkat kawasan ketika ditemui mengakui cadangan itu adalah idea yang bernas dan ideal tetapi agak sukar untuk dilaksanakan kerana pebagai halangan politik.

Beliau yang tidak terfikir pun kepada idea seumpama itu menganggapnya sebagai menarik dan boleh dicuba jika ada kesungguhan dari kedua-dua parti.

“Saya pun agak terkejut mendengar idea seperti ini dan tidak mustahil boleh berjaya. Tetapi mesti dan kesungguhan dan komitmen tinggi dari Umno sebagai parti yang memerintah Kedah.

“Pas sebagai pembangkang hanya mengikut rentak dan cadangan Umno. Jika sesuai apa salahnya ia direalisasikan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau musykil dengan keikhlasan pemimpin Umno untuk menjayakan konsep perpaduan ummah dengan mengenepikan sedikit kepentingan parti dan politik untuk melaksanakan perkongsian kuasa.

“Dah banyak usaha dilakukan ke arah ini tetapi tidak pernah berjaya kerana banyak tentangan dari dalam Umno sendiri. Mereka tidak mahu berkongsi kuasa dengan pembangkang.

“Kita menjadi pemerintah atau pembangkang di dunia sahaja. Di akhirat kelak, ALLAH tak tanya pun kita ni dari parti mana dan sokong siapa. Jika ada amalan soleh dan sifat ikhlas, itulah harta dan bekalan kita di sana,” katanya.

Sungguh pun agak pesimis dengan cadangan yang nampak pelik tetapi masih boleh direalisasikan, beliau berdoa agar ia boleh dijayakan di Kedah dan akan menjadi ikutan orang lain.    

“Harap-harap usaha ini berjaya dan membuka lembaran baharu di Kedah dan seluruh negara demi kebaikan ummah,” katanya.

0 Komentar untuk "Lantik Exco kombinasi Umno, Pas"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI