Amanah, PAS Kritik DAP Berhubung Visa Pelayar Israel - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Amanah, PAS Kritik DAP Berhubung Visa Pelayar Israel

PETALING JAYA: Dalam kejadian yang jarang berlaku, Parti Amanah Negara (Amanah) membidas rakan kongsinya, DAP kerana mempersoalkan keputusan kerajaan tidak membenarkan pelayar Israel untuk mengambil bahagian dalam kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia di Langkawi.

Amanah menyertai PAS dengan mengatakan mereka menyokong keputusan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam menerima pengunduran pelayar tersebut atas alasan Malaysia mematuhi dasar diplomatik.

Pada Sabtu, Ketua Biro Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin mempertikaikan keputusan Khairy kerana bertindak berdasarkan politik dan sentimen peribadi mengenai kejohanan sukan antarabangsa itu.

Chong mempertikaikan bahawa sukan harus melangkaui sempadan politik dan dijauhkan daripada politik.

Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyifatkan kenyataan Chong sebagai tidak sensitif.

"Kenyataan sedemikian menyinggung perasaan orang ramai terutamanya umat Islam dan pencinta keamanan, yang sehingga kini bimbang mengenai nasib rakyat Palestin," kata Mohd Fakhrulrazi.

Beliau berkata Amanah mempunyai hak untuk menasihati DAP berhubung perkara itu walaupun mereka adalah rakan kongsi politik.

"Kami berharap DAP akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan pada masa depan terutamanya apabila melibatkan sensitiviti umat dan agama Islam," katanya.

Malah, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata keputusan kerajaan amat tepat memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Katanya, menafikan visa Israel suatu perkara yang sangat penting jika dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukan negara itu terhadap Palestin.

"Apakah parti (DAP) yang katanya membawa agenda keadilan dan hak asasi manusia menyokong negara Israel yang secara rakus menyerang dan menindas Palestin dan rakyatnya?

"DAP sepatutnya perlu lebih peka dengan politik dan hubungan kemanusiaan di luar negara," katanya.

Terdahulu, The Jerusalem Post melaporkan Yoav Omer dan Noy Drihan tidak akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut pada Ahad kerana mereka tidak menerima visa masing-masing, 24 jam sebelum dijadualkan berlepas.

Pengerusi Persatuan Pelayar Israel (ISA) Gili Amirl berkata mereka boleh memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Malaysia dan Persekutuan Perahu Layar Antarabangsa (ISAF) kerana tidak membenarkan atletnya untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

0 Komentar untuk "Amanah, PAS Kritik DAP Berhubung Visa Pelayar Israel"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI