Syok sendiri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Syok sendiri

Syok sendiri – ini satu perangai yang ada pada semua orang. Positifnya, syok sendiri boleh menggembirakan diri sendiri. Negatifnya, syok sendiri kadangkala memberikan harapan yang palsu sehingga sendiri semakin jauh daripada realiti.

Namun begitu, syok sendiri yang paling menjengkelkan apabila ia bertujuan untuk menipu atau memberikan gambaran palsu kepada diri dan sasaran. Ini biasa kelihatan di politik.

Mari kita melihat pecahan ahli Parlimen di Malaysia (Rujuk Jadual 1, 2, 3).




Malaysia mempunyai 222 ahli Parlimen. 57 kerusi (26%) di Labuan (1), Sabah (25) dan Sarawak (31), manakala 165 kerusi (74%) di Semenanjung.

Di peringkat negara, Barisan Nasional (BN) menguasai 134 kerusi (60%) dan 88 kerusi lain (40%) dikuasai pembangkang dan bebas.

Daripada 134 kerusi di BN, Umno menguasai 88 kerusi, 73 di Semenanjung dan 15 di Sabah dan Labuan. Jumlah kerusi Umno ini sama dengan jumlah kerusi pembangkang di seluruh negara.

Ini bermakna Umno sendiri sudah cukup, sekiranya tiada pembelotan, untuk menumpaskan pembangkang di parlimen dalam apa-apa undi di Parlimen termasuklah undi tidak percaya kepada Datuk Seri Najib Razak mahupun Bajet 2016.


Jadi, tidak perlulah ada sesiapa yang syok sendiri kononnya undi tidak percaya terhadap Najib mahupun Bajet 2016 akan berjaya, lebih-lebih lagi apabila pemimpin rasional seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah turut memberi pujian kepada Bajet 2016 baru-baru ini.

Daripada sudut Islam dan bukan Islam, 136 jumlah kerusi Parlimen (61%) dipegang oleh wakil rakyat Islam/Bumiputera manakala 86 kerusi (39%) dipegang oleh wakil rakyat bukan Islam.

Daripada 165 kerusi di Semenanjung, BN memenangi 86 kerusi (52%), dan pembangkang dan bebas menakluki 79 kerusi (48%).

73 daripada 86 kerusi BN di Semenanjung adalah milik Umno. Semua ini adalah kerusi dipegang wakil rakyat Islam. Ini bermakna hanya ada 13 kerusi di Semenanjung milik BN terbahagi kepada MCA (7 kerusi), MIC (4 kerusi) dan Gerakan (2 kerusi) yang dipegang wakil rakyat bukan Islam.

Di Sabah dan Sarawak, BN mempunyai 24 wakil rakyat BN (50%) beragama Islam dan 24 wakil rakyat BN beragama bukan Islam.


Bagi pembangkang pula, 39 daripada 79 kerusi (49%) yang dipegang di Semenanjung dipegang wakil rakyat beragama Islam, dan selebihnya 40 kerusi (51%) dipegang wakil rakyat bukan Islam. Pembangkang mempunyai 9 wakil rakyat di Sabah dan Sarawak, semuanya terdiri daripada wakil rakyat bukan Islam.

Melihat khusus kepada Pakatan Rakyat (PKR-PAS) dan juga wakil rakyat bebas, mereka mempunyai 31 wakil rakyat beragama Islam (69%) dan 14 wakil rakyat bukan Islam (14%).

Bagaimana pula komposisi Pakatan Harapan iaitu yang terdiri daripada DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR? Pakatan pembangkang ini mempunyai 24 wakil rakyat beragama Islam (33%) dan 48 wakil rakyat bukan Islam (67%).

Apakah komposisi ini akan memberikan keyakinan untuk tsunami orang Melayu berlaku di Pilihan Raya Umum ke-14 (PPRU14)? Dari sini, bolehlah kita faham mengapa Pendaftar Pertubuhan (RoS) meluluskan permohonan Amanah sepantas kilat jika dibandingkan dengan cara mereka terus bermain dengan status Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan juga enggan meluluskan Pakatan Rakyat selama ini?

Kalau sekadar main persepsi, semua pun boleh. Gajah pun boleh masuk peti sejuk dengan hanya menyumbatnya masuk jika jawapan itu untuk syok sendiri. Ini juga sekadar analisis syok sendiri penulis sahaja. – 26 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/timmy-say/article/syok-sendiri#sthash.PyE76VMm.dpuf
0 Komentar untuk "Syok sendiri"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI