Umno bergolak pengundi alih sokong PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Umno bergolak pengundi alih sokong PAS

Pilihanraya Umum 1999 adalah merupakan satu pilihanraya “malapetaka” buat Umno  yang kalau boleh mahu sahaja mereka luput dan lupakan dari lipatan sejarah.

Dalam PRU yang ke 10 itu, Umno dan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad telah kehilangan banyak sokongan dan undi dari orang-orang Melayu sehingga tewas sekali lagi di Negeri Kelantan dan buat pertama kali dalam 40 tahun tewas pula di Negeri Terengganu.

PAS menang di 27 kerusi Parlimen dan berjaya menguasai 98 kerusi DUN iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Empat Menteri Pusat dari Umno telah tewas selain seorang Menteri Besar iaitu di Terengganu.
Faktor utama kekalahan Umno dan BN itu banyak dikaitkan dengan isu Dato Seri Anwar Ibrahim. Pemecatan beliau dan kemudiannya kezaliman yang dikenakan ke atasnya termasuklah di pukul semasa dalam tahanan telah membangkitkan kemarahan rakyat terhadap Umno dan BN khususnya dikalangan pengundi-pengundi Melayu.

Walaubagaimanapun satu faktor yang besar yang khabarnya disentuh oleh seorang pemimpin Umno dalam mesyuarat tertingginya selepas PRU itu adalah faktor kebencian rakyat terhadap PM ketika itu Tun Dr Mahathir. Menurut sumber, pemimpin berkenaan yang tewas di Kelantan telah mengaitkan kebencian rakyat terhadap Tun Dr Mahathir sebagai faktor terbesar larinya sokongan rakyat khasnya orang-orang Melayu terhadap Umno dan BN.
Khabarnya malah kanak-kanak pun seakan malu membawa botol air mineral berlogokan “dacing” ke sekolah kerana tidak mahu dimarahi atau diejek oleh kawan-kawan lain.

Ringkasnya rasuah, kronisma dan nepotisma yang dipalitkan pada PM ketika itu selain penganiayaan dan kezaliman terhadap Anwar Ibrahim telah membangkitkan kemarahan dan kebenciaan rakyat sehingga kalangan pimpinan Umno pun ada yang telah mula enggan mempertahankan Tun Dr Mahathir lagi.
Akhirnya samada dirancang ataupun tidak beliau telah mengangkat kaki keluar dan melepaskan jawatan berkenaan kepada Tun Abdullah Badawi pada tahun 2003.

Itu kisah 12 tahun yang lalu.
Anehnya hari ini kita dapat mendengar kenyataan dari PM Dato Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa sejak meletusnya isu skandal 1MDB dan wang “derma” RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya, sudah ada pimpinan Umno yang gagal dan malah enggan mempertahankannya.

Krisis keyakinan yang melanda Tun Dr Mahathir 12 tahun lalu rupanya hari ini hinggap ke atas kepala bahu Najib pula.
Menurut Najib sebagaimana dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan, bahawa banyak bahagian-bahagian Umno telah memperolehi manfaat dari dana yang telah diagih-agihkannya di bawah kepimpinan beliau hasil dari “derma” berbilion ringgit itu.

Tambahnya lagi banyak bantuan telah disalurkan kepada bahagian-bahagian Umno untuk memperbaiki pengurusan dan pentadbiran bahagian mereka masing-masing selain membantu ahli-ahli. Namun walaupun ramai yang telah merasai bantuannya itu, Najib mendakwa masih ada yang memilih untuk menyerangnya.
Sepatutnya kata Najib lagi beliau dibela dan dipertahankan bukannya diserang seperti apa yang berlaku pada hari ini.

Jika begitulah hakikatnya maka tidak mustahil apa yang melanda dan menganggu Tun Dr Mahathir satu ketika dahulu hari ini akan melanda dan ditanggung oleh Najib pula.
Berikutan langkah drastiknya memecat Timbalan Perdana Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Kanan Datuk Shafie Apdal, Umno sedang bercakaran secara terbuka. Tindakan Najib itu tidak dapat diterima kerana ramai yang menganggap ianya semata-mata kerana mahu menutup mulut Muhyiddin dan Shafie dari mendedahkan perkara sebenar khasnya yang berkaitan skandal 1MDB itu.

Dari hari ke hari tahap ketegangan dalam Umno semakin memuncak. Desakkan dan tekanan terhadap Presidennya semakin lantang kedengaran. Pihak-pihak tertentu dalam Umno sendiri sudah melahirkan hilang keyakinan terhadap Presiden mereka sendiri.
Apabila Najib sendiri mengakui secara terbuka bahawa beliau tidak menerima sokongan sepenuhnya dari rakan-rakan pimpinan Umno yang lain ternyata Najib dan Umno sedang berhadapan dengan krisis yang kronik.

Dan sekiranya Najib gagal dalam tempuh beberapa bulan ini untuk meredakan kemelut dalaman Umno khususnya yang melibatkan dirinya sendir tidak mustahil Najib juga akan mencatat prestasi buruk dan mungkin lebih buruk dari Dr Mahathir kiranya Pilihanraya Umum dipanggil diwaktu terdekat ini.
Mungkinkah dengan kecelaruan yang melibatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau PAC, pihak SPRM, pihak polis, akan mencetuskan lagi hilangnya keyakinan pimpinan Umno apalagi rakyat sendiri terhadap kepimpinan dan pentadbiran Najib selaku PM.

Jika dahulu akibat hilangnya keyakinan pimpinan Umno dan rakyat terhadap Dr Mahathir maka para pengundi Melayu telah mengalihkan sokongan dan undi mereka dari Umno ke PAS sehingga tersungkur mereka di Kelantan dan Trengganu. Tidak mustahil kali ini dengan tekanan yang lebih padu bukan hanya Kelantan malah Terengganu dan kemungkinan beberapa negeri lain juga akan turut beralih tangan?
Najib mungkin kata tidak, tetapi itulah pengalaman Dr Mahathir dan itulah kebimbangan yang disuarakan oleh Muhyidin sehingga beliau dipecat dari jawatan TPM nya.

0 Komentar untuk "Umno bergolak pengundi alih sokong PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI