Jangan Serang SPRM, Ia Tidak Adil - KJ - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jangan Serang SPRM, Ia Tidak Adil - KJ



KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bimbang sebarang gangguan terhadap tugas yang dilakukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mengakibatkan badan penyiasat bebas itu 'runtuh'.

Mengulas perpindahan dua pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Khairy berkata, sebaliknya pegawai suruhanjaya itu perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas, bukan diganggu.

Malahan, katanya, tindakan memindahkan pegawai yang menjalankan siasatan hanya akan merosakkan SPRM serta memberi gambaran seolah-olah ada agenda untuk menakut-nakutkan badan bebas itu.

“Intimidasi terhadap SPRM perlu dihentikan segera, saya tidak boleh terima serangan ini, seolah-olah ada intimidasi terancang terhadap SPRM.

“Kalau tindakan sebegini diteruskan, maka kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kerajaan menjadi lebih teruk, biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan, jangan sesekali kita serang institusi ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Ke-64 Majlis Belia Malaysia (MBM) di sini Jumaat malam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh; Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan timbalannya, Mohd. Zaidi Aziz.

Khairy mengulas mengenai tindakan memindahkan Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rohaizad Yaakob ke JPM berkuatkuasa serta merta.

Katanya lagi, SPRM adalah institusi yang sepatutnya dilindungi dan dibenarkan untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawabnya tanpa sebarang sekatan.

"Saya difahamkan perpindahan pegawai berkenaan kerana kesilapan menerima kunjungan wakil pembangkang. Bagi saya ia tidak adil," katanya.

0 Komentar untuk "Jangan Serang SPRM, Ia Tidak Adil - KJ"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI