Mujur Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR tidak menang pilihanraya umum ke-13 dua tahun lalu. Jika tidak, negara pasti dilanda krisis politik yang paling besar dalam sejarah.
Rupa-rupanya Pakatan Rakyat yang berkokok mampu menggantikan Barisan Nasional tidak mempunyai calon yang handal untuk menjadi perdana menteri sekiranya ia menang.
Perkara ini didedahkan oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa calon automatik bagi PKR dan DAP iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak pernah dipersetujui dan direstui PAS untuk menduduki kerusi berkenaan.
Sekali lagi sebagai satu trend politik baru DAP, Kit Siang menyalahkan presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang cuba dimomokkan sebagai pembawa angkara hingga ‘berkuburnya’ Pakatan Rakyat.
"Krisis Pakatan mungkin berlaku lebih awal jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu, kerana Hadi tidak pernah menerima Anwar sebagai calon Pakatan menjadi perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan Ahad lalu.
Pendedahan rasmi itu adalah kenyataan paling mutakhir DAP yang kini diamuk masalah ‘Hadifobia’ yang menggoncang keutuhan Pakatan Rakyat hingga ‘menyembah bumi’.
Malah bagi mengukuhkan kempen anti-Hadi itu, Kit Siang terus mendedahkan bahawa pukulan maut yang dikenakan Hadi ke atas Pakatan Rakyat bukan tindakan baru.
"Sejak setahun lalu Pakatan wujud hanya pada nama, bukan secara hakikatnya disebabkan Hadi melanggar dua prinsip asas Pakatan, (iaitu) rangka kerjasama Pakatan
"(Hadi juga melanggar) prinsip konsensus operasi bahawa persetujuan ketiga-tiga parti komponen Pakatan diperlukan bagi melaksanakan mana-mana cadangan Pakatan," katanya.
Adalah jelas bahawa perselisihan di antara DAP dengan Hadi kini menyerlahkan betapa parti dominasi Cina itu memang mempunyai agenda untuk membelah-bahagi perpaduan dalam PAS.
Dari satu perspektif DAP dengan jelas tidak menghormati keputusan demokratik Muktamar PAS ke-61 awal bulan ini yang menumbangkan kumpulan profesional yang menyokong pemikiran politik Anwar dan DAP.
Justeru kenyataan terbaharu ini hanya bertujuan menghiris luka kekalahan golongan profesional berkenaan dengan mengadu-dombakan Anwarinas dalam PAS yang kecundang dengan ulama pimpinan Hadi.
Di peringkat ini memang agak sukar membaca niat Kit Siang dan DAP tetapi jika dicongak dari segi strategi politik, natijahnya jelas menunjukkan ia membakar sentimen politik golongan yang kalah supaya angkat kaki meninggalkan parti Islam itu
DAP mengaut laba besar apabila berkerjasama dengan PAS. Sekonyong-konyongnya DAP mampu mengikis segala prejudis rakyat, terutama Melayu-Islam, bahawa ia (DAP) adalah parti cauvinis.
Apabila PAS dan Anwar Ibrahim berjaya ‘memutihkan hati budi’ DAP, maka luruhlah prasangka umum terhadap motif politik DAP. Parti Kit Siang mulai memungut dividen apabila beban imej perkauman itu beransur pudar
Kini DAP mula mendaftarkan Melayu seperti Dyana Sofia, Datuk Abdul Samad Said, Zairil Khir, Ariff Sabri Abdul Aziz (Sakmongkol AK47) dan mungkin juga bekas calon PKR, pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari sebagai ahlinya.
Semakin kuat Hadi ditekan sebagai anti-Anwar, anti-pemikiran liberal dan progresif, semakin mudahlah DAP memancing pejuang-pejuang yang terkulai dalam pemilihan muktamar lalu, menjadi ahlinya.
Jika Kit Siang ahli politik yang jujur dan berintegriti, tidak perlulah beliau menggembar-gemburkan mengapa beliau mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur secara unilateral.
Sepatutnya apa yang lebih penting dilakukannya sekarang ialah memperjelaskan bila dan bagaimana mahu membentuk pakatan baru menggantikan Pakatan Rakyat yang sudah mati.
Sebaliknya, Kit Siang dan DAP dilihat menggandakan usaha memburukkan Hadi dan PAS bagi memastikan momentum “benci Hadi dan ulama” di kalangan Melayu-Islam di dalam dan di luar PAS dapat terus digerakkan.
Lebih kuat kempen ini berjalan lebih mudah dan jelas rakyat Melayu dan Islam ‘melihat’ kemungkinan betapa DAP sendiri adalah satu alternatif yang baik bagi PAS.
Strategi ini adalah sesuatu yang lumrah. Belajar daripada krisis pemilihan Menteri Besar di Selangor tahun lalu dan di Perak pada 2008, DAP tidak mahu kecewa lagi.
Di Perak selepas pilihanraya umum 2008, DAP mempunyai kerusi terbanyak di kalangan pembangkang tetapi terpaksa melepaskan peluang meletakkan ahlinya di kerusi Menteri Besar kerana tiada calon Melayu.
Begitu juga di Selangor tahun lalu. Meskipun ia mempunyai kerusi sama banyak dengan PAS di Dewan Negeri, sekali lagi ia terpaksa berdiam diri dan memerhatikan sahaja isu itu diperdebatkan oleh PAS dan PKR.
Bukan satu rahsia lagi bahawa parti ‘paling suci’ dalam Pakatan Rakyat ialah PAS. Kisah rasuah, salahguna kuasa dan juga skandal yang pelbagai, payah dipalitkan ke atas pimpinannya.
Malah ia mempunyai jentera politik yang ampuh, ikhlas dan berani. Jika PAS pecah, dan golongan Anwarinas bertindak keluar dan kemudian menyertai DAP, ia adalah satu anugerah paling besar bagi parti itu.
Kepetahan Mat Sabu, Husam Musa, Salahuddin Ayob, Hanipa Maidin, dan kewarakan ulama progresif seperti Ustaz Ahmad Awang adalah aset besar bagi DAP jika mereka boleh dipujuk menyertainya.
Buat sementara ini, panglima-panglima PAS yang terluka dalam pemilihan lalu biarlah ‘diparkir’ dalam kurungan parti kecil dan kurang dana seperti yang mahu dilakukan PasMa
Apabila apabila disapa realiti bahawa menggerakkan parti politik memerlukan dana besar dan pelbagai hambatan pentadbiran, mereka pasti akan memandang menganggotai DAP adalah satu alternatif yang baik.
Menggabungkan diri dengan PKR bukanlah opsyen yang berbaloi. Parti itu rata-rata dipimpin Melayu dan masing-masing sedang menempa nama dalam politik Malaysia. Kehadiran mantan pemimpin PAS pasti kurang dialu-alukan.
Buat masa ini biarlah DAP mengajar mereka menghafal lirik dan nasyid membenci ulama dan PAS. Kata frasa kempen ‘menolak profesional’ keluar PAS masih tetap sama yang berjaya digunakan ke atas Umno iaitu ABU.
Asal Bukan Umno (ABU) menjadi slogan berkesan meremehkan parti induk orang Melayu itu. Cuma kali ini akronim ini digunakan terhadap ulama dalam PAS. Ia bermula dengan menyerang peribadi Hadi.
Namun DAP insaf bahawa jendela politik ini terbuka untuk tempoh yang terhad – sebelum PKR sedar dari lena dan ruang selesanya hidup sejahtera tanpa Anwar Ibrahim menabur titah perintahnya. - ANtaraPos
0 Komentar untuk "Mengapa DAP bertalu-talu serang peribadi Hadi?"