MUADZAM SHAH: Walaupun hampir 3,000 orang hadir pada Himpunan Derita Rakyat (Hindar) yang merupakan kempen terakhir PAS sebelum menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Selasa ini, namun ia kelihatan seperti ceramah 'biasa'.
Malah, parti itu dilihat terus berseorangan di Rompin apabila kelibat pimpinan tertinggi sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetap tidak kelihatan.
Meskipun himpunan anjuran Dewan Ulama PAS Pusat itu tidak memerlukan keterlibatan pemimpin PKR dan DAP, setidak-tidaknya kedua-dua parti itu menghantar wakil mereka sebagai tanda sokongan kepada calon PAS, Nazri Ahmad.
Namun, ketiadaan pimpinan tertinggi PKR dan DAP, pada malam Ahad menimbulkan tanda tanya mengenai status hubungan ketiga-tiga parti ini yang masih misteri sehingga hari ini.
Antara nama-nama besar yang hadir dalam ceramah itu adalah Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dan Nasrudin Hasan Tantawi.
Yang turut hadir Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh.
Selain membangkitkan isu kitar semula seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), tanah peneroka Felda dan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan, PAS mengalih tumpuan pengundi terhadap ketidakhadiran perdana menteri di Rompin dan Permatang Pauh.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa ketiadaan Datuk Seri Najib Tun Razak seolah-olah membayangkan ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam Barisan Nasional (BN).
"Kali pertama dalam sejarah PRK, gambar perdana menteri tak ada, bukan sahaja di sini tetapi begitu juga di Permatang Pauh. Kan biasa kalau kita turun PRK ini, gambar PM lebih banyak daripada gambar calon... kenapa tak ada gambar?
"Bukan sahaja tak ada gambar tapi (Najib) belum turun lagi. Tak apalah itu urusan dia. Kita tengok siapa yang turun dulu nanti, PM atau Ahmad Maslan," katanya dalam nada berseloroh.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang tetap menyerang kerajaan kerana melaksanakan sisytem GST yang didakwa membebankan rakyat dan bertentangan dengan hukum Islam.
"Ada menteri kata kad pra bayar kena GST ada kata tak... rakyat jadi pening. Media beritahu GST baik untuk rakyat tapi bila pergi kedai orang kampung kena bayar RM10.60," katanya.
Sementara itu, calon PAS, Nazri Ahmad hanya tampil kurang 10 minit dan mengulangi gesaan agar rakyat mengundi parti Islam itu sebagai tanda protes kepada GST.
"Kita hantar isyarat kepada kerajaan pada 5 Mei ini bahawa rakyat menolak GST. Setiap undi PAS tanda protes terhadap sistem cukai yang menzalimi rakyat," katanya.
Pada masa sama, PAS cuba menyakinkan rakyat bahawa GST menindas rakyat apabila menampilkan seorang kanak-kanak yang menghidap kanser tulang terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi berikutan pelaksanaan sistem cukai tersebut.
Dalam usaha mengalihkan tumpuan orang ramai mengenai pertikaian antara PAS dan DAP berhubung isu hudud, Mahfodz Mohamed dalam ucapannya memberitahu PAS tidak membincangkan mengenai undang-undang Islam itu secara bersendirian.
"Kita telah jelaskan (hudud) dalam Pakatan Rakyat, bukan kita lakukan secara senyap-senyap. Kita jelaskan tiga kali kepada sekutu dalam Pakatan Rakyat," katanya.
Beliau berkata rang undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan masyarakat bukan Islam sepatutnya menyokong pelaksanaannya.
"Masyarakat Tiong Hua tidak perlu takut. Ia hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tiada kena-mengena dengan orang bukan Islam," katanya.
Sepanjang 14 hari berkempen, walaupun PAS membangkitkan isu GST, tanah peneroka Felda dan beberapa masalah penduduk tempatan sebagai modal untuk menyerang BN, tiada jalan penyelesaian yang disyorkan seandainya calon parti itu memenangi kubu kuat BN itu.
Nazri yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang akan berdepan calon BN, Datuk Hasan Arifin dalam pertembungan satu lawan satu pada hari pengundian Selasa ini.
0 Komentar untuk "PRK Rompin: PAS Ditinggalkan DAP Dan PKR"