Azmin saran SIS bertemu mufti, Mais berhubung fatwa sesat - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Azmin saran SIS bertemu mufti, Mais berhubung fatwa sesat

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali minta pertemuan diadakan antara mufti, Mais dan Sisters In Islam berhubung isu fatwa pertubuhan itu sesat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2014.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mencadangkan satu pertemuan diadakan antara Sisters in Islam (SIS), mufti Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung isu semakan kehakiman terhadap fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai fahaman sesat.

Azmin berkata, beliau mengusulkan perkara itu semasa mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang berlangsung pada Isnin dengan harapan ia dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya mencadangkan, dengan perkenan Sultan, supaya mufti Selangor dan Mais membuat pertemuan dengan SIS bagi mengelak kekeliruan dan salah faham.

"Saya benar-benar berharap dengan konsultasi dan pertemuan yang dijalankan tanpa prasangka, akan membantu membawa suasana harmoni sepertimana yang dianjurkan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin berkata, selepas membaca kenyataan SIS yang memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober, beliau menghubungi mufti bagi mendapat penjelasan mengenai perkara tersebut.

Isu itu kemudiannya dibincangkan pada mesyuarat Dewan Diraja itu yang kebetulan diadakan pada 3 November bagi mendapatkan penjelasan langsung dari mufti Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Sambil mengingatkan yang beliau bukan ahli jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pejabat Menteri Besar tidak berkuasa ke atas hal berkaitan fatwa, Azmin mengatakan beliau membuat cadangan semasa mesyuarat berkenaan selepas mendengar penjelasan Tamyes dan Adzib.

SIS, yang menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Mais dan kerajaan Selangor sebagai responden, mahu membatalkan pengisytiharan fatwa itu dan mahu diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa itu.

Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dalam reaksi segera, pengurus program SIS Suri Kempe berkata pertubuhan itu mengalu-alukan dialog yang disarankan Azmin dengan pihak berkuasa agama negeri itu.

“Kami takda masalah bertemu Mais. Kami menunggu jemputan itu. Kami masih belum menerima jemputan rasmi. Sudah tentu kami terbuka bagi mengadakan dialog," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berharap perbincangan itu akan berakhir dengan penarikan semula fatwa itu dan pembatalan gazet, merujuk fatwa yang digazetkan mengikut Bahagian III Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 itu.

“Setakat ini, bagi pihak kami, tiada apa perubahan dan tiada sebarang perkembangan. Tetapi, kami berharap dapat mengadakan mesyuarat itu dan kami berminat berbincang dengan mereka tentang apa kerja kami yang buat."

Suri berkata SIS pernah berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini pada 2012, ketika mereka kongsikan dengan majlis itu dapatan mereka berhubung satu kajian mengenai poligami dalam usaha ke arah menggalakkan pembaharuan dalam undang-undang Syariah.

"Tetapi tiada apa susulan dibuat selepas itu. Kami tak nampak sebarang cubaan mengubah sistem yang ada. Jadi, kita lihatlah macamana pula dengan mesyuarat kali ini." – 5 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/azmin-saran-sis-bertemu-mufti-mais-berhubung-fatwa-sesat#sthash.KkZuTWAQ.dpuf
0 Komentar untuk "Azmin saran SIS bertemu mufti, Mais berhubung fatwa sesat "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI