Rakan komponen Pakatan jangan masuk campur urusan PAS, kata Rafizi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Rakan komponen Pakatan jangan masuk campur urusan PAS, kata Rafizi

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata penggantungan dua Adun Selangor dari PAS adalah urusan dalam parti itu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 13 Oktober, 2014.

Rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) dinasihati tidak mencampuri urusan dalaman PAS berkenaan tindakan tatatertib parti Islam itu terhadap dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka kerana menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen dari PKR itu berkata, tindakan menggantung keahlian Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin daripada PAS selama setahun adalah hak PAS.

"Itu adalah proses dalaman PAS, dan saya rasa setiap parti mempunyai hak untuk menjalankan proses dalaman.

"Sepertimana kalau proses itu berlaku dalam PKR, kita menghargai kalau rakan-rakan kita tidak campur tangan, saya rasa tidak wajar kalau parti-parti lain di dalam PR cuba campur tangan," kata Rafizi kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Rafizi juga enggan mengulas lanjut berkenaan tindakan dikenakan PAS terhadap dua Adun mereka itu.

"Saya menghargai saudara Hasnul sebagai kawan baik saya dan juga saudara Saari sebagai tokoh pejuang yang saya kenal daripada muda yang saya hormati.

"Tetapi proses membuat keputusan di dalam PAS itu saya amat hargai dan saya tidak akan bagi komen atau campur tangan, dan saya tak rasa siapa-siapa patut campur tangan," katanya.

Hasnul dan Saari diberikan 15 hari membuat rayuan berhubung tindakan terhadap mereka.

Naib Ketua Pemuda PKR, Fahmi Fadzil sebelum ini membidas tindakan PAS dan mempertahankan dua Adun berkenaan.

Beliau berkata, sokongan mereka berdua adalah langkah demokratik dalam merungkaikan krisis menteri besar ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang ketika itu ingin digantikan dengan presiden PKR, Dr Wan Azizah.

Saari dan Hasnul pada 15 Ogos lalu menyertai 28 Adun PKR dan DAP Selangor menyatakan sokongan mereka terhadap Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor dan menyingkirkan Khalid.

Sepanjang tempoh penggantungan itu, dua Adun berkenaan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti parti, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

"Pemuda PKR berharap kedua-dua Adun tersebut akan terus istiqamah dalam usaha tajdid dan islah demi politik Malaysia yang lebih baik," kata Fahmi.

"Mereka boleh merayu berdasarkan Fasal 83(4)(5) Perlembagaan PAS pindaan 2011," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Katanya, rayuan bertulis boleh dibuat kepada Setiausaha Majlis Syura Ulama, badan yang mempunyai kuasa untuk membuat kata putus, melebihi kuasa Jawatankuasa Pusat. – 13 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rakan-komponen-pakatan-jangan-masuk-campur-urusan-pas-kata-rafizi#sthash.elQA8vV0.dpuf
0 Komentar untuk "Rakan komponen Pakatan jangan masuk campur urusan PAS, kata Rafizi "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI