PKR mahu perubahan, DAP jangka exco dikekalkan dalam Kabinet Azmin - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PKR mahu perubahan, DAP jangka exco dikekalkan dalam Kabinet Azmin

Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dikatakan tersenarai dalam empat nama yang dicadangkan dilantik menjadi exco Selangor, kata sumber. Gambar fail The Malaysian Insider.
PKR mungkin melantik ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) baharu dalam kerajaan negeri Selangor, sementara DAP nampaknya lebih suka jika tiga exconya dikekalkan ketika Menteri Besar Mohamed Azmin Ali memberikan sentuhan terakhir dalam senarai barisan Kabinet dalam pentadbiran baharunya.

Sumber berkata, majlis kepimpinan pusat PKR mencadangkan empat tambahan nama untuk pertimbangan Azmin, selain tiga exco yang pernah berkhidmat di bawah menteri besar terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Empat nama baharu yang dicadangkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Suhaimi Shafiei (Sri Muda), Yaakob Sapari (Kota Anggerik) dan Amirudin Shari (Batu Caves).

Sumber itu berkata, ketua pembangkang yang juga ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih berminat jika Nik Nazmi yang kini menjawat jawatan ketua Pemuda PKR, dilantik menjadi exco.
Nik Nazmi yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan beliau tidak boleh memegang jawatan itu jika dilantik sebagai exco berikutan akan berlaku percanggahan kepentingan dan pengasingan kuasa antara cabang eksekutif dan perundangan dalam kerajaan.

Jika beliau dilantik menjadi exco, parti dalam Pakatan Rakyat (PR) perlu membuat keputusan untuk memilih timbalan speaker baharu dan mencalonkan individu itu dengan undian dalam sidang Dewan Undangan Negeri apabila ia mula bersidang nanti.

Tiga exco PKR di bawah pentadbiran Khalid ialah Elizabeth Wong, Dr Daroyah Alwi dan Rodziah Ismail.

Sumber PR yang enggan disiarkan namanya berikutan perkara itu masih belum dimuktamadkan berkata, Azmin mungkin akan mengekalkan Wong, tetapi tidak melantik semula Dr Daroyah dan Rodziah, yang dikatakan penyokong Khalid.

Suhaimi dan Amirudin pula dikatakan penyokong Azmin.

Sementara itu, pemimpin DAP Selangor berkata tidak ada sebab untuk membuat perubahan terhadap exco yang mewakili partinya dalam kerajaan negeri kerana ketiga-tiga exco itu menjalankan tugas dengan baik.

“Saya tidak nampak sebab untuk berbuat demikian, nampaknya parti akan menghantar nama yang sama,” kata pemimpin negeri parti itu.

Ketua DAP Selangor Tony Pua ketika dihubungi hanya berkata senarai nama berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Tiga exco DAP dalam pentadbiran Khalid ialah Datuk Teng Chang Kim, Ean Yong Hian Wah dan V Ganabatirau, sehingga bekas menteri besar itu memecat mereka dan tiga exco daripada PKR selepas beliau sendiri disingkirkan keluar PKR kerana enggan mematuhi arahan memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi menteri besar.

Azmin yang baru mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor ke-15 semalam berkata pagi ini senarai barisan exco hampir siap dan disahkan susulan perbincangan dengan parti komponen dalam PR, semalam.

Mesyuarat kedua dijadualkan diadakan petang ini untuk mengesahkan calon sebelum senarai itu dipersembahkan kepada Sultan Selangor esok.

“Pada masa ini kami masih mengkaji barisan exco baharu. Perbincangan diadakan semalam dan mesyuarat lanjut akan diadakan malam ini,” katanya kepada wartawan pada hari pertama bekerja di pejabat menteri besar, hari ini.

“Kita akan melengkapkan proses ini esok sebelum mempersembahkan senarai itu kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk majlis mengangkat sumpah pada Jumaat,” katanya.

PAS juga akan mencadangkan nama empat exco yang sama pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Khalid, dan yakin mereka akan dikekalkan.

Empat exco itu ialah Iskandar Samad, Sallehin Mukhyi, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Halimah Ali. – 24 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-mahu-perubahan-dap-jangka-exco-dikekalkan-dalam-kabinet-azmin#sthash.Bmg3nB9b.dpuf
0 Komentar untuk "PKR mahu perubahan, DAP jangka exco dikekalkan dalam Kabinet Azmin"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI