"MERDEKA bererti bebas, tetapi bukan bebas yang boleh melakukan apa sahaja, kebebasan itu tertakluk kepada kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan," demikian pesanan bekas Pengerusi Tetap Umno Malaysia, Tan Sri Onn Ismail kepada kepimpinan kerajaan Selangor pada hari ini.

Beliau yang telah berkhidmat kepada enam orang Menteri Besar Selangor sejak 34 tahun lalu turut terpanggil untuk mengingatkan generasi hari ini bahawa kemerdekaan Malaysia tercalar akibat perebutan kuasa di Selangor.

Ikuti temu bual ekslusif wartawan Sinar Harian Online, Nizam Zain bersama Tan Sri Onn Ismail yang juga bekas Speaker Dun Selangor bagi mengupas lanjut berhubung perkara ini khususnya sejarah pentadbiran di Selangor.

SINAR HARIAN ONLINE: Tan Sri dikatakan menceburi bidang politik selepas negara mencapai kemerdekaan. Apakah sebenarnya yang mencetuskan minat itu?

TAN SRI ONN ISMAIL: Saya sebenarnya berasal daripada keluarga yang susah, ketika itu bapa saya hanyalah seorang pemandu bas.

Oleh kerana melihat rakyat kita yang susah, datanglah semangat saya untuk membantu berbekalkan sedikit pengetahuan ketika belajar di SITC Tanjung Malim dan suntikan semangat daripada pensyarah saya.

Oleh kerana itu saya cuba untuk menolong rakyat melalui parti politik (Umno) dan saya bernasib baik diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat iaitu di Dun Sementa dan Selat Klang, Selangor.

Saya mula menjadi wakil rakyat sejak 1974 sehingga 2008 iaitu selama 34 tahun dan tiga penggal akhir saya dilantik menjadi Speaker Dun Selangor.

Saya rasa semasa bertugas sebagai wakil rakyat, saya dapat berperanan sehingga menjadikan Selangor sebagai negeri maju pada 2005.

Sejak 1974, saya bersama pemimpin Umno lain mengisi kemajuan sehingga 2008, malangnya tahun itu Selangor diambil alih pembangkang.

Saya juga telah berkhidmat kepada enam Menteri Besar Selangor sejak zaman Datuk Harun Idris, Datuk Hormat Rafei, Datuk Ahmad Razali Mohd Ali, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Mohamad Khir Toyo.

Saya rasa banyak khidmat yang saya berikan kepada ALLAH dan rakyat boleh menilaikannya sehingga Selangor mencapai status negeri maju dan kita (Umno) yang mengisi kemajuan itu selama ini.

Namun sehingga 2008 ketika itu Menteri Besar, Mohamad Khir Toyo, apabila BN kalah, saya pun terus bersara sehingga ke hari ini.

Sebelum saya bersara dan ketika menjadi Speaker Dun Selangor, saya sempat mengeluarkan sebuah buku bertajuk Jejak Juang 6 MB Selangor.

SINAR HARIAN ONLINE: Kestabilan Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran BN tidak dapat dinafikan berbanding PR memerintah. Apakah rahsianya?

TAN SRI ONN ISMAIL: Pada masa dulu (ketika BN menjadi Kerajaan Negeri Selangor), rakyat kita boleh dikatakan kurang pendidikan tinggi, ketika itu juga kita mudah untuk menyatukan mereka.

Pada masa itu, saya mudah saja menjadi wakil rakyat selama lapan penggal berterusan kerana tiada gangguan dan ketika itu saya menjadi Adun Selat Klang kerana rakyat ketika itu hanya mengikut dan memberi kepercayaan penuh kepada pemimpin Umno ketika itu.

Namun sejak akhir-akhir ini tidak lagi begitu, setelah kita beri mereka pelajaran, beri peluang pendidikan dengan buka universiti dan kolej bagi mereka masuk, sekarang mereka sudah pandai.

Namun apabila semakin ramai rakyat yang pandai, semakin banyak berlakunya perpecahan dalam masyarakat khususnya orang Melayu, masing-masing ikut pemikiran dan fahaman sendiri.

Saya sendiri tidak mengerti dan tidak pernah menjangka Selangor boleh diperintah oleh orang lain (PR).

Ketika negeri dirampas pembangkang, BN telah mengisi kemajuan dan pembangunannya dengan cukup baik, namun 2008 BN telah dikalahkan PR.

Mungkin kekalahan BN ketika itu disebabkan pembangkang banyak memberi tumpuan untuk merampas Selangor sebagai negeri termaju dan terkaya di Malaysia.

2008 mereka menang dan saya rasa hendak pengsan bila BN kalah di Selangor selepas pemikiran rakyat sudah bertukar kerana terpengaruh dengan ucapan pembangkang yang berapi-api dan pandai bercakap.

Kekalahan itu saya terpaksa terima kerana ia kehendak rakyat dan mungkin ketika itu kita ada membuat kesilapan khususnya pucuk pimpinan BN Selangor.

Barangkali kita (BN) terlalu lama menjadi kerajaan di Selangor dan rakyat mahukan orang lain. Kita harap pembangkang jagalah negeri ini dengan baik.


SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Tan Sri melihat pergolakan politik di Selangor selepas pembangkang memerintah bagi penggal kedua ini?

TAN SRI ONN ISMAIL: Sekarang ini kita tengok pentadbiran Selangor semakin kelam-kabut disebabkan isu Menteri Besar, mereka semakin tidak betul.

Apabila keadaan itu berlaku, rakyat yang rugi disebabkan pemimpin dari tiga parti pembangkang itu kelam-kabut (berebut jawatan Menteri Besar).

SINAR HARIAN ONLINE: Peralihan kuasa beberapa Menteri Besar Selangor berjalan lancar semasa BN memerintah Selangor. Apakah rahsianya?

TAN SRI ONN ISMAIL: Peralihan kuasa itu bertukar tangan kerana kita mempunyai ketua yang baik dan kita mengamalkan perkongsian kuasa yang adil, malah kita (Umno) juga tidak gila kuasa.

Ketika itu Umno beri kuasa kepada MCA, MIC dan Gerakan supaya dapat seimbangkan pentadbiran negeri dengan baik sampai sekarang.

Isu ini saya tengok masih belum selesai sampai sekarang sampai ada pemimpin mereka hendak langgar titah Sultan Selangor.

Sepatutnya tuanku sebagai pemerintah negeri ini perlu dihormati dan ditaati selagi mana titah tuanku tidak bercanggah dengan Perlembagaan negeri dan negara.

Jika tuanku meminta lebih dua nama sebagai calon Menteri Besar mestilah dipatuhi, jangan berdegil hendak hantar satu nama saja.

Bagi saya perbuatan pembangkang itu tidak betul dan tidak wajar yang tidak memenuhi titah Sultan.

Kita dalam BN perlu taat setia kepada Sultan kerana tuanku sebagai payung kepada rakyat.

Bagi saya tidak wajar pimpinan PR cuba mengheret pihak istana dalam pergolakan politik pembangkang kerana tuanku adalah pemerintah yang tertinggi sekali, PR perlu patuh kepada titah tuanku.

SINAR HARIAN ONLINE: Wajarkah orang luar (bukan anak jati Selangor) menduduki kerusi Menteri Besar untuk mentadbir kerajaan negeri?

TAN SRI ONN ISMAIL: Bagi saya orang Selangor tidak kurang pemimpinnya, dan sebelum ini ramai yang menyuarakan supaya jawatan itu dipegang oleh anak jati negeri ini.

Apabila rakyat sudah suarakan kehendak mereka, pembangkang sepatutnya fahamlah perkara itu, lebih-lebih lagi calon mereka itu perempuan, lagi lecehlah.

Mana mungkin orang luar hendak memimpin negeri ini, tapi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memang anak jati, kita tidak ada masalah.