PENGKALAN KUBOR – Dun Pengkalan Kubor merupakan salah satu daripada empat kerusi Dun dalam Parlimen Tumpat yang mempunyai 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM), iaitu Pengkalan Kubor, Ketil, Tebing, Geting, Simpangan, Tujoh, Telaga Bata, Bunohan, Jubakar Darat, Bendang Pak Yong, Teluk Jering dan Kedai Geting.

Dun yang mempunyai keluasan 29.6 kilometer persegi itu mempunyai kira-kira 50,000 penduduk terdiri daripada Melayu, Siam, India dan lain-lain dengan pekerjaan penduduk adalah petani, nelayan, buruh dan peniaga kecil.

Dun Pengkalan Kubor dikuasai BN sejak 2004 sehingga 2014 apabila Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar mempertahankan jawatan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal berturut-turut.

Di bawah pentadbiran BN, banyak pembangunan dibawa masuk ke Dun itu dan memberi kesan ekonomi serta sosial kepada penduduk, antaranya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak di Kampung Tujoh.

Bersempena PRK Dun Pengkalan Kubor yang akan diadakan pada 25 September nanti mari bersama-sama kita lihat apa rakyat Pengkalan Kubor mahu.
Selesai masalah banjir

Penduduk, Taib Awang Kechik mahu masalah banjir yang menyebabkan 1,000 penduduk kampung-kampung di pinggir Sungai Golok terpaksa berpindah diatasi.

Menurutnya, kejadian banjir berpunca daripada Jalan Kasban yang mana pembetung berhampiran jalan itu tidak mencukupi menyebabkan aliran air tersekat dan banjir lambat surut.

Taib memaklumkan, isu itu telah mendapat perhatian Noor Zahidi tetapi usaha untuk menyelesaikannya tidak kesampaian dan penduduk memohon masalah itu diselesaikan.

"Penyelesaian masalah itu merupakan hasrat Allahyarham Noor Zahidi yang tidak mahu terus melihat rakyat terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir.

"Bukan sedikit kos yang terpaksa ditanggung kerajaan berhubung masalah banjir kerana setiap keluarga yang berpindah akan diberikan wang ihsan banjir sebanyak RM500," katanya.

Katanya, daripada peruntukan dihabiskan untuk membayar wang ihsan, adalah lebih baik mencari jalan penyelesaian segera dengan memperbanyakkan pembetung atau bina jambatan atas jalan dekat Kampung Pohon Nibong.


Menara pemancar
Mohamad Awang Isa pula mahukan sebuah menara pemancar komunikasi dibina di Mukim Bendang Pak Yong untuk memastikan liputan meluas bagi telefon mudah alih dan internet yang merupakan keperluan bagi kira-kira 5,000 pengguna.

Menurutnya, sekarang ini, liputan telekomunikasi tidak menyeluruh dan kelancaran komunikasi pengguna di sini sering terganggu.

"Ini juga merupakan hasrat Allahyarham yang tidak kesampaian. Besar harapan penduduk sekiranya hasrat beliau membantu rakyat dapat diteruskan oleh wakil rakyat baharu," katanya.


Selesai masalah kuala Tujoh tertutup

Bagi nelayan-nelayan di Kampung Geting dan Tujoh pula, tiada yang lebih penting untuk diselesaikan melainkan masalah kuala Tujoh yang menyekat rezeki mereka termasuk untuk keluar menangkap ikan.

Nelayan, Fauzi Ibrahim memaklumkan, nelayan di kampung tersebut mahu isu kuala Tujoh tertutup diselesaikan segera, iaitu sebelum tiba hari mengundi.

"Kami minta menteri-menteri yang hadir membantu kempen pada PRK Dun Pengkalan Kubor turut sama melihat masalah rakyat. Masalah di kuala Tujoh menyebabkan nelayan di sini susah cari makan termasuk tidak dapat keluar ke laut kerana muka kuala tertutup," katanya.

PRK Dun Pengkalan Kubor menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN diwakili Mat Razi Mat Ail, 48, Pas diwakili Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56 dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47.

Pada PRU13, BN memenangi kerusi Dun Pengkalan Kubor dengan majoriti 1, 736 undi mengalahkan PKR diwakili Shaharun Ibrahim serta calon Bebas, Izat Bukhary dan kini kerusi berkenaan dikosongkan berikutan kematian Noor Zahidi pada 20 Ogos lalu.