Anwar dakwa PAS mahu beliau jadi PM jika Pakatan ambil alih Putrajaya - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Anwar dakwa PAS mahu beliau jadi PM jika Pakatan ambil alih Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada hadirin di Centre For Reform Democracy & Social Initiative di Puchong, Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 30 Ogos, 2014.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan beliau merupakan pilihan PAS menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya, mengenepikan cakap-cakap yang parti Islam itu mahu veteran Umno Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengisi jawatan itu.

“Walaupun tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh PAS, ke mana sahaja saya pergi, baik bersama PAS Johor malah juga di Kelantan, atau di depan (Mursyidul Am PAS Datuk) Nik Aziz Nik Mat, saya didedahkan sebagai calon perdana menteri pilihan mereka,” kata Anwar.

“Saya tidak pernah memberi sebarang reaksi, dan itulah yang sebaiknya. Suatu masa dulu, saya timbalan perdana menteri, kemudian saya dimasukkan ke dalam lokap dan dipukul. Tidak ada maknanya untuk saya rasa perasan sangat," katanya dalam nada bergurau.

Ketua Umum PKR itu berkata demikian apabila ditanya pendirian Pakatan tentang perkara itu semasa satu dialog anjuran Pusat Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat di Puchong.
Pada 5 Ogos, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu satu forum, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pimpinan PAS mahukan Tengku Razaleigh sebagai calon perdana menteri.

Menurut Rafizi, satu rombongan pemimpin PAS termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, setiausaha agung Datuk Mustafa Ali, timbalan presiden Mohamad Sabu dan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Anwar keputusan mereka itu sebulan sebelum PRU13 pada 5 Mei.

Perkara itu kemudiannya disahkan pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang juga mendedahkan Anwar tidak bersetuju dengan cadangan itu, dan perkara itu akhirnya terhenti di situ sahaja tanpa sebarang pengumuman.

Anwar hari ini meremehkan bantahan terhadapnya itu, mengatakan ia cuma pandangan "sekumpulan kecil."

"Mungkin ada beberapa kenyataan (tidak bersetuju dengan pencalonan saya) dari satu kumpulan kecil," katanya.

"Seperti juga dalam kongres PKR, di mana akan ada satu atau dua orang perwakilan yang memberi kenyataan (berbeza)."

Sementara itu, Anwar juga menggesa orang ramai tidak "menghukum" PAS kerana peranan yang dimainkannya dalam isu krisis menteri besar Selangor, sambil berkata parti itu banyak membantunya ketika beliau dipenjara pada 1999. – 30 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anwar-dakwa-pas-mahu-beliau-jadi-pm-jika-pakatan-ambil-alih-putrajaya#sthash.xM0zY4mW.dpuf
0 Komentar untuk "Anwar dakwa PAS mahu beliau jadi PM jika Pakatan ambil alih Putrajaya "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI