PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa umat Islam supaya berusaha memberikan gambaran lebih jelas mengenai Islam kepada bukan Islam.
 
"Dalam masyarakat hari ini, Islam banyak disalah erti. Ada yang takut mengenai Islam. Ada juga yang membentuk sterotaip mengenainya. Terserah kepada kita untuk mengubah tanggapan ini dengan menawarkan gambaran yang lebih jelas tentang Islam," katanya.
  
Nasihat Najib terkandung dalam perutusan bertulis kepada para peserta Siri Syarahan Perdana Putrajaya, di sini, hari ini.
  
Perdana menteri turut menghadiri ceramah bertajuk "Past Achievements and Present Challenges in the Muslim World", (kejayaan dahulu, cabaran kini dalam dunia Islam) oleh Dr Farhan Ahmad Nizami di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).
  
Farhan ialah pengarah asas Oxford Centre for Islamic Studies, Prince of Wales Fellow di Magdalen College dan Emeritus Fellow St Cross College, Oxford.

Najib berkata peranan umat Islam dalam mendekati bukan Islam harus dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam dan dalam masa yang sama memperbaik hubungan yang sudah luntur atau musnah berdekad lalu.
  
"Usaha kita bukan tertumpu kepada mempengaruhi orang ramai, tetapi lebih kepada menukar tanggapan dengan menawarkan kebenaran," katanya dalam perutusan itu.
  
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Media Prima Bhd Datuk Johan Jaaffar turut menghadiri syarahan itu.
  
Najib berkata Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan dominan sudah bersedia untuk membawa Islam ke seluruh dunia bagi tahap seterusnya.
  
"Dalam usaha kita untuk bergerak melampaui ketakutan dan ketidakpercayaan dan menyediakan ruang lingkup bagi kesahihan universal dan budaya, kita akan menarik kepada kebijaksanaan utama yang merupakan warisan bersama semua manusia.

"Kita percaya kita boleh bersatu menjadi sebuah masyarakat yang dihormati jika kita mengatasi semua perbezaan dan memperjuangkan kepentingan antara satu sama lain dengan satu suara, satu aspirasi," katanya.
  
Najib berkata siri syarahan itu ialah suatu acara utama bertaraf dunia yang menyediakan platform membolehkan seseorang itu terlibat dengan perbincangan sihat tentang Islam yang akan memberi manfaat di semua peringkat.
  
"Dalam masa kita menyediakan pengetahuan baharu dan menawarkan pelbagai sudut untuk melihat Islam, adalah menjadi harapan kita agar usaha ini akan membuka minda kita kepada sesuatu yang baharu dan segar untuk dilihat, dihargai dan diselami mengenai Islam.

"Dengan berbuat demikian, kita boleh mula memupuk sebuah masyarakat yang lebih bijaksana, yang boleh bersaing pada tahan persefahaman serupa seperti yang lain di seluruh dunia," katanya.
  
Najib berkata beliau gembira Farhan bersetuju untuk berkongsi pemikirannya memberikan perspektif lebih jelas kepada umat Islam yang amat menghormati dan toleran terhadap orang lain yang berbeza kepercayaan sambil memelihara keamanan, kestabilan dan keharmonian. - Bernama