Hudud: PKR, DAP tiada hak campur - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hudud: PKR, DAP tiada hak campur

KOTA BHARU - Pas akan meneruskan agenda melaksanakan hukum hudud di peringkat negeri dan mengingatkan parti-parti daripada rakan sekutunya bahawa mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk campur tangan.
  
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas Kelantan sekali lagi memberi peringatan kepada PKR dan DAP bahawa mereka tidak berhak untuk menghalang pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.
  
Katanya, cadangan melaksanakan hukum hudud itu telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 lagi menerusi pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan.
  
Beliau berkata, cadangan yang diluluskan sejak 21 tahun lepas itu tidak berkaitan dengan perjanjian pakatan pembangkang.
  
"Perjanjian (Majlis Pimpinan Pembangkang) dan permuafakatan dalam pakatan pembangkang menyatakan untuk tidak melaksanakan hukum hudud itu hanya melibatkan konteks negara.
  
Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa sokongan pembangkang terhadap hukum hudud tidak timbul memandangkan parti itu tidak menyokong pelaksanaannya.

"Saya juga tidak faham mengapa DAP dan PKR mempertikaikan usaha kita untuk melaksanakan hukum hudud sedangkan manifesto juga terdapat di peringkat negara serta negeri," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pecah Tanah Projek Rumah Taman Kurnia Jaya di sini, hari ini.
  
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sebelum ini berkata kerajaan Pas Kelantan melalui anggota Parlimen parti itu, akan membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian (Hukum Hudud) ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan enakmen berkenaan selewat-lewatnya Disember tahun ini.
  
Mengulas cadangan pelaksanaan hukuman itu beliau berkata pihaknya merancang untuk menggunakan perkhidmatan pakar bedah bagi tujuan memotong tangan penjenayah yang disabitkan kesalahan sekiranya undang-undang Islam itu mula dikuatkuasakan tahun depan.
  
"Selesai hukuman tersebut pesalah terbabit sudah boleh pulang ke rumah tanpa perlu menjalani sebarang hukuman lain seperti penjara atau sebaliknya," katanya.
  
Katanya hukuman itu dilihat lebih berkesan daripada Kanun Tatacara Jenayah yang diamalkan sekarang apabila semua pesalah perlu menjalani hukuman penjara selain ia juga membebankan kerajaan menanggung kos tahanan terbabit.
 
Mohd Amar berkata, undang-undang berkenaan hanya akan melibatkan umat Islam dan orang bukan Islam sepatutnya tidak perlu takut dengan pelaksanaan hukum Hudud.
- Bernama

0 Komentar untuk "Hudud: PKR, DAP tiada hak campur"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI