SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya
Shaariibuu, kelmarin, dianggap sebagai sebahagian daripada proses keadilan.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, semua orang perlu terima keputusan itu.

Menurutnya, selepas ini kita akan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Hakikatnya, keputusan tersebut sukar diterima. Jabatan Peguam Negara akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Jika mengikut laporan akhbar, pembebasan kerana Mahkamah Tinggi melakukan kesilapan teknikal semasa perbicaraan,” katanya.

Sebelum ini, ketiga- tiga panel hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan Azilah dan Sirul.

Keputusan dibaca lebih kurang lima minit oleh Tengku Maimun menyatakan hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan alibi pembelaan yang difailkan Azilah.

Bagaimanapun Nik Ahmad Kamal berkata, kenyataan tersebut tidak begitu jelas.

“Kita perlu menunggu penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan. Ramai yang terkejut dengan keputusan itu.

“Rayuan terakhir ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Dengan pembebasan itu, kedua-dua anggota itu terlepas hukuman mati yang sebelum ini dikenakan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 oleh Hakim Datuk Zaki Md Yassin atas tuduhan membunuh.