Ban Ki-moon
Ban Ki-moon
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk keras pembunuhan lebih 50 penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Mursi dan menggesa siasatan bebas ke atas insiden itu, semalam.

Dipetik PressTV, kelmarin, seramai 51 penyokong gerakan Ikhwanul Muslimin, parti politik yang pernah diketuai Mursi ditembak mati di luar ibu pejabat ketenteraan di Kaherah.

Jurucakap PBB, Martin Nesirky berkata, Ki-moon amat marah dengan tindakan tentera melepaskan tembakan ke arah perhimpunan itu yang turut dilabelkan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh penyokong Mursi.

"Beliau mengutuk tindakan pembunuhan ini dan menggesa penubuhan jawatankuasa siasatan bebas yang disertai badan antarabangsa untuk membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata Nesirky.

Rakyat Mesir diminta bersikap rasional bagi mengurangkan persengketaan dan keganasan.

"Protes mesti dilakukan dalam keadaan aman dan pasukan keselamatan harus mematuhi arahan piawaian antarabangsa," katanya.

Sehingga kini, Mursi dilaporkan berada di dalam tahanan tentera yang dirahsiakan lokasinya selepas diguling oleh tentera negara kerana gagal meleraikan protes  dalam tempoh 48 jam, 3 Julai lalu.