Ir Amiruddin Hamzah
Ir Amiruddin Hamzah
ALOR SETAR - PR Kedah akan mewujudkan exco bayangan bagi memantau setiap aktiviti yang dilaksanakan kerajaan negeri berdasarkan portfolio masing-masing.
 
Ketua Pembangkang Dun, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, ia bertujuan memberi teguran kepada pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui BN supaya tidak melakukan kepincangan atau penyelewengan.
 
Beliau berkata, ‘shadow cabinet’ itu secara tidak langsung akan memberi penekanan kepada perkara baru atau lama yang tidak diteruskan selepas diperkenalkan pentadbiran PR.
 
“Apa yang berlaku sekarang ini menjadi pertanyaan orang ramai. Contohnya skim khafalah yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri PR sebelum ini. Apakah ia diteruskan atau sebaliknya.
 
“Jadi, perkara seperti ini yang akan kita pantau. Kita juga akan memastikan Adun pembangkang dapat menjalankan tugas sebaiknya untuk memberi pandangan yang bernas supaya Kedah terus disejahterakan, bukan sekadar aman dan makmur,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
 
Beliau yang juga Adun Anak Bukit berkata, portfolio berkenaan akan mencakupi keseluruhan 15 Adun PR merangkumi Pas, PKR dan DAP.
 
“Mungkin ada yang tidak disebut secara khususnya dipegang oleh portfolio mereka (exco) yang ada, tapi kita merasakan perkara itu penting dan akan memberi tugasan kepada Adun PR untuk melihatnya,” katanya.
 
Amiruddin berkata, portfolio yang bakal dipegang oleh exco pembangkang nanti juga adalah sama dengan apa yang terdapat pada kerajaan negeri.
 
“Kita sudah ada draf Adun yang memegang portfolio tertentu. Bagaimanapun, kita akan bincang terlebih dahulu sama ada nak umumkan sebelum atau semasa persidangan dewan,” katanya.