INKUES KEMATIAN Teoh Beng Hock : 'Ditakut-takutkan sebelum jatuh' - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

INKUES KEMATIAN Teoh Beng Hock : 'Ditakut-takutkan sebelum jatuh'

'Ditakut-takutkan sebelum jatuh'


MELALUI tingkap di pejabat SPRM di bangunan Plaza Masalam di Shah Alam inilah tempat Beng Hock terjatuh dan mati.


SHAH ALAM - Mungkinkah hipotesis Teoh Beng Hock dikelilingi individu tertentu dan menakut-nakutkannya sehingga menyebabkan dia tergelincir dan terjatuh dari tingkap 14 ke koridor di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini pada 16 Julai lalu?

Kebarangkalian itu tidak dinafikan oleh Pakar Perunding Kanan Perubatan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Khairul Azman Ibrahim apabila ditanya oleh peguam pemerhati mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar mengenai andaian tersebut.

Teori tersebut dibuat ekoran tiada penemuan jam tangan mendiang yang terputus talinya di lokasi mayatnya ditemui.

"Mungkin," kata Khairul ringkas pada hari ke-10 prosiding inkues kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor itu di Mahkamah Koroner di sini semalam.

Terdahulu dalam keterangan awal, Khairul, 51, yang juga saksi ke-10 memberitahu mahkamah bahawa mendiang tidak mempunyai masalah psikologi yang boleh menyebabkan dia mempunyai kecenderungan membunuh diri.

Beng Hock juga kata beliau, bukan seorang perokok, tidak minum arak dan tidak ada masalah perubatan.

Kenyataan itu berdasarkan perbualannya dengan keluarga mendiang mengenai latar belakang mangsa sama ada dia ada kecenderungan untuk membunuh diri sebelum bedah siasat dijalankan ke atas mayatnya pada pukul 12 tengah hari 17 Julai di bilik mayat HTAR.

"Saya ada bertanya kepada abang, adik-beradik perempuan dan tunang si mati sama ada dia berhutang atau stres sebelum ditangkap, dia minum arak, merokok atau mengambil dadah.

"Jawapan abangnya, si mati ialah seorang yang terbuka dan suka berbincang tetapi pada adik perempuannya saya tidak tanya banyak soalan manakala tunangnya lebih banyak berdiam tetapi daripada riak mukanya saya nampak dia tidak puas hati dan ingin tahu macam mana mangsa mati," katanya.

Mengulas lanjut, Khairul dalam keterangannya bersetuju dengan kenyataan peguam pemerhati mewakili keluarga mendiang, Gobind Singh Deo bahawa berdasarkan fakta-fakta, ia menunjukkan mendiang bukan jenis orang yang cenderung untuk membunuh diri.

Bagaimanapun, beliau berpendapat Beng Hock merupakan seorang berintegriti dan tegas dari segi kerja dan jika membuat silap, dia akan malu.

Prosiding yang berlangsung di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas itu mula hangat apabila Khairul kemudian diasak dengan pelbagai soalan daripada Gobind, Malik dan juga peguam pemerhati mewakili Majlis Peguam, Rajpal Singh.

Insiden itu menyebabkan peguam yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia, Tan Hock Chuan bangun dan memberitahu mahkamah bahawa keterangan Khairul adalah berdasarkan bedah siasat.

Seterusnya, Gobind mempersoalkan mengapa pakar patologi itu hanya bertanya soalan kepada ahli keluarga mendiang tetapi tidak kepada pegawai di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai apa yang berlaku semasa mendiang disoal-siasat.

Khairul menegaskan itu bukan tugas beliau sebaliknya ia di bawah kuasa polis menyebabkan Gobind terus-menerus mengasak pakar patologi itu dan mendakwa tindakan Khairul adalah untuk menjuruskan bedah siasat kepada bunuh diri.

"Pada pendapat saya, ia bagus untuk saya ketahui tetapi saya tidak buat.

"Jika pegawai SPRM ada di bilik mayat, saya akan tanya," katanya lagi.

Khairul turut ditanya Gobind sama ada kecederaan pada tulang punggung Beng Hock yang patah dan hancur berkecai semasa mendarat sehingga menyebabkan tisu-tisu di bahagian tersebut patah boleh berlaku atas sebab lain selain jatuh dari tempat tinggi.

Khairul menjawab: "Kalau dipukul dengan benda panjang dan tumpul, boleh juga berlaku."

Namun beliau menolak kecederaan itu boleh berlaku jika dipukul dengan paip polivinil klorida (PVC), cota, pembaris panjang ataupun kayu hoki.

Sementara itu, bagi menjawab soalan Malik mengenai genggaman pada tangan kiri Beng Hock, Khairul memberitahu, kebiasaannya keadaan tersebut berlaku apabila mangsa cuba untuk mencapai sesuatu.

"Bila dia jatuh, dia cuba mencapai sesuatu dan ada tanda-tanda menunjukkan dia sedar sebelum jatuh," katanya.

Malah, Khairul turut berpendapat genggaman tangan itu juga mungkin berlaku akibat dia menahan sakit.

"Boleh dihujahkan sama ada si mati masih sedar berdasarkan jarak jatuh si mati dan saya juga berpendapat si mati masih sedar masa terjun," ujarnya lagi.

Prosiding inkues bersambung hari ini dan Pakar patologi forensik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Prashant Naresh Samberkar dijangka memberi keterangan.

0 Komentar untuk "INKUES KEMATIAN Teoh Beng Hock : 'Ditakut-takutkan sebelum jatuh'"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI