Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
KUALA LUMPUR: Seperti dijangka dari awal lagi, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih dikenali Hafiz menjuarai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), malam tadi.
Kejayaan itu, menurut Hafiz, merealisasikan impiannya untuk bergelar juara dalam pertandingan nyanyian ketika dia berumur 7 tahun pada suatu hari nanti.
"Saya dah simpan impian untuk bergelar juara sejak berusia 7 tahun. Saya ingat lagi waktu itu adalah hari jadi arwah nenek saya.
"Jadi, sejak hari itu, saya mula berminat dengan bidang nyanyian dan mula menyertai beberapa pertandingan nyanyian di Sarawak," katanya kepada mStar sejurus AF7 berakhir.
Hafiz menambah: "Mak saya adalah orang yang paling banyak memberikan sokongan. Saya tidak akan melupakan saat ini sampai bila-bila."
PEMENANG-PEMENANG AF7 (dari kiri): Akim, Hafiz dan Aril. -
foto THE STAR oleh MOHD. FAIHAN
foto THE STAR oleh MOHD. FAIHAN
"Insya-Allah, selepas ini, saya akan mengikut aliran muzik yang sebati dengan jiwa saya iaitu pop rock, balada dan R&B. Bagaimanapun, saya ini jenis universal iaitu rock dan ala-ala lagu Jepun," ujarnya.
Dengan kemenangan itu juga, Hafiz berjaya merampas takhta juara dari kalangan peserta lelaki selepas dua tahun berturut-turut diraih oleh peserta wanita.
"Sejujurnya, saya amat gembira dinobat sebagai juara. Bagi saya, tiada beza sama ada peserta lelaki atau perempuan yang bergelar juara kerana kita semua manusia," luah Hafiz.
Penyanyi berasal dari Kuching itu berjaya memperolehi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi sebanyak 46 peratus diikuti Aril (22 peratus), Akim (18 peratus), Yazid (9 peratus) dan Isma (5 peratus).
Dengan itu, Hafiz membawa pulang kereta mewah Honda Accord 2.0 liter, percutian ke New York untuk dua orang yang bernilai RM10,000, Arezzo Hoffman 5.1 Home Theatre System, kamera jenama Olympus U1030, Hyundai Air Purifier - HYAP-202, Hugo Boss Watches (HB1110-15022022A) & (HB1120-15032026A), BRAND's InnerShine untuk dinikmati 1 tahun, Nokia 5730 XpressMusic, wang tunai RM20,000 dan trofi Astro.
Walaupun pada awalnya, Hafiz gagal membawakan lagu Kau Bunga Cintaku (nyanyian asal Anuar Zain) dengan baik ekoran terikut-ikut dengan koreografi, dia bangkit kembali menerusi lagu keduanya.
Stadium Putra, Bukit Jalil - tempat berlangsungnya peringkat akhir AF7 - menjadi gamat apabila selesainya penyanyi berusia 19 tahun itu mendendangkan Lagu keduanya, Masih Jelas (Ciptaan: Aidit Alfian dan Lirik: Ad Samad).
REZEKI AF7... Hafiz menerima cek replika hadiah tunai sambil diperhatikan
Prinsipal AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina. - foto THE STAR oleh RICKY LAI
Sorakan para penonton tidak henti-henti sehingga `mengganggu' tiga pengkritik memberikan komen terhadap persembahan luar biasanya itu.
Tiga pengkritik yang bertugas malam tadi ialah Adlin Aman Ramlie, Datuk Khadijah Ibrahim dan Edrie Hashim.
Sementara itu, Aril yang memenangi tempat kedua memperolehi baucer percutian bernilai RM3,000, kamera U1030, Arezzo Hoffman Karaoke Set, Hyundai Air Purifier - HYAP-202, Hugo Boss Watches (HB1110-15022126A) & (HB1110-13020311), wang tunai RM10,000 dan trofi Astro.
Akim selaku pemenang ketiga meraih baucer percutian bernilai RM2,000, kamera FE320, wang tunai RM8,000 dan trofi Astro.
Yazid yang menduduki tempat keempat dihadiahkan kamera FE320 dan wang tunai RM3,000.
Isma satu-satunya peserta wanita tunggal bergelar ibu yang layak ke peringkat akhir dan menduduki tempat kelima memperolehi trofi Astro.
IMPIAN TERMAKBUL...Hafiz berjaya juga akhirnya. - foto THE STAR
Selain itu, kad SIM pemenang AF7 akan diaktifkan oleh Hotlink selama setahun.
Dalam pertandingan akhir itu, Aril menyampaikan lagu Kasih Tak Sampai (nyanyian asal Padi) dan Toksik (ciptaan Alim/ Shazee Ishak dan lirik oleh Nurfatima) manakala Akim membawakan lagu Bencinta (Faizal Tahir) serta Bengang (ciptaan Amir dan lirik oleh SQ).
Yazid pula mendendangkan lagu Kasidah Cinta (Dewa 19) dan Ya Papa (ciptaan Tun Taja dan lirik oleh Hairul Anuar Harun) sementara Isma melagukan Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar) dan Bisikan..Godaan (ciptaan Aiman dan lirik oleh Slen).
Kejayaan Hafiz tersebut menepati ramalan ramai artis dan selebriti yang diperolehi menerusi tinjauan mStar sebelum ini.
Juara AF7, Hafiz Tepati Ramalan
Teks Oleh Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 16 MEI 2009: Dakwaan yang mengatakan bahawa Aril adalah anak emas Astro dan bakal menjuarai Akademi Fantasia Musim Ke-7 (AF7) ini adalah tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 19, yang berasal dari Kuching, Sarawak telah diumumkan sebagai juara pada konsert akhir Akademi Fantasia Musim Ke-7 (AF7) yang telah berlangsung dengan meriahnya di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.
Dengan memperolehi undian sms terbanyak 46% daripada penonton, Hafiz telah menjadi pilihan majoriti masyarakat Malaysia untuk menjuarai musim ketujuh program realiti hiburan terbitan Astro yang paling popular di Malaysia itu.
Sekaligus menewaskan 4 finalis lain iaitu Aril yang mengutip 22%, Akim (18%), Yazid (9%) dan Isma (5%) apabila beraksi dengan baik pada malam itu menerusi lagu Kau Bunga Cintaku nyanyian asal Anuar Zain serta lagu baru Masih Jelas.
Kemenangan manis yang dilakar Hafiz ini turut memberi peluang kepada anak kelahiran bumi kenyalang ini untuk merampas semula takhta dan gelaran juara AF daripada 2 peserta wanita yang sebelum ini telah mendominasi AF6 dan AF7 iaitu Mila dan Stacy.
Malah, Hafiz turut berjaya membawa pulang pelbagai hadiah lumayan seperti sebuah kereta Honda Accord 2.0 tajaan Honda Malaysia, Percutian Ke New York Untuk 2 orang, Sistem Home Theatre Arezzo Hoffman 5.1 (Arezzo), Camera U130 (Olympus), Penapisan Udara Hyundai (MSP Advance), Jam Tangan Hugo Boss (Hugo Boss), Brand Innershine untk dinikmati selama 1 tahun (Cerebos), Nokia 5730 Xpress Music (Nokia), wang tunai RM20, 000 serta trofi.
Sementara itu, Khairil Azam Pilus atau Aril, 24 dari Kuala Lumpur yang diumumkan sebagai naib juara bagi musim ini pula seperti biasa tidak mengecewakan apabila sentiasa tampil dengan aksi dan persembahan yang cukup berani, tersendiri serta menghiburkan menerusi lagu Kasih Tak Sampai nyanyian asal Padi serta lagu baru Toksik.
Dengan kemenangan itu, Aril yang kini digelar ikon di kalangan peminat remajanya berjaya membawa pulang hadiah berbentuk baucer percutian bernilai RM,3000 tajaan Maybelline, Camera U1030 (Olympus), Karaoke Set Arezzo Hoffman (Arezzo), Penapisan Udara Hyundai (MPS Advance), jam tangan Hugo Boss (Hugo Boss), wang tunai RM10,000 serta trofi.
Tempat ketiga menjadi milik Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, yang telah menunjukkan peningkatan demi peningkatan pada minggu terakhir AF7. Kemenangan itu, sekaligus melayakkan Akim .untuk memenangi baucer percutian bernilai RM2,000 tajaan Maybelline, Camera F3320 (Olympus), wang tunai RM8,000 serta trofi.
Berasal dari Johor Bahru, Johor Akim telah berjaya memukau mata penonton apabila menyampaikan lagu Bencinta nyanyian asal Faizal Tahir serta lagu baru Bengang dengan kejutan yang mantap.
Mohd Yazid Mohd Ibrahim atau Yazid, 22, dari Johor Bahru Johor pula hanya berupaya menduduki tempat keempat apabila menyampaikan lagu Dewa 19 berjudul Qasidah Cinta serta lagu baru Ya Pa Pa. Beliau membawa pulang kamera FE320 tajaan Olympus, wang tunai RM3,000 serta trofi.
Kejutan terlihat pada Ismaliza Ismail atau Isma, 30, daripada Kuala Lumpur apabila dia hanya sekadar berjaya menduduki tempat ke-5 dalam konsert akhir AF7 ini menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa nyanyian asal Misha Omar serta lagu baru Bisikan…Godaan hasil ciptaan Zul suaminya sendiri.
Ironinya, Isma yang menjadi satu-satunya finalis wanita tunggal di konsert akhir AF7 ini serta ibu kepada 5 anak ini seringkali menduduki tangga teratas dalam setiap konsert mingguan AF7 sebelum ini.
Malangnya, kakak kepada penyanyi Tomok ini tidak berjaya mengekalkan kedudukannya itu dan sebagai pemenang tempat kelima, ia hanya membolehkan dia membawa pulang sebuah trofi kemenangan sahaja.
Konsert selama 3 jam yang itu dipancarkan secara langsung di Astro Ria serta radio rasmi Era FM itu telah dibawakan oleh Hotlink selaku penaja utama. Ia turut menampilkan segmen persembahan daripada bekas pelajar AF7 yang tersingkir sebelum ini seperti Qhaud, Rini dan Sidi.
Selain itu, ia juga turut diserikan dengan persembahan juara AF6 terdahulu Stacy serta tarian pembukaan dari Hardstyle Republic. Finalis AF7 sendiri turut membuat persembahan pembukaan menerusi lagu Revolusi yang dipopularkan band muzik Bunkface.
Konsert final hebat itu dihoskan dengan lancar oleh AC Mizal dan menampilkan pengacara diari AF7, Sarimah Ibrahim. Pengkritik malam tadi adalah Edrie Hashim, Dato Khadijah Ibrahim serta Adlin Aman Ramlie.
Semua hadiah disampaikan Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina yang kemudian menutup dengan rasminya upacara graduasi akademi sebelum tirai pentas dilabuhkan lewat tengah malam tadi.
Hafiz juara AF7
Hafiz juara Akademi Fantasia 7
0 Komentar untuk "Hafiz menjuarai AF7"