Gesaan haramkan alkohol dalam penerbangan ‘mengarut’, kata Matta - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Gesaan haramkan alkohol dalam penerbangan ‘mengarut’, kata Matta


PETALING JAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) tidak bersetuju dengan gesaan PAS mengharamkan hidangan alkohol dalam penerbangan Malaysia Airlines.

Parti Islam membuat gesaan itu selepas kejadian seorang penumpang bermasalah menyebabkan penerbangan MH128 ke Kuala Lumpur berpatah balik ke Melbourse semalam.
Presiden Matta Datuk Hamzah Rahmat berkata Malaysia Airlines sebuah syarikat penerbangan swasta dan digunakan pelanggan pelbagai bangsa dan agama.

“Bukan orang Islam sahaja yang menaiki Malaysia Airlines. Ia membawa semua bangsa terbang bersamanya. Malaysia Airlines cuba membawa seramai mungkin orang menaikinya,” katanya dan menambah syarikat itu akhirnya mencatatkan keuntungan selepas berdepan masalah kewangan beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau menambah gesaan PAS perlu difikirkan secara rasional kerana syarikat penerbangan komersial hanya boleh menarik pelanggan jika ia menawarkan apa yang pelanggan mahukan.
“Jika tidak kita akan bazirkan produk itu. Kita boleh buat bermacam jenis peraturan tetapi kalau pesawat terbang kosong, siapa nak tanggung?” katanya.

Semalam, penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang warga Sri Lanka dikatakan cuba memasuki kokpit pesawat, kata MAS.
Penumpang yang dikatakan mengalami masalah mental itu berjaya ditangani anak kapal, selepas didakwa mengancam meletupkan pesawat dengan sejenis peranti yang kemudian dikatakan hanya sebuah bank kuasa.

“Kalau Malaysia Airlines selalu mengalami masalah penumpang mabuk buat kacau, Perlulah kita kaji gesaan itu. (Soalnya) Berapa banyak kali ia berlaku? Gesaan itu mengarut.”
Beliau berkata setakat ini hanya Saudi Arabia Airline dan Royal Brunei mengharamkan hidangan alkohol dalam penerbangan mereka.
“Kedua-dua syarikat penerbangan itu milik kerajaan dan mendapat sokongan baik daripada kerajaan mereka.

“Tetapi MAS syarikat komersial tersenarai walaupun berstatus syarikat milik kerajaan.
“Kita perlu bersikap adil. Malaysia Airlines perlu menjual produk mereka mengikut keperluan komersial,” kata Hamzah.
Malaysia Airlines menjalani perubahan besar-besaran pada 2015, diikuti dengan penamatan 6,000 pekerjaan dan pengurangan 30% perjalanannya.

Dari 2001 hingga Jun 2014, Malaysia Airlines mencatatkan kerugian RM8.4 bilion. Dari 2011-2013, kerajaan menyalurkan dana RM17.4 bilion untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.
Walaupun mencatat keuntungan operasi, 2016 masih tahun kerugian. Ia dijangka mencatatkan keuntungan tahun depan, namun keuntungan tahun ini bergantung kepada kekuatan ringgit.

0 Komentar untuk "Gesaan haramkan alkohol dalam penerbangan ‘mengarut’, kata Matta"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI