Bersatu pertahan Melayu, Islam hadapi PRU-14 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bersatu pertahan Melayu, Islam hadapi PRU-14


Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijangka berlaku tidak lama lagi menjadi penentu kepada masa depan orang Melayu. Hak orang Melayu dan kedudukan istimewa agama Islam di Malaysia perlu terus dikekalkan. Orang Melayu tiada pilihan lain kecuali bersatu dan mengelak perpecahan sesama mereka. Hakikatnya, ini bukanlah seruan baharu, malah sudah bergema sejak bertahun-tahun lalu, namun keadaan umat Islam di Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu bukanlah semakin kukuh, malah cenderung menuju kerapuhan dan antara penyebabnya ialah akibat perbezaan politik.

Lebih malang lagi tokoh atau pemimpin yang diketengahkan oleh penyokong mereka untuk menjadi penggerak kepada keutuhan Islam dan perpaduan orang Melayu yang boleh diharapkan, menjadi penggerak kepada perpaduan orang Melayu khususnya, lebih banyak meletakkan perhitungan politik sebagai keutamaan. Akhirnya orang Melayu berpecah-belah kerana mempunyai idealisme berbeza dan terus menganggotai parti yang menjauhkan dan meruntuhkan maruah Islam dan Melayu daripada mereka. Berbeza fahaman politik adalah perkara biasa dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi janganlah sampai ia melemahkan umat Islam. Ini termasuklah mewujudkan politik kebencian yang kesudahannya akan memberi peluang pihak lain mengambil kesempatan.

Tanpa kuasa akan dipinggir 

Jika berterusan, dikhuatiri kedudukan Islam dalam negara tidak dapat dipertahankan. Tidak dapat dinafikan, kini orang Melayu menjadi peneraju utama Islam di negara ini. Tanpa kuasa di tangan orang Melayu dan Islam, kita tidak bebas beribadat dan orang Melayu akan dipinggirkan di negara sendiri. Kita berbalah sesama sendiri dan sering melakukan untuk menjatuhkan antara satu sama lain hanya kerana berbeza fahaman politik atau dendam politik. Pihak lain tidak perlu berbuat apa-apa, mereka hanya memerhati melihat kesukaran umat Melayu mencari titik perpaduan sesama mereka. Justeru, orang Melayu mesti bersatu dan mencapai titik perpaduan sebelum PRU-14 bagi mempertahankan kedudukan istimewa agama Islam dan hak orang Melayu di negara ini.

Tidak boleh leka 

Sememangnya orang Melayu harus selalu diperingatkan dan 'digerakkan'. Senario politik dalam negara ketika ini membuktikan bahawa orang Melayu tidak boleh lagi leka atau memandang usaha penyatuan sesama mereka sebagai sesuatu yang janggal. Sejarah negara sudah membuktikan apabila orang Melayu bersatu, kuat dan berpegang kukuh kepada Islam telah memberi manfaat kepada kaum lain. Golongan orang Melayu sendiri yang tidak mahu melihat umat Melayu berada dalam kedudukan itu sebenarnya sudah terhakis semangat ke-Melayuannya. Selain itu, ada kelompok tertentu dan oportunis yang bimbang bahawa mereka sebagai pengkhianat negara tidak boleh lagi mengambil kesempatan seperti dahulu ketika orang Melayu rapuh akidahnya dan sudah tiada kejituan semangat Melayunya.

Orang Melayu tidak lagi boleh diperlekehkan daripada aspek pegangan Islam mereka sebagai alat untuk memecah-belah orang Melayu, selain mudah diberi rasuah dalam pelbagai bentuk untuk mendapatkan sesuatu bagi kumpulan oportunis ini. Segala usaha bagi mengukuhkan perpaduan ummah perlu disokong sepenuhnya kerana kita tidak boleh membiarkan orang Melayu selama-lamanya berpecah-belah sehingga melemahkan mereka. Orang Melayu bukanlah dicipta Allah SWT sebagai bangsa yang lemah. Orang Melayu adalah bangsa yang berdaulat dan mempunyai kekuatan cukup hebat.

Tetapi dari semasa ke semasa, 'kedaulatan' itu semakin pudar dan kekuatan pula semakin terhakis. Kita wajar merenung dan berfikir sejenak. Keadaan ini berlaku bukan kerana orang lain. Jangan salahkan orang lain tetapi orang Melayu patut menyalahkan diri sendiri. Mereka yang membuka ruang dan peluang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan atau bak kata pepatah Melayu 'menangguk di air keruh'. Apabila orang Melayu sendiri tidak bersatu dan semakin lemah dari segi kuasa politik sehingga mengharapkan orang lain untuk mengekalkan kuasa atau mahu berkuasa, maka sudah pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

Jadikan PRU-14 sebagai agenda mencari persamaan dan lupakanlah sengketa politik demi kekuatan Melayu dan martabat Islam yang jitu dan unggul. Kita sedar sejak kebelakangan ini bahawa ada parti politik membuka ruang lebih luas antara satu parti dengan yang lain bagi perkara kebajikan ummah bersama dan ini harus dipupuk dan disokong sepenuhnya oleh orang Islam dan Melayu negara ini jika tujuannya murni. Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan Islam yang dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihan raya. Apa pun, kita tetap menaruh harapan agar PRU-14 akan membuka lembaran baru kepada perpaduan ummah di negara ini.

Suasana kondusif politik dalam kalangan orang Melayu dan semangat perpaduan yang jitu demi Melayu dan Islam mesti disuburkan. Pihak profesional dan usahawan akan menghadapi cabaran besar untuk memberi khidmat terbaik kepada ummah jika tiada kesatuan dalam memperjuangkan Islam dan kebajikan orang Melayu. Usaha memupuk perpaduan yang lebih erat dan telus mesti diterjemahkan dengan satu matlamat bagi menghadapi PRU-14. Hikmah perpaduan ini amat bernilai dan sudut memahami erti perpaduan dan ukhuwah sesama umat Islam yang boleh menyumbang kepada kesatuan umat yang lebih besar. Perpaduan sebegini juga selari dengan tuntutan Islam dan syariat.

Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputra Anak Selangor (GIBS)

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/288141
0 Komentar untuk "Bersatu pertahan Melayu, Islam hadapi PRU-14 "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI