Husam sanggup sumpah talak isteri, buktikan Hadi bekerjasama dengan Umno - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Husam sanggup sumpah talak isteri, buktikan Hadi bekerjasama dengan Umno

Susulan dakwaan mengejut terdapat usaha penyatuan PAS dengan Umno melalui Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas naib presiden Datuk Husam Musa menegaskan sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan kenyataannya itu, lapor akhbar Sinar Harian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata demikian ketika menjawab soalan di majlis “Demo Tanya, Ambo Jawab” di Kota Baru, Kelantan, malam kelmarin.

Menurut Husam, usaha membentuk kerajaan di antara PAS dan Umno sudah berlaku sejak sekian lama.

Bekas exco kerajaan Kelantan itu berkata, setiap kali pilihan raya akan terdapat ramai pemimpin dan kenamaan  berkunjung ke rumah bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memujuknya supaya berbaik dengan Umno.
Katanya, usaha itu diteruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila presiden PAS dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun menurut Husam, usaha itu gagal kerana kerusi yang diperoleh PAS pada ketika itu tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan dengan Umno.

Menurut Sinar Harian, Husam menceritakan, ketika perundingan itu berlangsung selama 15 minit, beliau menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada bekas setiausaha agung Datuk Mustafa Ali dan bekas timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa untuk bertanyakan tentang pertemuan itu.

Katanya, beliau menerima maklumat mengenai perundingan itu daripada pekerja hotel yang tidak mahu kedua-dua parti itu bergabung.

“Saya sebut nama Datuk Mustafa supaya dia boleh jadi saksi, mungkin selepas ini dia nafi, saya tanya mereka perundingan apa yang dibuat?

“Tetapi adakah PAS dan Umno tidak boleh berbaik? Boleh, dengan dasar terbuka (tetapi), bukan kerana fulus (duit), tapi saya peringatkan dari situ sehingga mesyuarat PAS Pusat dalam isu menteri besar Selangor.

“Saksi saya adalah AJK PAS ketika itu termasuk presiden dan timbalan (ketika itu Mohamad Sabu), mungkin Mat Sabu tidak boleh jadi saksi sebab sudah keluar parti tetapi saya masih ahli PAS. Selain itu, bekas ketua Muslimat PAS Siti Zailah. Soalnya berani atau tidak sahaja.

“Ulama kena cari formula kalau suruh saya sumpah talak isteri, saya sanggup,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Tidak akan keluar PAS

Husam menambah, walaupun sebelum ini terdapat pihak yang menggesanya keluar daripada PAS selepas membuat dakwaan itu, beliau tidak akan berganjak daripada parti Islam itu.

Husam berkata tidak takut kepada baiah atau dipecat parti kerana pendedahan itu dibuat demi memperbetulkan PAS.

Katanya, beliau sedia menerima apa jua kemungkinan sekiranya pendedahannya itu akan menyebabkan beberapa implikasi terhadapnya dalam PAS.

“Tiba-tiba Dewan Ulama PAS Pusat suruh saya turun (keluar) dari kapal ini (PAS), walaupun dia Ketua Dewan Ulama, dia sama taraf sahaja dengan saya. Dia (ketua Dewan Ulama) tiada hak nak halau saya. Apa salah saya?

“Bagi bukti yang sahih itu, baru cara ulama berfikir,” katanya.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed menyarankan supaya Husam meninggalkan parti itu kerana tidak menunjukkan sikap sokongan kepada kepimpnan Hadi.

Pada masa sama, Husam tidak menolak kemungkinan kerajaan Kelantan memutuskan kenaikannya elaunnya sebagai Adun Salor dipotong.

Katanya, beliau tidak menolak kenaikan elaun seperti diputuskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini, tetapi mahu kerajaan negeri menyelesaikan beberapa masalah penting membabitkan rakyat.

“Rakyat tengah miskin, kita nak naik elaun memang tidak munasabah, bukan saya tidak mahu tapi maruah saya lebih mahal daripada wang,” katanya.

PAS akan panggil Husam

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka akan memanggil Husam pada masa terdekat untuk mendengar penjelasan sebelum memutuskan untuk menjatuhkan sebarang hukuman terhadapnya.

“Kita sudah menerima laporan daripada PAS Kelantan dan kita buat keputusan untuk dengar sendiri daripada beliau.

“Bagi PAS sendiri, kita kena tengok serta dengar secara dekat dan Husam perlu memberikan penjelasan atas apa yang didakwanya,” katanya.

Menurutnya, Husam sewajarnya menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan rasa tidak puas hatinya kerana masih terikat dengan peraturan PAS.

“Apa jua yang melibatkan mengenai parti, ahli harus menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakannya. Apabila perkara seperti ini berlaku, ia akan menimbulkan polemik dan kesan kepada parti.

“PAS akan mendengar penjelasan Husam dahulu sebelum menjatuhkan sebarang hukuman,” katanya. – 15 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/husam-sanggup-sumpah-talak-isteri-buktikan-hadi-bekerjasama-dengan-umno#sthash.AKYVK5ce.dpuf
0 Komentar untuk "Husam sanggup sumpah talak isteri, buktikan Hadi bekerjasama dengan Umno "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI